Oleh:
Omar Mokhtar A Manap
Tatkala
sepinya Parlimen Mersing yang kebiasaan hanya diusik sepoi-sepoi bayu laut,
tempohari digolak oleh beringasnya politik Ahli Parlimennya Datuk Dr Latiff
Ahmad dan bekas partinya Umno, mungkin sudah tiba ruang untuk warganya melihat
opsyen yang terpampang di depan mata, bebas dari permainan dan percaturan
politik yang tidak menentu.
Jarang
sekali Mersing mendapat ruang biarpun anjakan politik pada skala nasional kian
menghangatkan ruangan berita dan media sosial, tetapi dengan satu ungkapan
"Umno dah tak laku" Dr Latiff agak berjaya meletakkan nama Mersing di
segenap bibir pembicara politik dan ruangan berita.
‘Saya
orang yang melompat,’ juga pengakuan yang dibuat Dr Latiff ketika berdialog
dalam Majlis Ramah Mesra Warga MARA tempohari yang lantas mengundang kritikan
panas dari pucuk pimpinan Umno baik di peringkat pusat, yang mana ada yang
mencabar Menteri Pembangunan Luar Bandar itu untuk meletakkan jawatannya.
Tolak
mohon maaf
Kenyataan
bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menggambarkan bahawa Umno
bersedia mengambil semula kerusi Mersing, disusuli Presiden Umno Datuk Seri
Ahmad Zahidi Hamidi yang secara tidak langsung menolak permohonan maaf Dr
Latiff secara tegas menyebut bahawa kerusi itu tetap milik Umno, memberikan
gambaran situasi sebenar ‘pertalian silaturahim dan kemesraan’ antara Umno dan
Bersatu.
Dr Latiff
merupakan Ahli Parlimen Mersing di bawah tiket Umno semenjak tahun 1999 lagi,
sebelum melompat ke Bersatu pada Februari 2019 dan menjadi sebahagian blok 15
ahli parlimen Umno yang mengukuhkan blok Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin
Yassin di dalam Bersatu ketika ini.
Bagaimanapun,
Umno Mersing pimpinan ketua bahagian dilihat mengeluarkan “teguran” yang begitu
lunak sekali, mungkin masih terhutang budi kepada “Bos Lamanya” walaupun ini
kali kedua Umno Mersing dimalukan sebegitu. Bahkan PPBM Mersing juga terus
sunyi daripada mempertahankan Ahli Parlimen parti mereka, mungkin terlupa
agaknya Dr Latiff sudah melompat ke PPBM.
Pengundi
Mersing terkesan
Ketika
berlumba-lumba orang Umno ingin menjadi “pendekar” mahu rebut kembali Parlimen
Mersing dan PPBM pula seboleh-bolehnya ingin mengekalkan kerusi yang mereka
dapat hasil lompatan itu, jangan terlepas pandang bahawa suara Datuk Sri Hj
Abdul Rahman Mohamad, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I merangkap Ahli
Parlimen Lipis dari Umno yang berada "di depan" Dr Latiff ketika
ungkapan kontroversi itu dilafazkan, langsung tidak kedengaran.
Omar
Mokhtar A Manap
Mungkin
perangai lama pimpinan Umno masih belum berubah. Tidak berani menegur. Kalau
berani pun, sekadar dari jauh. Tidak mengapa, Ahli Parlimen Lipis sudah
bersedia dengan seribu satu alasan kenapa beliau sekadar berdiam diri walaupun
partinya dihina sebegitu rupa di hadapan penjawat awam dan boleh disaksikan
secara langsung di seluruh negara. Mungkin juga beliau ada percaturannya
sendiri.
Namun
apakah rakyat Mersing tidak terkesan dengan pergolakan ini? Sudahlah Ahli
Parlimennya melompat parti, ditambah pula dengan ketidaktentuan menjanjikan
pergolakan berpanjangan. Yang pasti, Ahli Parlimennya sudah tidak senang duduk,
apatah lagi memastikan agenda rakyat diteruskan.
Sedang
Umno dan PPBM berebut kerusi, KEADILAN Mersing sedang bergiat aktif dengan pelbagai
program disusun untuk membantu masyarakat.
Semasa
Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di peringkat Negeri dan Persekutuan,
KEADILAN melalui pimpinan parti dan Penyelaras di Dun Tenggaroh (salah satu DUN
di Parlimen Mersing) telah mendapat kerjasama yang amat baik dari banyak pihak
terutamanya masyarakat di Parlimen Mersing dan DUN Tenggaroh, walaupun DUN itu
diwakili ADUN dari Parti MIC.
