Belanjawan 2021 : Peluang UMNO Untuk Wajahkan Diri Sebenar


Pertama sekali, saya ingin katakan bahawa saya bukan penyokong UMNO. Saya adalah penyokong tegar Keadilan. Tetapi dalam ilmu perang, kita juga ada tahap kehormatan kepada musuh kita. UMNO telah ditakdirkan menjadi seteru kita dalam politik. Sejarahnya panjang dan biarkan ianya hanya sejarah.

Namun begitu, walaupun UMNO itu seteru politik kita, rasa hormat kita mesti ada. Ini kerana UMNO adalah musuh secara berdepan dan bukan musuh yang menikam dari belakang atau menikam dari dalam. Ideologi kita yang memperjuangkan Keadilan untuk rakyat Malaysia berbeza dengan mereka yang terus mengagungkan ketuanan Melayu. UMNO parti besar tapi malangnya telah dikecilkan oleh hanya sebilangan kecil pemimpin mereka yang melutut kepada parti kerdil seperti PPBM. Itu hal mereka.

Sejak kekalahan dalam PRU 14, UMNO masih meraba mencari puncak. Hingga kini mereka masih belum mendapat jawapannya. Maka dengan itu, Belanjawan 2021 adalah peluang kepada mereka untuk mewajahkan diri mereka dengan sebenarnya.

Untuk mencapai hasrat itu, sebagai seteru politik yang nyata, saya mencadangkan pada pemimpin-pemimpin UMNO untuk melakukan tindakan ini :

1. Bantah Belanjawan 2021 dan kita bertarung dalam pilihanraya, atau

2. Bantah Belanjawan 2021 dan sokong DSAI sebagai PM ke 9.

Cadangan pertama adalah cadangan bermaruah untuk meletakkan semula kuasa kepada rakyat. Belanjawan sementara boleh dilaksanakan untuk memastikan kerajaan berfungsi sementara kerajaan baru dalam pembentukan. Dengan adanya pilihanraya, maka rakyat akan memutuskan untuk memilih samada Barisan Nasional atau Pakatan Harapan. Percayalah, dalam kamus rakyat ketika ini hanya ada dua pilihan kerajaan dan Perikatan Nasional tidak pernah wujud dalam sanubari rakyat.

Muafakat Nasional hanya watak sampingan.

Jika cadangan pertama sukar dilaksanakan atas alasan Covid-19, maka adalah sebaiknya UMNO menyokong pembentukan kerajaan baru pimpinan Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai PM ke 9 untuk tempoh hanya 2.5 tahun. Alasannya mudah, TSMY yang memimpin kerajaan pengkhianat ini ternyata langsung tidak membawa manfaat kepada rakyat. Tak perlu dihuraikan tapi tengoklah sendiri apa dah jadi dengan lambakan Menteri Kabinet, peruntukan Jasa yang melimpah dalam Belanjawan 2021, permasalahan KWSP yang tenat untuk membantu rakyat dan lain-lain.

Justifikasi cadangan ini adalah mudah. UMNO dan Barisan Nasional tidak rugi apa-apa pun dengan sokongan kepada DSAI kerana tidak ada bezanya seperti menyokong TSMY. Malah dengan mengalihkan sokongan sementara kepada DSAI, imej UMNO kepada rakyat akan menjadi lebih tinggi kerana UMNO dilihat membuat keputusan membela rakyat dan atas keperluan semasa. Ini lah masanya UMNO mampu menjadi King Maker dalam kerajaan dan menjadi kumpulan pendesak kepada apa-apa pun dasar kerajaan yang memberikan kelebihan kepada rakyat.

Dalam erti kata yang lain, samada UMNO mengetuai kerajaan ataupun tidak, UMNO tetap memainkan peranannya sebagai sebuah parti untuk rakyat. Nasihat saya kepada seteru politik nya nyata ini, tolak Belanjawan 2021 ini untuk kita bertarung sekali lagi dalam medan pilihanraya atau sokong DSAI sebagai PM untuk rakyat dan negara.

Tunjukkan wajahmu yang sebenar.

Kita Sembang

23.11.2020