Oleh: Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif
Ketika
negara jiran lain di Asia Tenggara terus menikmati limpahan kemasukan pelaburan
langsung asing (FDI) yang tinggi sewaktu pandemik Covid-19, Malaysia pula terus
dirundung malang apabila satu demi satu syarikat berteknologi tinggi asing yang
pernah melabur ratusan juta ringgit mula meninggalkan negara ini.
Laporan
Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Perdagangan dan Pembangunan menyebut
lebih 80% dari AS$156 bilion FDI di ASEAN tahun 2020 telah diterima oleh Indonesia,
Singapura dan Vietnam. Manakala Malaysia yang tersohor dengan “Kerajaan
Melayu-Islam Paling Hebat” hanya menerima 5% atau AS$7.8 bilion, yang sudah
pastinya FDI terendah dalam kalangan negara membangun ASEAN.
Kehilangan pekerjaan
Rakyat
Malaysia secara tidak langsung terus ditimpa malang apabila beribu-ribu orang
pekerja kolar putih terpaksa berhadapan dengan kehidupan yang tidak menentu
apabila syarikat-syarikat hi-tech
asing menutup operasi mereka. Kadar pengangguran dijangka terus meningkat dan
peluang pekerjaan menjadi semakin sengit serta amat terhad.
Pada
separuh kedua tahun 2020 lalu, operasi teknologi maklumat syarikat minyak
gergasi dunia Shell telah dipindahkan ke India. Perpindahan ini mengakibatkan
syarikat sekutu dan penyedia solusi teknologi maklumat bagi Shell iaitu
syarikat T-System dari Jerman yang berpangkalan di Cyberjaya turut menutup
operasinya. Malang bagi Malaysia apabila 800 pekerja mahir T-System yang
terdiri dari sebahagian besarnya anak tempatan, hilang pekerjaan.
Kesan
berganda terhadap kelemahan pengurusan ekonomi Kerajaan Tebuk Atap PN terus
membawa celaka kepada golongan profesional dan separa profesional dalam
industri teknologi maklumat apabila syarikat gergasi komputer IBM juga
mengambil langkah meninggalkan Malaysia pada Mei 2021 ini.
IBM
telah melabur lebih RM1bilion untuk membangunkan Pusat Pengedaran Globalnya di
Cyberjaya sejak tahun 2011. Penutupan operasi IBM di Cyberjaya menyaksikan satu
lagi malapetaka kepada lebih 3000 pekerja IBM. Mereka akan menghadapi dengan
masa depan yang tidak menentu dan terpaksa memasuki zon pengangguran yang kini
semakin membesar. Satu lagi kejayaan Kerajaan Tebuk Atap PN!
Pendapatan
isi rumah pekerja yang dibuang kerja sudah pasti terjejas dan kesempitan hidup
sudah tentu akan mula dirasai oleh ramai golongan profesional dan berpendidikan
tinggi yang sebelum ini berjawatan tinggi dalam industri berteknologi tinggi.
Kehidupan
yang dulunya selesa dan bahagia bertukar menjadi tersepit apabila notis
tunggakan sewa-beli rumah dan ansuran bulanan kereta memenuhi peti surat
kediaman pekerja kolar putih ini.
Kerajaan PN tidak peduli
Perniagaan
terpaksa gulung tikar dan Kerajaan PN masih cuba mengekalkan kuasa secara jijik
dengan “memancing” Ahli Parlimen pembangkang untuk terus kekal berkuasa secara
'nyawa-nyawa ikan'.
Sesunguhnya,
Kerajaan Tebuk Atap PN yang berkuasa pada hari ini sudah tidak mendapat
keyakinan pelabur-pelabur asing. Malah pelabur-pelabur sedia ada pun sudah
mulai angkat kaki. Jika PN kekal berkuasa nescaya industri berteknologi tinggi
Malaysia menuju ke era kejahanaman yang nyata dan kita akan berhadapan dengan
laluan sukar untuk bangkit semula sebagai kuasa ekonomi pada masa akan datang.
Marilah
sama-sama kita doakan agar pimpinan Kerajaan Minoriti Tebuk Atap PN yang gagal
menangani dan mengurus ekonomi negara ini “dihumban” keluar dari Putrajaya atau
tersungkur dalam Parlimen Malaysia!.
Yang
jelas dakwaan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bahawa
Kerajaan PN mengambil pendekatan selektif dalam memilih pelabur asing adalah
lawak paling lucu dalam sejarah penyandang jawatan menteri MITI di Malaysia.
_________________________________________________________________________________
Penulis adalah Ketua Penerangan
Negeri KEADILAN Terengganu.