TAK SEMESTINYA UMNO PERLU BERSAMA PH, TAPI DEMI SURVIVALNYA, TARIK SOKONGAN TERHADAP MUHYIDDIN TIDAK HARUS DILENGAHKAN LAGI
Apa yang barangkali menyebabkan UMNO jadi teragak-agak untuk secara rasmi menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin dan kerajaan PN ialah kerana terkepung dengan slogan “No Anwar No DAP”.
Rasa terkepung itu membuatkan rata-rata beranggapan apabila UMNO menolak Muhyiddin bermakna ia menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan sedia bersama DAP membentuk sebuah kerajaan baharu.
Sebenarnya, ketakutan UMNO yang keterlaluan terhadap slogan “No Anwar No DAP” itu adalah merupakan sebahagian kejayaan Annuar Musa dan beberapa pihak lain dalam UMNO sendiri yang lebih sayangkan Muhyiddin dan Bersatu berbanding parti mereka sendiri.
Bekerjasama dengan Anwar dan PH hanyalah suatu pilihan, bukan kewajipan bagi UMNO, tetapi harus diingat politik ini tidak rigid, malah Annuar Musa ketika belum beroleh kuasa dulu pun pernah melontarkan pandangan tentang kerjasama UMNO dengan DAP.
Selain itu, politik ini yang penting adalah kuasa dan lihatlah bagaimana Pas yang dalam usahanya mengejar kuasa, telah menjadi parti paling banyak kahwin cerai dengan parti-parti lain.
Pokoknya, selagi Muhyiddin tidak dijatuhkan, Annuar Musa dan mereka yang sekapal dengannya akan terus jadi menteri dan beroleh banyak habuan lain daripada kerajaan, meskipun sebenarnya telah kalah perang dalam PRU 2018 lalu.
Tidak semestinya dengan UMNO menarik sokongan terhadap Muhyiddin bermakna sebuah kerajaan baharu yang ada DAP dan Anwar sebagai Perdana Menterinya akan terbentuk secara automatik.
Kiranya UMNO berpegang dengan pendirian asal iaitu mahu PRU15 diadakan dengan segera, sebenarnya dengan menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, itu adalah pendekatan paling sesuai dilakukan, walau ketika ini darurat sedang dikuatkuasakan.
Selagi UMNO tidak berani secara rasmi menarik sokongan, selagi itulah PRU15 tidak mungkin diadakan dengan cepat dan Muhyiddin ada kebebasan menentukannya mengikut keselesaannya.
Muhyiddin akan terus berlengah-lengah untuk mengadakan PRU sehingga kedudukan Bersatu dan PN benar-benar diyakini sudah kuat.
Tidak mustahil nantinya darurat akan disambung lagi atau selepas 1 Ogos nanti helah lain pula akan digunakannya.
Yang pasti, meskipun dalam tempoh darurat dan Muhyiddin sendiri selalu bercakap dianya tidak berpolitik dalam tempoh berkenaan atas alasan ingin menumpu untuk melawan Covid19, sebenarnya ketika itulah PN sedang mengukuhkan cengkaman politiknya dengan antaranya membawa Gerakan menyertai gabungan tersebut.
Hakikatnya, ketika orang lain leka atau berjaya dilekakan, di waktu itulah Muhyiddin bermain politik, malah dengan mengadakan pertemuan dengan Presiden Gerakan semalam berhubung kemasukan parti itu ke dalam PN bermakna beliaulah yang pertama menerima keistimewaan kuarantin tiga hari untuk menteri-menteri seperti yang ditandatangani Dr. Adham Baba, walaupun yang membantah peraturan tersebut lebih ramai daripada yang menyokongnya.
Itulah Muhyiddin, seorang yang tidak peduli dengan suara rakyat dan desakan yang tidak memihak kepadanya.
Lebih lama ruang masa terbuka, Muhyiddin akan terus mencari jalan mengukuhkan kedudukan PN dan selepas ini tidak mustahil ada lagi parti-parti lain akan ditariknya untuk bergabung dengan PN.
Atau mungkin, dengan masa yang berlalu itu, UMNO terus dikucar-kacir serta dilemahkan, kalau pun tidak diisytiharkan sebuah parti yang haram atas pelbagai sebab serta hujah perundangan.
Untuk itu, sesuai dengan usul putus hubungan dengan Bersatu sudah diluluskan, UMNO tidak harus bertangguh lagi dalam membuat keputusan menarik sokongannya secara rasmi terhadap Muhyiddin.
Menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan ini mesti dilihat sebagai pilihan untuk memastikan survival dan masa depan UMNO semata-mata.
Lebih-lebih lagi, dua Ahli Parlimen UMNO – Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz sudah pun membuat pengumuman terbuka menarik sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN, selain Tengku Razaleigh Hamzah yang sejak awal tidak mengiktiraf keabsahan Perdana Menteri.
Walaupun dengan tiada sokongan daripada tiga Ahli Parlimen UMNO itu sepatutnya Muhyiddin telah jatuh atau secara moralnya mesti meletak jawatan, tetapi beliau ternyata bukanlah seorang pemimpin yang ada perasaan malu.
Maka, jangan dibiarkan Muhyiddin terus ada keselesaan menentukan bila PRU15 hendak diadakan, sebaliknya UMNO sebagai kelompok Ahli Parlimen terbesar dalam kerajaan PN hendaklah memaksa ke atas Perdana Menteri, sesuai dengan keinginan tersebut yang sudah lama digembar-gemburkan.
Dengan secara rasmi UMNO mengumumkan menarik sokongan dan keluar daripada kerajaan, pilihan yang ada bagi Muhyiddin ialah sama ada meletak jawatan atau memohon pembubaran Parlimen.
Kalau Muhyiddin terus berdegil dengan buat-buat sejuk atas alasan sekarang darurat, tindakan UMNO itu setidak-tidaknya akan menarik perhatian Agong untuk bertindak atau berbuat sesuatu untuk menyelesaikan ketidaktentuan kedudukan kerajaan.
Tambahan lagi, dengan Zahid Hamidi dan Najib Razak lebih berwatak sebagai pembangkang kebelakangan ini, keberadaan UMNO terus dalam kerajaan PN terhampak amat janggal, pelik sekali dan mengelirukan ahli di akar umbi.
Ia lebih pelik daripada watak Annuar Musa yang masih bersama UMNO, cakapnya hari-hari ingin memperjuangkan masa depan UMNO, tetapi yang ingin dikekalkannya sebagai Perdana Menteri ialah Muhyiddin daripada Bersatu.
(Shahbudindotcom 12/02/2021)