Majlis Setiausaha Pakatan
Harapan (PH) meluahkan rasa kekesalan apabila kerajaan Perikatan Nasional (PN)
bertindak menarik balik pindaan Perlembagaan bagi menghadkan tempoh menjawat
jawatan Perdana Menteri selama dua penggal, tanpa sebarang alasan.
Dalam kenyataan bersama antara
Fahmi Fadzil (KEADILAN), Khalid Samad (AMANAH) dan Liew Chin Tong (DAP), mereka
berpandangan bahawa pindaan itu adalah sebagai satu peluang keemasan untuk
melaksana reformasi yang amat bermakna di negara ini, namun telah disia-siakan
dan dibuang begitu sahaja oleh PN.
"Antara tujuan utama PH
mengusahakan pindaan ini adalah untuk memastikan seorang individu tidak
memegang jawatan Perdana Menteri untuk tempoh terlalu lama yang memungkinkan
dia boleh mengambil kesempatan ke atas kedudukan tersebut selama memegang
jawatan itu, termasuk menutup penyelewengan yang dilakukannya.
"Secara tidak langsung,
pindaan tersebut diharap akan dapat memberi peluang kepada lebih ramai pimpinan
politik baharu untuk berkhidmat sebagai Perdana Menteri dan menutup kemungkinan
budaya pendewaan seseorang pemimpin," menurut kenyataan.
Pada masa sama, PH juga
berpandangan tindakan drastik itu menunjukkan bahawa PN tidak mempunyai
aspirasi tersendiri untuk memperjuangkan demokrasi di negara ini, sebaliknya
hanya mahu menikmati kuasa itu dengan sesuka hati.
"Sikap ‘pusingan U’ ini
membuktikan bahawa kerajaan hari ini tiada ‘falsafah perjuangan’ dan hanya
berminat memegang kuasa, dan tidak mempunyai wawasan atau visi yang lebih besar
untuk memastikan demokrasi sentiasa subur di bumi Malaysia," katanya.