Umno sudah pasti tolak PBBM, mungkin terima Keadilan?

 

JELANG PAU 





Anwar dan Zahid walaupun jasad
jarang berjumpa tetapi batin mereka melekat.

PERSIDANGAN Agung Umno (PAU) bermula lusa (27 dan 28 Mac 2021) adalah moment penting bagi menentukan masa depan parti itu untuk menghadapi Piraum ke-15. 

Lantaran itu para perwakilan harus bijak dan berpandangan jauh dalam membuat keputusan dalam PAU itu nanti kerana apa-apa solusi dicapai akan diguna pakai untuk penentuan masa depannya.

Naratif Piraum ke-15 Umno nanti akan terserlah dalam PAU itu. 

 

Hendaknya janganlah keputusan dibuat akan menimbulkan masalah kepada parti itu apa lagi berlaku perpecahan sesama sendiri. Sewajarnya Umno perlu diperkasakan dan kekal sebagai sebuah parti tertua yang penuh pengalaman.

Ada beberapa isu yang dikira akan dibahas dengan hangat dan lumat dalam PAU itu kelak. Antara ialah kedudukan Umno dalam kerajaan PN, hubungan Umno dengan Pas dalam MN, dan juga desas desus kemungkinan Umno akan mewujudkan penjajaran politik baru dengan mengadakan kerjasama dengan Keadilan atau PH. 

Inilah tiga mauduk penting yang akan mewarnai PAU itu nanti yang pertama kali diadakan dalam normal baru bersemuka dan secara virtual. Para perwakilan akan memberi tumpuan kepada ketiga-tiga isu berkenaan. Ada individu tertentu sudah lama cuba mempengaruhi perwakilan mengikut naluri dan kehendak mereka agar diendorse dalam PAU.

Isu apakah Umno akan menolak kerjasama dengan PPBM melatari pemikiran ahli parti itu disemua peringkat. Sebelum ini sudah ada seperti desakan daripada bahagian-bahagian Umno supaya menolak kerjasama dengan PPBM menerusi PN. Akar umbi tidak dapat menerima salam PBBM yang disifatkan sebagai jahat. Ahli bawahan Umno tidak dapat menerima perbuatan 15 orang ahli Parlimennya yang bersikap mahu membuncitkan perut dan menyelamatkan diri apabila meninggalkan parti menyertai PBBM. 

Pernyataan penolakan dan marah itu dibuat oleh sebahagian besar bahagian Umno dalam mesyuarat peringkat bahagian masing-masing. Sepatutnya ia tidak berbangkit lagi, penolakan PBBM patut menjadi konsensus yang konkrit. Dalam Umno berhadapan dengan situasi mengecut, setelah hilang kerajaan, tidak wajar Umno bertelagah sesama sendiri apa lagi soal kerjasama dengan PBBM yang sudah sah dikenal pasti sebagai suatu pengkhianat. Ahli Umno sebaiknya membuka fikiran dan mencapai keputusan bersama. 

Memandang situasi itu sudah pasti PAU akan meratifikasikan kehendak akar umbi Umno itu. Dijangka PAU esok akan membuat ketetapan tegas dan keras menolak kerjasama dengan PPBM dan mengekalkan keputusan asal Umno hanya menyokong kerajaan bukan organnya (parti PPBM). Sebelum ini Umno hanya memberi persetujuan ahli Parlimen menyokong PBBM di peringkat kerajaan bukan bekerjasama dalam politik. 

Apapun sebaiknya bagi Umno, parti itu tidak sepatutnya berada dalam keadaan sekarang ini, separuh halal separuh haram. Kerajaan PN yang didukungi oleh PPBM disokong, tetapi enggan bekerjasama dalam Piraum akan datang. Sedikit pelek. Sebaik-baik dan sebijak-bijak tindakan Umno sepatutnya gentlemen dan berani meninggalkan kerajaan PN sekarang ini juga. Sekarang. Umno tidak perlu berfikir panjang dan berdiplomasi lebih kerana ia boleh memberi kesan buru, back fire.

Berbaik dengan PBBM samalah seperti Umno memelihara anak Harimau yang mana bila besar nanti haiwan karnivora  akan memakan bukan tangan yang menyuapnya tetapi membahan si penyuapnya juga. Harimau walaupun baik tetapi membawa tabiat haiwan. Jahat dan bahaya. 

Kita tahu pendapat atau solusi dalam menyelesaikan masalah ini berbelah bahagi dalam Umno. Sebahagian mahu kekal sementara sebahagian lain mahu keluar kerana tidak percaya. Disini ia menuntut keberanian dan ketegasan presiden Ahmad Zahid Hamidi yang mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat keputusan. Zahid Hamidi tidak perlu berdiplomasi atau menanti sesuatu yang tidak menjelma untuk menggunakan kuasanya bertindak ke atas anasir mencari kepentingan diri dalam Umno. Zahid kena hormat mandat ahli memilihnya sebagai presiden dan perlu menggunakannya seoptimum mungkin. 

Dalam hal ini Zahid perlu memikir nasib parti bukan nasib dirinya sendiri kalau beliau mahu dikenang sebagai pembela Umno sepanjang masa. 

Zahid perlu mendapat endorsement PAU untuk bertindak terhadap berberapa ahli MKT Umno atau wakil rakyat Umno yang tidak akur dengan keputusan parti dan lebih mementingkan diri daripada parti. Kalaupun mereka terpaksa dikenakan tindakan disiplin sehingga perlu dipecat sekalipun lakukan jangan ragu-ragu. Tidak baik menyimpan duri dalam daging atau menyimpan bisul dipunggung kerana ia menyeksakan diri. Selama mana Zahid mahu berjalan mengengkang?

Sekiranya dalam PAU itu mengambil keputusan muktamad, berkerat rotan berpatah arang dengan PPBM ia tidak dapat dielak akan mengundang sedikit masalah lain kepada Umno. Ia akan menjadikan hubungan Umno dengan Pas kekok, dan begitu juga meletakkan Pas dalam keadaan serba salah. Sekiranya Umno tidak bersama PBBM, ia menguji sejauh manakah kesetiaan Pas kepada persahabatannya dengan Umno. Sekiranya Pas tetap juga bersama PBBM bermakna Pas tidak jujur dan ikhlas dalam bersahabat. 

Tidak nampak dalam keadaan itu Pas sanggup kangkang tubuhnya untuk dua lelaki dari atas kasur di malam yang sama? Manakala melihat kepada kenyataan-kenyataan pemimpin Pas menjelaskan parti itu sedia untuk bersama PBBM. Secara nisbinya juga Pas lebih percaya kepada PBBM berbanding Umno yang sudah dikenali lama telah mengkhianati dan berlaku tidak wajar kepadanya.

Bertolak dari sejarah itu Umno perlu bersiap sedia untuk menerima "pengkhianatan" daripada Pas.

Walaupun Pas dirasakan dapat memberi sesuatu kepada Umno, namun itu bukan sesuatu yang perlu ditangisi. Umno perlu sedar ia parti lebih besar dan berpengaruh daripada Pas. Adalah tidak layak untuk Gajah merayu dan berlembut dengan Landak berduri songsang seperti Pas itu.

Sekiranya Pas memungkiri janji meninggalkan Umno dan bersama PBBM, Umno tidak perlu bersedih dan berduka nestapa. Politik itu fleksible dan boleh membentuk kerjasama dengan sesiapa sahaja. Keadilan yang juga dikhianati rakan sendiri sudah sedia menanti. Umno boleh berunding dengan Keadilan sambil mengenakan beberapa syarat munasabah. Dalam hal ini janganlah syarat mengenai jawatan perdana menteri, apa yang penting kerjasama itu berlaku demi menjamin survive Umno dan memastikan ia menjadi parti berpengaruh dan tetap relevan.

Demi merealisasikan kerjasama ini Keadilan juga rasanya tidak akan mengenakan syarat aneh, kecuali mempertahankan harapan mereka untuk menjadikan Anwar Ibrahim sebagai PM, itu sahaja. Kalau setakat itu Umno boleh akur apa yang penting Umno masih survive menjadi sebahagian kuasa selepas Piraum ke-15 kelak. 

Kesimpulannya PAU esok dan lusa menentukan sejauh mana kebijaksana Umno membina semula kekuatannya yang hilang dan menjadi Piraum akan datang sebagai tapak untuk menjadi pemerintah kembali. Keputusan dan resolusi yang dicapai esok juga akan menampakkan kita ke jalur manakah Umno selepas ini. [wm.kl.10:23 am 25/03/2021]