10 sebab kenapa Azmin ‘Ikon MITI’ paling teruk




Oleh Aziera NH
Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming hari ini menyenaraikan 10 sebab mengapa Menteri Perdangangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Azmin Ali boleh menjadi “Ikon MITI” paling teruk dalam sejarah Malaysia.
1. Penurunan jumlah perdagangan terbesar pada Mei 2020 dalam tempoh 20 tahun
Jumlah perdagangan Malaysia mencatatkan penurunan sebanyak 27.8% dari RM159.2 bilion pada Mei 2019 kepada RM114.9 bilion pada Mei 2020. Ini sekaligus mencatatkan penurunan terbesar perdagangan Malaysia dalam tempoh 20 tahun terakhir.
Manakala Perdagangan Suku Kedua pula turun sebanyak 14.7% daripada RM460.5 bilion pada tahun 2019 kepada RM393.0 bilion pada tahun 2020.
Walaupun semasa krisis kewangan global 2008, penurunan terbesar yang dicatat hanyalah sebanyak 17.8% iaitu pada bulan Ogos 2008.



2. Malaysia alami defisit dagangan pertama pada April 2020 sejak 1998
Malaysia juga mengalami defisit perdagangan pertama sebanyak RM3.63 bilion pada April 2020 di bawah kepimpinan Azmin Ali. Ini juga merupakan defisit perdagangan pertama sejak krisis kewangan Asia 1998.



Sejak tahun 1998, Malaysia telah mengalami lebihan perdagangan selama 269 bulan berturut-turut. Tetapi nampaknya kejayaan ini terhenti sejurus selepas Azmin Ali mengambil alih MITI.
3. Jualan sektor pembuatan susut 33% pada bulan Aril 2020
Sekali lagi, MITI di bawah pimpinan Azmin Ali berjaya mencatatkan penurunan 33% dalam jualan sektor pembuatan iaitu dari RM113.1 bilion pada April 2019 kepada RM75.8 bilion pada April 2020.
Nilai jualan sektor perkilangan juga mencatatkan penurunan sebanyak 16.5% daripada RM337.6 bilion pada Q2 2019 kepada RM281.9 bilion pada Q2 2020.



4. Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) menguncup 32% pada April 2020
IPP Malaysia telah menguncup 32% dari 112.4 pada Aril 2009 kepada 76.5 pada April 2020. Penurunan seperti ini belum pernah terjadi dalam sejarah Malaysia.
Bukan itu sahaja, IPP juga jatuh masing-masing sebanyak 21.6% untuk Mei dan 0.4% untuk Jun 2020. Bagi suku ke-2 2020, IPP turun sebanyak 17.9%.



5. Ribuan syarikat gagal akses sistem permohonan dalam talian MITI
Kebanyakan penurunan jumlah perdagangan ini berlaku pada fasa pertama PKP. Azmin adalah menteri yang sepatutnya bertanggungjawab untuk mengurangkan kesan penurunan ini. Malangnya, beliau gagal merancang dengan baik. Tambahan pula, ribuan syarikat dalam sektor tambahan yang mahu beroperasi semasa PKP juga kecewa apabila mereka gagal untuk mengakses laman web MITI.



6. Pengumuman awal pembukaan semula ekonomi pada awal Mei tanpa persiapan yang tepat
Setelah menutup sebahagian besar ekonomi tanpa persiapan yang rapi, kerajaan PN mengumumkan pula ingin membuka semula sektor ekonomi pada pertengahan April 2020. Malangnya Azmin telah membuat pengumuman awal tanpa persiapan dan rundingan yang tepat.
Beliau sepatutnya memberikan penerangan yang jelas kepada kerajaan Negeri termasuk di Selangor dan Pulau Pinang. Namun, perkara ini tidak berlaku.
Sebagai contoh, Azmin Ali sendiri umumkan pembukaan semula perniagaan kedai gunting rambut dan salon. Tetapi rupanya mereka belum sediakan SOP yang sesuai lagi untuk mula beroperasi. Ini sekaligus telah menimbulkan pelbagai reaksi daripada masyarakat termasuk para peniaga salon sendiri.



Bukan itu sahaja, Ketua Pengarah Kesihatan juga tidak setuju dengan arahan ini. Ini adalah contoh paling jelas kegagalan Azmin untuk menjadi “ikon MITI”.



7. Jumlah jualan kenderaan pada April 2020 merosot hampir 100%
Jualan kereta di Malaysia menyaksikan penurunan 99.7% pada April 2020. Unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk kenderaan automotif menurun dari 500k menjadi 400k bagi tahun 2020.



8. Kenapa masa jadi Menteri Ekonomi bantah CPTPP dan bila jadi Menteri MITI sokong pula?
Semasa menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi di bawah kerajaan PH, Azmin Ali merupakan salah seorang pengkritik paling kuat terhadap Perjanjian Komprehensif dan Progresif Bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP). Tapi nampaknya selepas bertukar portfolio sebagai Menteri MITI, beliau kini lebih menyokong CPTPP dan bahkan mengatakan bahawa kabinet PH telah bersetuju untuk meratifikasikan CPTPP pada tahun 2018.



Ini menyebabkan mantan Menteri MITI, Darell Leiking keluarkan pernyataan penjelasan mengenai keputusan kabinet mengenai CPTPP.



Nampaknya amalan “u-turn” dan cakap tak serupa bikin kini memang dah jadi sebati dalam diri Azmin.
9. Azmin lupa pernah jadi Anggota Kabinet PH
Semasa menjadi Menteri Hal Ehwal Ekonomi PH, beliau sendiri bersetuju bahawa BN adalah punca penyumbang kepada jumlah nilai hutang Malaysia sehingga RM1 trilion.



Tapi bila dah jadi pengkhianat, Azmin nampaknya lupa akan semua ini. Dia siap kata semua ini adalah pembohongan. Dengan mudah dia lupa bahawa dia juga adalah sebahagian daripada kabinet PH (sama juga seperti Tan Sri Muhyiddin).



10. Mengambil kredit atas usaha orang lain
“Pencapaian” terakhir Azmin yang juga menggelar dirinya sebagai “Ikon MITI” ialah dengan mengambil penghargaan atas usaha orang lain.
Contohnya, sejumlah pelaburan bernilai RM37.4 bilion telah diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan primer pada suku pertama tahun ini. RM26.3 bilion atau 70.4% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan disumbangkan oleh pelaburan domestic langsung (DDI) dan 29.6% dari pelaburan langsung asing (FDI).
Untuk pengetahuan, sebahagian besar kerja yang dilakukan untuk memperkukuhkan DDI dan FDI adalah usaha kerajaan PH. Tetapi Azmin nampaknya tanpa segan silu menerima kredit untuk angka pelaburan bagi Q1 2020.



Tapi tiada apa yang pelik pun sebabnya beliau memang dari dulu suka ambil kredit atas usaha orang lain.
Contohnya semasa beliau menjadi Menteri Ekonomi, beliau pernah ambil kredit atas Pakej Ransangan Ekonomi yang merupakan hasil usaha pasukan Kementerian Kewangan yang dipimpin oleh Lim Guan Eng. Padahal pada masa tu, Azmin dan gengnya sedang sibuk merancang “Langkah Sheraton” untuk jatuhkan kerajaan PH.



Kesimpulannya, Azmin memang layak digelar “Ikon MITI” yang paling teruk dalam sejarah Malaysia! 

No comments: