PKP2.0: Ramai peniaga pasar malam bakal ‘gulung tikar’
Peniaga pasar malam antara golongan yang dijangka ‘gulung tikar’ jika kebenaran berniaga tidak diberikan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.
Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) Mohamed Zamri Mohammed berkata, rungutan diterima sejak PKP 2.0 dilaksanakan kerana peniaga pasar malam tidak dibenarkan berniaga.
Menurutnya, kehidupan mereka kini semakin tersepit jika ia diteruskan tanpa ada pertimbangan daripada kerajaan.
“Peniaga sudah pasti akan patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan kerana mereka mahu mencari rezeki.
“Tiada beza kebenaran diberikan kepada penjaja makanan namun tidak kepada peniaga pasar malam. Mereka juga mahu hidup,” katanya.
Menurutnya, peniaga pasar malam juga menggunakan teknik beli dan pulang yang sudah pasti tidak memberikan masalah jika ia dibenarkan.
Katanya, peniaga tidak membantah arahan kerajaan yang melaksanakan PKP 2.0 namun diharap diberi pertimbangan sewajarnya untuk kembali beroperasi.
“Peniaga kecil ini juga ada keluarga yang perlu ditanggung malah bersedia mematuhi semua arahan dan SOP ditetapkan.
“Jika berterusan tidak dibenarkan berniaga, pasti ia akan merumitkan mereka yang sudah pasti menanggung beban kewangan yang tinggi,” katanya.