KISAH LAWAK PAHANG


Abdullah Jones

Orang Pahang memang macam tu. Awak gertak sikit, dia pun mengalah lah.

Jenis bodo yakmat ye juga tapi yang lebih penting adalah orang Pahang tak suka berkelahi.

Awak ada pernah dengar dalam sejarah ada pahlawan Pahang mengamuk sebab British ambil tanah Pahang?  Adalah lawan sekejap tapi lepas tu lari menyorok sampai ke Siam.

Malas berkelahi gamaknya.

Hang Tuah bawa lari Tun Teja apa jadi? Tak jadi apa-apa pun.

Itulah kodi tak kodinya orang Pahang.

Sebelum orang teroka buat kebun durian, di Raub tu dah lama orang Kelantan buat kebun.

Kalau awak ke  belah ulu sikit di Raub dan awak nampak kebun yang lawa, kalau bukan kebun cina, kebun orang Kelantan lah tu.

Orang Pahang bukan rajin sangat berkebun. Ada, bukan tak ada kebun orang Pahang yang lawa tapi tak banyak.

Sama susah nak cari sebidang macam susahnya nak cari orang politik yang tak makan suap.

Tapi kalau awak nak bergalak, awak ajak orang Pahang. Dari disco sampai ke sewang semua dilayannya.

Dulu-dulu kalau malam merdeka macam sekarang ini, dipadang depan masjid negeri di Kuantan akan dibina beberapa buah pondok hiburan.

Ada wayang kulit, ada orang asli bersewang, ada joget lambak, gerai judi tikam dan macam-macam.

Penuh dengan manusia datang berhibur dari merata cerok.

Saya suka tengok wayang kulit dan juga tengok orang berjoget.

Entah berapa sen satu tiket untuk berjoget saya tidak tahu. Budak sangat lagi masa tu.

Sampai kepagi biasanya pesta merdeka ini dan semua orang yang datang akan terpaksa tidur dipadang berkenaan setelah semua acara tamat atau jika jarak kampung mereka hanya sekitar bandar Kuantan, mereka akan berjalan kaki balik kerumah kerana bas terakhir waktu itu adalah sekitar jam 7:00 atau 8:00 malam.

Walaupun letih, mereka puas hati sebab dapat bergalak.

Jadi aok tak payah susah hatilah tanah itu ini nak bagi ke sapa sebab aok di Raub tu, pantang lepe, merata semok aok bukok karaoke.



No comments: