Naib Presiden KEADILAN, Datuk
Dr Xavier Jayakumar menempelak kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin
Yassin yang mahu adakan Pilihan Raya Umum Ke-15 lebih awal jika memenangi
Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Beliau berkata, sebarang
pilihan raya tidak sepatutnya menjadi keutamaan ketika ini kerana rakyat masih
terkesan dengan wabak COVID-19.
"Perdana Menteri kata
kalau menang buat PRU-15 lebih awal, Ini satu ugutan kepada penduduk Sabah. Ini
bukan tentang Parlimen, mereka sendiri tidak ada majoriti dalam Dewan Rakyat
malah kerajaan pun masih tidak stabil.
"Kita masih dalam situasi
COVID-19, tapi apabila berlakunya pilihan raya, kerajaan perlu berbelanja dua
kali ganda ketika ini sedangkan duit itu boleh digunakan untuk rakyat,"
katanya ketika berkempen untuk calon DUN Inanam, Peto Galim.
Xavier juga memberi peringatan
kepada Muhyiddin bahawa PRN Sabah berlaku bukan atas kemahuan rakyat
semata-mata.
"Pilihan raya datang bukan
sebab rakyat mahu tapi ada pemimpin yang salah guna kuasa dan menggunakan wang
dan hadiah yang merupakan satu bentuk korupsi untuk jatuhkan kerajaan, jangan
lupa dan rakyat tidak akan maafkan," katanya.
Pada masa sama, Xavier memberikan
sokongan penuh kepada gabungan Warisan Plus yang diterajui oleh Datuk Seri
Shafie Apdal.
"KEADILAN bersama Warisan
Plus berharap dapat membentuk kerajaan bersama Shafie sebagai calon Ketua
Menteri Sabah.
"Kita tidak ada masalah
untuk bekerjasama dan memberi sokongan kepada Shafie, tidak ada tentangan
antara KEADILAN dengan sesiapa, sebaliknya kita bersama-sama dalam
perjuangan," katanya.