KEADILAN,
melalui Pejabat Penyelaras DUN tampak sudah lebih digemari oleh masyarakat
untuk menyampaikan sebarang aduan. Tentunya selaku penyelaras DUN, terdapat
pelbagai kekangan kewangan. Namun pimpinan parti, pejabat penyelaras DUN serta
sukarelawan yang terdiri daripada anggota KEADILAN Cabang Mersing dan
masyarakat setempat tetap menunjukkan komitmen yang jitu untuk memberikan
perkhidmatan terbaik.
Angin
perubahan bermula
Sambutan
dan penerimaan yang menggalakkan dari masyarakat Parlimen Mersing semakin dapat
dilihat melalui program anjuran KEADILAN dan Pejabat Penyelaras DUN Tenggaroh
yang diadakan di kawasan kubu Umno paling kuat di Mersing iaitu di Tenggaroh 3
yang juga merupakan kawasan Felda apabila telah mendapat kehadiran yang luar
biasa dari masyarakat. Dewan terbuka Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3 penuh
sehingga perlu ditambah kerusi di bahagian luar dewan. Ini suatu perkembangan
yang amat baik kepada KEADILAN untuk sebuah Parlimen yang dikatakan kubu kuat
Umno dan kini sedang direbutkan dengan PPBM.
Penduduk
Mersing semakin teruja menghadiri aktiviti anjuran KEADILAN
Tatkala
ada yang mengatakan bahawa Umno terlalu kuat jika bergabung dengan Pas dalam
Muafakat Nasional, undi yang diperoleh Pas dalam PRU lepas dengan mudah akan
berpindah kepada Umno tetapi hakikatnya di peringkat akar umbi tidak begitu.
Lebih dari separuh pengundi Pas akan beralih arah untuk tidak mengundi Pas atau
rakan kerjasama, sama ada Umno mahupun PPBM sepertimana yang boleh dilihat
melalui PRK DUN Chini.
MCA atau
MIC usah berangan untuk meraih laba politik dari kerjasama tersebut, anda
langsung tidak termasuk dalam perkiraan politik ini. Situasi ini turut sama
berlaku terhadap ahli akar umbi Pas Mersing yang masih kekok dan rasa terhina
untuk mengibarkan bendera Barisan Nasional. Mustahil untuk mereka terus
mengundi Pas yang bersama Umno, tetapi peluang lebih cerah untuk mereka
mengundi parti yang melawan Umno asalkan calon tepat dipilih.
Rakyat
Mersing semakin jelas, apabila ada pimpinan Umno Mersing mula mendakwa Dr
Latiff kini berubah, tidak buat kerja, sombong, tetapi hakikatnya itulah yang Umno
Mersing pilih sekian lama sehinggalah PRU 14 yang lalu. Walaupun Umno bersama
Pas, usah berangan Umno sudah disucikan.
Umno
Mersing jangan lari dari tanggungjawab, jika mahu dakwa Dr Latiff gagal, maka
Umno perlu turut sama memikul kegagalan itu. Ini belum dibangkitkan lagi
isu-isu setempat. Sebagai contoh, bagaimana rakyat Mersing diberi harapan palsu
berpuluh tahun tentang isu jambatan baru di bandar Mersing yang hingga kini
langsung tidak kelihatan dan sentiasa menjadi punca utama kesesakan lalu lintas
apabila tiba musim perayaan.
Modal
politik jambatan inilah yang diguna setiap kali tiba pilihan raya oleh calon
sama sejak tahun 1999 maka Umno usah berlepas tangan. Ketika Umno sedang
berkira-kira langkah politik yang diambil di Mersing, berebut pula Parlimen
Mersing dengan PPBM, kini Rakyat Mersing mempunyai pilihan yang lebih baik
melalui Parti Keadilan Rakyat Cabang Mersing yang komited menawarkan khidmat
bakti.
Rakyat
Mersing wajar memilih KEADILAN yang akan menampilkan calon tempatan yang
mempunyai tokoh kepimpinan, muda, latar belakang pendidikan dan aktivisme yang
baik, sikap merakyat dan berpotensi besar untuk menggalas harapan baru mereka
apabila tiba PRU 15 nanti.
__________________________________________________________________________________
Penulis
merupakan Ketua Penerangan Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor merangkap Ketua
Angkatan Muda KEADILAN Mersing