Surat Ku Li bukan agenda BN, kata Annuar

 

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata beliau tidak akan menghadiri perbahasan belanjawan ketika keabsahan kerajaan dipersoalkan.

PETALING JAYA: Surat oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah yang mempersoalkan keabsahan kerajaan Muhyiddin Yassin kepada Speaker Dewan Rakyat tidak akan dibincangkan pada mesyuarat Barisan Nasional (BN) malam ini.

Setiausaha Agung BN Annuar Musa berkata, perbincangan mengenai belanjawan juga bukan agenda, kerana BN sudah memutuskan pendirian.

“Sokongan Barisan kekal,” katanya ringkas.

Ahli politik pembangkang berulang kali mempersoalkan adakah belanjawan itu akan diluluskan Dewan Rakyat Khamis ini dalam menghadapi 28 usul undi tidak percaya terhadap perdana menteri Muhyiddin dibentangkan.

Tengku Razaleigh atau Ku Li berkata beliau tidak akan menghadiri perbahasan belanjawan ketika keabsahan kerajaan dipersoalkan, dan menolak pendirian Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun, usul yang dibawanya berbentuk “persendirian”.

Pada September, Razaleigh menulis surat kepada Azhar untuk meminta jaminan usul undi tidak percaya akan dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat berikutnya.
Azhar menjawab yang dia terikat dengan peraturan Dewan Rakyat dan meminta Razaleigh berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan “untuk memberi keutamaan kepada usul persendirian”.