Jangan salahkan orang lain atas kelemahan sendiri, Tamrin beritahu Zuraida






Tamrin Ghafar berkata, adalah mustahil Zuraida Kamaruddin tidak tahu mengenai projek di bawah kementerian beliau.
PETALING JAYA: Tamrin Ghafar hari ini membidas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin selepas beliau mengaitkan bekas ahli Parlimen itu dengan salah satu projek di bawah kementeriannya yang didakwa diluluskan secara rundingan terus oleh bekas menteri kewangan Lim Guan Eng.
Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata, sebagai penasihat syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin bertemu dan berunding terus berhubung projek pindahan sisa pepejal dengan Lim pada 26 November 2018.
Beliau mendakwa bahawa Tamrin, anak bekas timbalan perdana menteri Ghafar Baba, merupakan penyokong kuat Pakatan Harapan (PH).
Zuraida juga mendakwa bahawa Lim bersetuju untuk mengurangkan kos projek berkenaan sebanyak 10% dan menasihati syarikat tersebut supaya bertemu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk mengemukakan cadangan itu secara rasmi.
“Selepas itu projek berkenaan diluluskan oleh menteri kewangan di bawah Lim menerusi surat bertarikh 20 Februari daripada Kementerian Kewangan kepada ketua setiausaha KPKT,” katanya.
Tamrin mempersoalkan niat Zuraida mengaitkan beliau dengan perkara itu, sekali gus menggesa menteri berkenaan supaya tidak melibatkan atau menyalahkan orang lain atas kegagalannya sendiri.
“Amat mustahil bagi seorang menteri tidak tahu langsung perkara tersebut sedangkan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut rekomendasi KPKT.
“ Saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan seterusnya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.


No comments: