Jika PN-BN kalah, rakyat Sabah berjaya sekat PRU15 tergempar

 


Pilihan Raya Umum (PRU) ke 15 menurut penganalisis politik berkemungkinan besar akan diadakan secara tergempar pada hujung 2020 sekiranya Perikatan Nasional (PN) dan BN berjaya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

 Sebaliknya jika kalah, maka PN akan menangguhkan PRU tersebut untuk beberapa lama bagi mengelakkan tsunami Sabah melanda ke Semenanjung.

 Bagi Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang, pengundi di Sabah mempunyai peluang untuk menyekat politik caca merba dan membazir PN dengan mengalahkan mereka pada 26 September nanti.

 "Saya gembira pengundi yang berada di Sabah (kelihatannya) memberi sokongan kepada Warisan Plus sebab Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal telah membawa perubahan baik semampu mungkin selepas PRU14 lalu. Juga tempoh Warisan berkuasa adalah terlalu singkat (Mei 2018 hingga Julai 2020) dan mandat tersebut wajar diteruskan lagi.

 "PRU15 akan diadakan kalau Warisan kalah PRN ini. Oleh itu, semua pengundi Warisan Plus berkemampuan dan akan berjasa besar menyekat PRU15 dilaksanakan dalam masa terdekat (dengan mengalahkan PN-BN)," katanya dipetik.

 Menurut Chang, situasi kempen di Sabah selepas seminggu boleh dianggap menyebelahi Warisan Plus biar pun PN dan BN menurunkan semua jentera dan dana untuk memenangi hati rakyat Sabah.

 "Situasi dalam medan pertempuran memang sengit kerana PN dan BN sedang berkempen dengan sepenuh kekuatan mereka. Namun begitu, sokongan terhadap Warisan-PH atau Warisan Plus adalah memberangsangkan," katanya lagi.

 Cuma sedikit faktor yang membimbangkan, kata Chang, sekiranya pengundi di Semenanjung tidak pulang ke Sabah ekoran harga tiket yang tinggi menjelang hari pembuangan undi. Hal itu, menurutnya mungkin menjejaskan peluang Warisan-PH untuk mendapat kerusi lebih banyak.

 "Ramai dari pengundi Warisan bekerja di Semenanjung pada masa ini. Diberitakan ramai tidak akan balik mengundi kerana tidak mampu bayar harga tiket penerbangan. Ini satu faktor yang agak membimbangkan kita," katanya lagi.

 Bagaimanapun, dengan semangat pengundi tempatan yang berkobar-kobar untuk memastikan negeri itu bebas dari percaturan politik 'pintu belakang' Semenanjung, Chang optimis, kemenangan akan menyebelahi Warisan-PH.

 

No comments: