Anthony Loke sangkal tuduhan Menteri PN



Mantan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menafikan sekeras-kerasnya tuduhan yang dilemparkan oleh Datuk Seri Wee Ka Siong berhubung isu projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT 2) semalam.
Ahli Parlimen Seremban itu menegaskan, Menteri Pengangkutan Kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu telah memutar-belitkan fakta yang sebenar.
Fakta pertama
Fakta pertama, jelas Anthony, Kementerian Pengangkutan tidak pernah melantik Opus Consultants sebagai perunding bebas dalam projek tersebut pada tahun 2018.
Sebaliknya kata beliau, Opus Consultants hanya membentangkan laporan mereka kepada Kementerian Pengangkutan untuk rujukan secara sukarela tanpa apa-apa obligasi daripada Kementerian Pengangkutan.
“Laporan tersebut bukan laporan rasmi yang lengkap dan hanya berdasarkan maklumat-maklumat yang diketahui umum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Fakta kedua
Anthony berkata, beliau telah memaklumkan kepada Kabinet pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 19 September 2018 bahawa Kementerian Pengangkutan telah mendapatkan anggaran penilaian daripada pihak ketiga.
Tambahnya, kos projek didapati mampu dikurangkan kepada RM3 hingga 3.5 billion sekiranya ditender semula.
Sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan ujarnya, mencadangkan supaya kontrak dengan Syarikat Dhaya Maju LTAT dibatalkan dan ditender semula dengan kaedah tender terbuka.
“Mesyuarat Kabinet pada hari tersebut telah memutuskan untuk membatalkan kontrak dengan DM-LTAT,” katanya.
Petang semalam, Ka Siong dilaporkan mengumumkan bahawa projek KVDT 2 akan dibuka untuk ditender semula kerana mendapati kos projek tersebut masih terlalu tinggi walaupun Kerajaan PH telah mengurangkan 15 peratus daripada kos asal yang dipersetujui oleh Kerajaan BN.
Dalam kenyataan tersebut, beliau menuduh bahawa pada bulan Oktober 2018, perunding yang ditugaskan oleh kementerian, Opus Consultants telah mengemukakan Laporan Kajian Profesional yang menyimpulkan bahawa kos projek tersebut dianggarkan hanya RM3.398 billion berdasarkan skop kerja DM-LTAT yang asal dan kononnya, maklumat tersebut tidak pernah dimaklumkan kepada Kabinet pada masa itu.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, Ka Siong boleh mendapatkan pengesahan terhadap fakta tersebut melalui cabutan Minit Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 19 September 2018.
“Beliau perlu memohon maaf terhadap saya di atas tuduhan yang tidak berasas tersebut,” katanya.
Menurutnya, Jemaah Menteri pada 5 Julai 2019 memutuskan untuk meneruskan projek tersebut dengan pengurangan kos sebanyak 15 peratus.
Pertimbangan yang terbesar katanya, adalah implikasi perundangan di atas pembatalan kontrak tersebut yang telah pun dipersetujui pada 4 April 2018 dan kemungkinan pampasan yang besar perlu dibayar oleh kerajaan.
Tambahnya, persoalan yang sepatutnya ditanya oleh Ka Siong ialah mengapa rakannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang merupakan mantan Menteri Pengangkutan semasa projek ini diluluskan, tidak mendapatkan penilaian pihak ketiga sebelum meluluskan kontrak tersebut?
“Kesimpulannya ialah bahawa pada hari ini, Menteri Pengangkutan MCA telah membatalkan projek KVDT2 yang diluluskan terdahulu oleh mantan Menteri Pengangkutan MCA.
“Ini kerana Menteri Pengangkutan MCA bersetuju bahawa kos asal yang diluluskan oleh mantan Menteri Pengangkutan MCA adalah terlalu tinggi!” katanya. 

No comments: