Oleh B. Suffian
Kerajaan digesa segera melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh enam bulan dan meningkatkan kadar subsidi upah PERKESO kepada jumlah yang lebih tinggi.
Dalam satu kenyataan bersama, seramai 25 ahli Parlimen pembangkang berkata, kadar penggangguran ketika ini meningkat dengan mendadak.
Sekiranya tidak ada tindakan yang lebih agresif, menurut kenyataan itu, lebih banyak industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bakal mengalami kerugian dan akan mengakibatkan kehilangan lebih banyak pekerjaan.
“Walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 baru sahaja dilanjutkan, Malaysia belum lagi menyaksikan penurunan jumlah kes Covid-19.
“Keyakinan para pelabur tempatan mahupun antarabangsa berada pada tahap terendah dan pakej rangsangan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI) yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada 18 Januari 2021 baru-baru ini hanyalah bersifat kosmetik dan tidak memadai berbanding kesan daripada PKP 2.0 dan darurat,” kata kenyataan tersebut hari ini.
Mengulas lanjut, kenyataan itu memberitahu, moratorium pinjaman secara automatik untuk tempoh enam bulan seperti yang dilakukan semasa PKP 1.0 itu akan menghilangkan keresahan dan birokrasi dengan segera.
Menurutnya, industri PKS atau mereka yang tidak terkesan boleh meneruskan pembayaran pinjaman mereka seperti biasa.
“Enam bulan moratorium pinjaman secara automatik akan meningkatkan aliran tunai kepada sektor ekonomi malah merancakkan aktivitinya.
“Dengan cara ini individu dan PKS akan mempunyai lebihan tunai yang dapat membantu meningkatkan pendapatan semua jenis perniagaan, seterusnya akan menggalakkan mereka mengekalkan atau mungkin menambah lebih ramai pekerja, bukannya membuang pekerja, sepanjang menghadapi pandemik ini,” ujar kenyataan itu.
Tambahnya, kadar subsidi upah PERKESO sebanyak RM600 bagi setiap pekerja perlu dipertingkatkan kepada jumlah yang lebih tinggi (kepada yang mempunyai pendapatan di bawah RM4,000) dan melanjutkannya untuk tempoh sekurang-kurangnya enam bulan.
Kenyataan itu memberitahu, jumlah subsidi RM600 sebulan yang diberikan sekarang tidak memadai dalam menghadapi PKP 2.0 dan darurat, yang telah menunjukkan kesannya ke atas beberapa sektor.
“Subsidi upah selama tempoh enam bulan akan menggalakkan para majikan untuk tidak membuang pekerja dan membantu mereka bertahan sehingga separuh tahun akibat penyusutan jualan dan aliran tunai.
“Bagi sesetengah yang lain, ini juga mungkin mendorong mereka untuk mengambil pekerja semula,” katanya.
Kenyataan itu seterusnya menegaskan, ini adalah masa yang luar biasa justeru, erajaan harus mengambil langkah yang luar biasa juga untuk menyelamatkan sektor pekerjaan.
Ujarnya, peningkatan jumlah penggangguran bakal merugikan negara sehingga tidak ada lagi pakej rangsangan yang mungkin dapat membantu kita pada masa depan.
“Kerajaan Perikatan Nasional sebenarnya telah pun tewas kepada negara jiran ASEAN kita dalam daya saing mereka untuk menarik pelabur asing akibat kelemahan, ketidakcekapan dan ketidakstabilan politik.
“Kekal dengan sindrom penafian dan kedegilan untuk merubah sesuatu yang lebih berkesan untuk sektor perniagaan hanyalah paku keranda terakhir untuk ekonomi kita yang parah dan berdarah,” tambahnya.