KUALA LUMPUR, 12
Feb -- Proses pendaftaran sebagai peneima vaksin COVID-19 bagi orang
ramai dijangka dibuka bermula Mac ini dan dilaksanakan dengan konsep sukarela,
kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Katanya mereka boleh
berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi
MySejahtera.
“Sekiranya tiada
MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang
(Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin
COVID19-JKJAV) yang akan dilancarkan perdana menteri pada minggu
depan.
“Selain
itu, talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran secara
manual di klinik dan hospital awam serta swasta, dan kelima,
jika berada di kawasan pedalaman, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri
untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas,” katanya dalam program
Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan semalam, bertajuk
”Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap COVID-19”.
Khairy yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19
Kebangsaan mengulangi program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan
hadapan.
“Saya terima banyak permohonan supaya ditakrifkan (pemohon)
sebagai frontliners namun
kita akan menilai setiap permohonan.
“Saya boleh
sahkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah orang pertama
yang akan menerima vaksin Pfizer, dan kemudiannya Ketua Pengarah
Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), doktor, jururawat dan lain-lain
lagi. Menteri-menteri kemudian sikit,” katanya.
Pada
4 Feb lalu, Muhyiddin dilaporkan berkata kerajaan akan memulakan Program
Imunisasi COVID-19 Kebangsaan tiga fasa mulai hujung bulan ini, dengan kerajaan
menyasarkan sebanyak 80 peratus populasi negara ini atau 26.5 juta individu
menerima vaksin itu yang akan diberikan secara percuma.
Fasa
pertama dari Februari hingga April adalah untuk kira-kira 500,000 petugas
barisan hadapan yang terbabit secara langsung dalam memerangi wabak itu,
sementara fasa kedua dari April hingga Ogos bagi kumpulan berisiko tinggi
iaitu warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan
masalah morbiditi seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah
tinggi selain golongan orang kurang upaya (OKU).
Fasa
ketiga pula adalah bagi golongan dewasa berusia 18 tahun ke atas dari Mei ini
hingga Februari tahun depan.
Pada
8 Jan lalu, Khairy mengumumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar
oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekali gus memberi kelulusan
bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.
Selain
Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan
dengan sebahagian negara terbabit telah mula menggunakan vaksin itu.
Untuk
rekod, vaksin Pfizer juga menjadi vaksin COVID-19 yang pertama mendapat
perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.
--
BERNAMA