Piala Dunia 2018: Kerajaan PH tak bayar sesen, jana untung RM3.3 juta


Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng menggesa Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menggugurkan kos siaran langsung Piala Dunia 2018 sebanyak RM29.9 juta daripada senarai projek rundingan terus (RT) Pakatan Harapan (PH).
Tegas Guan Eng, ia tidak boleh dikira sebagai projek RT kerana Sports Media & Distributor adalah pemegang tunggal hak penyiaran Piala Dunia 2018.
Malah katanya, kerajaan PH tidak membayar sesen pun bagi siaran langsung itu kerana ia ditanggung sepenuhnya oleh syarikat penerbangan, AirAsia dan syarikat telekomunikasi, Maxis.
Tambahnya, kerajaan PH turut menjana keuntungan RM3.3 juta melalui hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan telah dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan. 
“Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin yang menyoalkan pihak kami tentang bayaran RM29.9 juta kepada Sports Media & Distributor, patut mendesak Zafrul untuk mengugurkan kos penyiaran RM29.9 juta daripada senarai projek RT.
“Sekiranya kedua-dua Menteri itu masih tidak faham, saya terangkan sekali lagi: AirAsia dan Maxis bayar RTM, RTM bayar Sports Media & Distributor. 
“Menteri Komunikasi Dan Multimedia ketika itu, Gobind Singh Deo telah mengumumkan bahawa tidak ada satu sen pun dibayar oleh pihak kerajaan.
“Sebaliknya kerajaan mendapat untung RM3.3 juta hasil iklan dan tajaan untuk siaran tersebut dan dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan,” ujarnya. 
Pembangkang dan pemerhati politik melihat isu projek RT dibangkitkan sebagai percubaan kerajaan Perikatan Nasional untuk mengambarkan PH kononnya tidak memenuhi janji manifesto.
Namun, PH tidak pernah berjanji untuk menghapuskan pemberian kontrak secara langsung.
Sebaliknya, perkara 23 manifesto pilihan raya PH berjanji akan melaksanakan proses tender terbuka seluas mungkin. 

No comments: