Gerakan sertai PN seperti melukut di tepi gantang, tiada nilai tambah

 


Gerakan sertai PN seperti melukut di tepi gantang, tiada nilai tambah


Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin menyifatkan penyertaan Gerakan ke dalam Perikatan Nasional (PN) sebagai hanya seperti melukut di tepi gantang yang sekadar membanyakkan bilangan ahli parti.

Beliau berkata, parti itu terlalu ‘insignificant’ (tidak ketara) untuk memberi kesan bermakna kepada PN.

Menurutnya, jika tidak kerana kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Buntong, Perak yang diperoleh melalui pengkhianatan, Gerakan sudah hanyut.

Katanya, Gerakan memperoleh kerusi itu, apabila S Subramaniam yang menang kerusi tersebut atas tiket Pakatan Harapan (PH) – DAP belot pada Jun lalu.

“Kehadiran Gerakan dalam PN bolehlah disamakan dengan keahlian Parti Makkal Sakti Malaysia, Kongres India Muslim Malaysia dan Barisan Progresif India Se-Malaysia dalam Barisan Nasional (BN), ia ibarat melukut di tepi gantang.

“Menunjukkan keterdesakan PN untuk menambah bilangan anggota dengan memberi gambaran ia adalah gabungan pelbagai kaum,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat.

Tambah A Kadir, sama seperti MCA dan MIC yang masih menganggotai BN, Gerakan boleh dikatakan sudah ditolak sepenuhnya oleh pengundi Cina dan India.

Justeru katanya, dengan menyertai PN, Gerakan tidak lebih hanya mahu mengelak daripada terus terumbang-ambing dalam lautan politik yang semakin bergelora.

“Selain Bersatu dan Pas, parti anggota PN yang lain adalah Parti Solidariti Tanah Airku (Star) (Sabah) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).

“Star ada satu kerusi Dewan Rakyat dan enam DUN di Sabah, manakala SAPP ada satu kerusi DUN,” katanya.



No comments: