Oleh:
Zunar
Saya ingin
mencatatkan sebuah kisah penting yang tidak diberi keutamaan oleh media,
terutama media arus perdana. Cerita ini sengaja digelapkan atau dijadikan kecil
supaya ia tidak bakal menjadi contoh teladan betapa akhlak yang mulia dan
prinsip yang teguh adalah kunci kepada peribadi luhur.
Pada bulan
Mei 2005, seorang rakyat Palestin, Jamal Abder Rahman (Jamal Amro) hadir di
mahkamah di Kuala Lumpur untuk memberi keterangan dalam kes Anwar Ibrahim.
Jamal Amro
menjalankan perniagaan menyewa limousine di Amerika Syarikat. Antara yang
menggunakan khidmat limousinenya ialah menteri-menteri kabinet termasuk Anwar
(Timbalan Perdana Menteri ketika itu).
Dalam
akuan bersumpahnya, Jamal mendedahkan bahawa beliau didekati oleh seorang
pegawai kedutaan Malaysia yang menaiki limousinenya dan ketika sampai di
jambatan Delaware berdekatan New Jersey, pegawai tersebut mula berbicara. Dalam
perbualan itu, pegawai tersebut menawarkan wang AS$200,000 sekiranya beliau
sanggup membuat pengakuan pernah melakukan hubungan seks dengan Anwar. Jamal
terkejut dan menolak. Nama pegawai itu dinyatakan dengan jelas dalam pengakuan
bersumpah tersebut.
Ketika
itu, mahkamah sedang membicarakan tuduhan yang dibuat oleh Azizan Abu Bakar
bahawa Anwar meliwat beliau. Kes ini berlaku pada tahun 1999, ketika itu Dr
Mahathir menjadi PM.
Azizan
mengaku tidak diliwat
Dalam
mahkamah, Azizan, ketika disoal balas oleh peguam Christopher Fernando
(Allahyarham) mengaku beliau tidak diliwat. Lebih serius, Azizan juga menambah
bahawa beliau diarahkan oleh pegawai penyiasat, (nama pegawai itu disebut)
untuk mengubah tarikh kejadian.
Azizan
mulanya berkata bahawa perbuatan itu berlaku di Tivolli Villa pada tahun 1992.
Tetapi kemudian menukar kepada 'satu hari dalam bulan Januari hingga Mac 1993'
apabila peguam Anwar menunjukkan bukti bahawa Tivolli Villa belum siap pada
tahun 1992.
Di sini
disertakan perbualan dari rekod mahkamah:
Peguam
Fernando: "Tarikh 1992 adalah palsu?"
Azizan:
"Ya"
Fernando:
"Saya katakan kepada kamu tarikh pertuduhan dipinda kepada 1993 sebab
bangunan (Tivoli Villa) belum siap untuk diduduki?"
Azizan:
"Saya tak tahu".
Fernando:
"Adakah anda setuju dengan cadangan saya tadi?"
Azizan:
"Ya".
Fernando:
"Siapa yang menyuruh anda menukar tarikh kepada 1993?"
Azizan:
"SAC ...." (nama pegawai itu disebut).
Pengakuan
Azizan ini tidak dicabar dalam mahkamah oleh pihak pendakwa.
Nama
pegawai polis dan pegawai kedutaan Malaysia dalam kes Jamal Amro didedahkan
melalui proses undang-undang - satu dalam afidavit dan satu dalam kandang saksi
di mahkamah.
Apakah ada
tindakan diambil oleh pihak berkuasa terhadap pegawai-pegawai tersebut? Tidak!
Sebaliknya Anwar tetap didapati bersalah dan dihukum hampir enam tahun lamanya
dalam penjara.
Kes
Fitnah II
Kemudian
datang lagi kes pengakuan Saiful Bukhari Azlan. Kali ini ketika Najib menjadi
Perdana Menteri (PM).
Kata
Saiful, Anwar meliwat beliau di sebuah kondominium. Untuk itu, beliau perlu
bertemu doktor membuat pemeriksaan perubatan. Doktor yang ditemui adalah doktor
dari Hospital Pusrawi Dr Mohamad Osman Abdul Hamid.
Sebagai
saksi kes, Dr Mohamad Osman berkata bahawa selepas memerika Saiful, didapati
tidak ada kesan liwat, sebaliknya ada kesan tertuduh memasukkan plastik ke
dalam anusnya.
Itulah
satu-satunya bukti yang ada dalam kes tersebut, yang lain hanyalah pengakuan
Saiful. Sebagai nota, dalam proses perundangan, pengakuan tidak boleh diterima,
yang boleh diterima adalah keterangan dan bukti. Tetapi Anwar tetap didapati
bersalah dan dipenjarakan.
Dr Mohamad
Osman juga mendedahkan ugutan dari pihak berkuasa supaya beliau mengubah
laporan perubatan tetapi dia enggan berbuat demikian. Dalam afidavitnya, Jamal
Amro juga mendedahkan, bukanlah termasuk ajaran Islam untuk menerima tawaran
wang bagi membuat fitnah. Kerana itu, beliau mengusahakan untuk bertemu dengan
ulama terkenal Dr Taha Jabir Alalwani (Allahyarham) dan menceritakan mengenai
habuan yang ditawarkan. Dr Taha berkata kepada beliau supaya menolak tawaran
itu dan jangan berteman dengan syaitan.
Sebelum
itu pada tahun 1998, adik angkat Anwar, Sukma Darmawan Sasmitaatmadja dan
penulis ucapan mantan Timbalan Perdana Menteri itu, Dr Munawar Anees juga
dipaksa dengan ugutan dan penjara supaya mengaku mereka melakukan hubungan seks
dengan Anwar, tetapi kedua-duanya enggan.
Warga
asing lebih berprinsip
Apa
persamaan antara keempat-empat nama di atas? Kesemua mereka adalah warga asing.
Jamal adalah warga Palestin, Dr Mohamad Osman adalah warga Myanmar, Sukma
adalah warga Indonesia dan Dr Munawar adalah warga Amerika. Apakah pelajaran
yang kita kutip dari mereka? Kesemua mereka dihubungi untuk terlibat konspirasi
dengan cara sama ada imbuhan besar atau ugutan.
Jamal Amro
ditawarkan sekitar RM838,000 hanya untuk sebuah pengakuan fitnah. Bayangkan berapa
pula habuan yang didapati oleh rakyat Malaysia yang sanggup terlibat konspirasi
ini? Orang-orang yang muncul membuat pengakuan terutama menjelang pilihan raya,
orang-orang dari Jabatan Peguam Negara, segelintir para hakim dan segelintir
pegawai polis. Dan senarai panjang akan berterusan.
Saya
catatkan sebuah kisah teladan dari empat tokoh. Mereka semua punya akhlak,
punya prinsip dan tidak mahu memfinah orang yang tidak bersalah. Mereka tidak
mahu menggadai maruah dan harga diri demi kantung peribadi.
Jika
rakyat Malaysia yang dinyatakan dalam artikel ini juga punya akhlak yang tinggi
dan prinsip yang teguh seperti mereka, tentu konspirator politik, termasuk
beberapa bekas perdana menteri tidak dapat menjalankan kerja jahat mereka.
Dan
politik Malaysia tidak akan menjadi sejijik ini. Tetapi malangnya, nama-nama
akan terus muncul memfitnah dan memfitnah dan habuan demi habuan akan
disodorkan oleh tuan-tuan politik.
Secara
moral, kita semakin terjerumus ke lembah yang kotor dan berlumpur.
__________________________________________________________________________________
Penulis
merupakan kartunis sosial-politik terkenal tanah air dan turut mendapat
pengiktirafan di peringkat antarabangsa seperti anugerah Award for Courage in
Editorial Cartooning (2011), Cartooning for Peace (2016) dan banyak lagi.