Speaker jangan tangguh tubuh Jawatankuasa Wanita, Kanak-kanak, Pembangunan sosial

 


Wanita KEADILAN mengingatkan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun supaya tidak menangguhkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Sosial.

 Menurut Pengarah Komunikasi Wanita Pusat KEADILAN, Loh Ker Chean, berdasarkan laporan media The Star pada 17 September lalu Azhar masih mahu memikirkan penubuhan jawatankuasa berkenaan, yang sebelum ini telah menerima desakan dari pelbagai pertubuhan wanita agar disegerakan.

 "Wanita KEADILAN berpendapat Dewan Rakyat tidak mempunyai sebarang alasan untuk menangguhkan penubuhan jawatankuasa tersebut kerana kesejahteraan dan pembangunan institusi kekeluargaan dan sosial menerima kesan negatif daripada penularan pandemik Covid-19 secara keseluruhannya.

 "Kesan negatif yang menggugat kesejahteraan institusi kekeluargaan adalah seperti impak kekurangan pendapatan isi keluarga, kenaikan dalam kes keganasan keluarga serta golongan wanita yang terlibat dengan pinjaman pakej Hijrah yang terjejas dan sebagainya," kata Loh dalam satu kenyataan.

 Selain itu, menurut Loh lagi, jawatankuasa tersebut juga boleh berperanan bagi penggubalan rang undang-undang (RUU) warga emas yang juga merupakan salah satu agenda utama dalam pembangunan keluarga dan masyarakat.

 "Penubuhan jawatankuasa pilihan khas ini membolehkan ahli jawatankuasa mempunyai masa mencukupi membicarakan dan memperhalusi cadangan RUU dengan sewajarnya. Jika mengikut perancangan mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah, ia akan dibentang di Parlimen pada awal 2021.

 "Wanita KEADILAN ingin menegaskan sekali lagi kepentingan jawatankuasa pilihan khas wanita ini dan menggesa agar pihak Datuk Azhar menubuhkan jawatankuasa pilihan khas wanita dengan serta-merta, tanpa sebarang pertimbangan lagi," katanya.

 Untuk rekod, di bawah Pakatan Harapan sebelum ini jawatankuasa tersebut merupakan sebahagian pelan reformasi pentadbiran. PH pernah mempunyai Jawatankuasa Pilihan Khas untuk Kesaksamaan Gender dan Pembangunan Keluarga yang dipengerusikan oleh Nor Azrina sebelum ditiadakan di bawah Speaker baharu.

 


No comments: