Pendedahan Zafrul satu penipuan, serangan politik terhadap PH




Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz perlu memperbetulkan senarai projek rundingan terus (RT) Pakatan Harapan (PH) daripada RM6.61 bilion kepada RM352 juta.
Dalam masa sama, Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng turut meminta Tengku Zafrul mendedahkan senarai projek RT zaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) untuk membuktikan keihklasan beliau tidak mahu mempolitikkan isu berkenaan.
“Pendedahan senarai projek RT daripada PH sahaja, dan bukannya BN dan PN, dilihat sebagai satu serangan politik yang kotor ke atas PH. Malah apa yang didedahkan ialah penipuan semata-mata.
“Ini kerana daripada jumlah RM6.61 bilion yang diumumkan, 95 peratus atau RM6.258 bilion merupakan projek yang diwarisi dan sambungan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan oleh PH,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kebangsaan DAP di sini hari ini.
Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, dalam kata lain, projek RT di bawah inisiatif PH bukan RM6.61 bilion seperti yang diuar-uarkan tetapi sebenarnya hanya 5.3 peratus daripada jumlah itu iaitu RM352 juta.
Tengku Zafrul ketika berucap di parlimen baru-baru ini mendakwa bahawa 101 projek bernilai RM6.61 bilion telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan melalui rundingan terus di bawah pemerintahan PH.
Beliau membuat dakwaan itu ketika menjawab pertanyaan dari Ahli Parlimen Pontian, Ahmad Maslan.
Bagaimanapun Zafrul ketika itu tidak mendedahkan perinciannya.
Pemimpin-pemimpin PH serta bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah mencabar Tengku Zafrul untuk menerbitkan senarai penuh 101 projek berkenaan.
Kelmarin Tengku Zafrul mendedahkan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion melalui perolehan kerajaan secara RT.
Guan Eng dalam sidang media semalam telah menjawab ‘pendedahan’ tersebut antaranya menegaskan bahawa kebanyakan projek RT tersebut bukan inisiatif baru daripada PH, tetapi adalah projek warisan atau sambungan zaman BN.
Tengku Zafrul semalam dilaporkan berkata, isu projek kerajaan yang dianugerahkan secara rundingan terus tidak perlu dipolitikkan dan menambah, perolehan projek kerajaan secara rundingan terus diperuntukkan di bawah undang-undang.


No comments: