Pelantikan Wong Kah Woh kekalkan tradisi pembangkang selaku pengerusi PAC - Anwar




Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong penuh pelantikan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

Beliau berkata ia sebagai kesinambungan kepada tradisi yang dimulakan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Kita mengemukakan supaya Ipoh Timur dilantik sebagai pengerusi PAC, dan saya berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana menerima usul dari PH.

"Ini supaya kita dapat kekalkan tradisi pembangkang menjadi pengerusi PAC.

"Saya percaya Ipoh Timur dapat menjalankan tugas secara profesional untuk memastikan kira kira dan akaun wang negara dibuat dengan telus dan bertanggungjawab," katanya di Dewan Rakyat.

Ini bermakna, Wong menggantikan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad manakala Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun, dilantik sebagai Naib Pengerusi PAC.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mencadangkan supaya mengadakan siaran langsung untuk prosiding PAC sama seperti Dewan Rakyat, Dewan Negara dan sidang Kamar Khas.

"Saya bercadang kepada Datuk Yang Di-pertua supaya prosiding PAC dapat dibuat secara terbuka supaya rakyat tahu apa yang berlaku dalam prosiding itu, ini permintaan saya sebagai bekas ahli PAC," katanya.


No comments: