Ada yang ‘goyang’ dengan Melayu DAP

 

Oleh Ghafar NS

Sejak kebelakangan ini cybertroopers dan mereka yang tidak suka DAP sering meninggalkan komen berbunyi, “DAP jual muka Melayu” atau “DAP guna Melayu”.

Dua jenis komen yang berbunyi iri kerana makin ramai wajah pimpinan Melayu dalam DAP. Barangkali bimbang kerana komen berbaur fitnah berbunyi “DAP anti-Melayu” atau “DAP rasis” tidak lagi relevan selepas ini.

Masakan tidak, semakin hari Melayu makin percaya dengan DAP apabila menyedari, naratif buruk dan memalitkan hal negatif padanya.

Sejak diawal penubuhannya pada 1966, DAP sememangnya mempunyai ahli berbilang bangsa, sama seperti Gerakan, PKR mahupun Warisan.

Mungkin tidak ramai yang tahu, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1969, DAP telah mengetangahkan 10 calon Melayu dan dua daripada mereka berjaya menjadi Adun.

Sedangkan UMNO, MIC dan MCA adalah tiga parti berasaskan kaum di negara ini. Tapi jarang kita dengar tiga parti ini dikatakan sebagai Parti Rasis, Parti Melayu, Parti Cina atau Parti India seperti mana DAP.

Naratif buruk dengan menggambarkan DAP sebagai parti rasis atau komunis adalah naratif lapuk Barisan Nasional (BN) khususnya untuk mengaburi mata rakyat akan kemajmukan DAP, sekaligus mengangkat semangat Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa.

Tohmahan dan fitnah yang sengaja dibesar-besarkan membuatkan masyarakat Melayu kebanyakannya takut pada DAP. Ini hasil daripada serangan rejim UMNO-BN yang menanam racun pada pemikiran rakyat melalui pengawalan media massa.

Namun, sejak kebelakangan ini dapat dilihat, pemimpin Melayu dalam DAP semakin yakin dan berani ke hadapan, aktif mematahkan fitnah, cacian dan naratif negatif yang cuma ditempelkan pada DAP.

Antara mereka yang kini dilihat aktif di media massa dan media sosial dalam mematahkan naratif jahat tentang DAP adalah, Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof; Adun Ketari, Young Syefura Othman; Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Adun Paloh; Sheikh Umar Baghrib Ali.

Malah, ahli Melayu DAP yang lain seperti Setiausaha Publisiti DAP Wanita Johor, Marina Ibrahim dan AJK DAPSY Damansara, Aliya Ashiqin dilihat giat mempromosikan DAP untuk semua masyarakat Malaysia tidak mengira kaum dan agama.

Ini menjadi petanda baik dalam politik di Malaysia. Namun, jelas perubahan positif ini tidak disenangi dan ada yang mengambil kesempatan dengan mengatakan bahawa “DAP guna Melayu”.

Susah hatikah UMNO-PAS jika DAP lebih majmuk daripada mereka? Panas sangatkah punggung mereka sampai tak sudah-sudah menabur fitnah, lalu lupa bahang neraka?

Orang kata benci biarlah berpada-pada. Kebencian UMNO-PAS pada DAP kadang-kadang tak boleh diterima logik akal. Contohnya, pelantikan Sheikh Umar sebagai ahli lembaga pemegang amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mendapat tentangan hebat pada awal tahun 2019, hanya kerana beliau daripada parti DAP.

Mereka yang menentang seolah-olah tidak dapat berfikir bahawa agama dan parti politik adalah dua entiti berbeza. Beliau dilantik kerana merit, kelayakan dan pengalamannya. Malah, latar belakang agamanya juga sangat kukuh. Tapi, kerana benci dan iri terhadap Melayu dalam DAP, mereka jadi buta hati.

Tidak mustahil lima atau 10 tahun lagi, akan lebih ramai belia Melayu bakal turut bersama DAP dalam perjuangan ke arah Malaysia yang ebih baik dan bersatu-padu tanpa prejudis.