Putrajaya digesa tak teragak-agak dalam perbelanjaan untuk selamatkan ekonomi


sharethis sharing button

Charles Santiago menggesa inisiatif untuk menyokong perniagaan dan pekerjaan seperti Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan dilanjutkan hingga Mac depan supaya syarikat mempunyai ‘masa untuk bernafas’ seiring pembukaan semula perniagaan. (Gambar Bernama)


PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa kerajaan agar tidak  teragak-agak dalam perbelanjaan kerana hanya kerajaan mampu “menyelamatkan ekonomi” daripada kesan sekatan pergerakan dan penutupan di seluruh negara untuk memerangi penularan Covid-19.
“Buat masa ini, jangan bimbang mengenai hutang,” kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang juga seorang pakar ekonomi.
Pemimpin DAP itu berkata, kerajaan mengikut “buku panduan sama” untuk menangani krisis ekonomi seperti 1998 dan 2009 ketika krisis kewangan Asia serta global, tetapi tindak balas kerajaan tidak mencukupi.
“Keadaan lebih teruk kali ini kerana permintaan domestik dan harga minyak mentah rendah. Jadi, kerajaan perlu menyuntik dana secara besar-besaran dalam ekonomi. Inisiatif kerajaan untuk menyokong pekerjaan dan mendorong permintaan domestik perlu ditingkatkan serta diperluaskan.”
Santiago menggesa inisiatif untuk menyokong perniagaan dan pekerjaan seperti Program Subsidi Upah dan Program Pengekalan Pekerjaan dilanjutkan hingga Mac depan supaya syarikat mempunyai “masa untuk bernafas” seiring pembukaan semula perniagaan.
“Kerajaan perlu merangka rancangan komprehensif untuk menunjukkan bagaimana kita akan keluar daripada krisis ekonomi ini,” katanya sambil menggesa pembangkang bekerjasama dengan kerajaan.
Beliau mendapati kerjasama mungkin sukar kerana permusuhan politik ketika ini, tetapi ia perlu kerana masalah ini tidak pernah berlaku.
“Bila kali terakhir kita dengar 800,000 rakyat Malaysia hilang pekerjaan mereka?” soalnya.
Santiago berkata, pengeluaran pertanian perlu diberi keutamaan untuk menurunkan harga makanan dan memastikan keselamatan makanan. Kerajaan perlu banyak melabur dalam kesihatan dan kebajikan sosial secara berterusan, seperti Sistem Insurans Pekerjaan.
Katanya, ramai majikan tidak puas hati apabila skim itu diperkenalkan, tetapi ia kini membantu ribuan majikan, pekerja dan kerajaan.
Beliau berkata, pendapatan berterusan akan membolehkan rakyat mempunyai wang mencukupi untuk berbelanja dan seterusnya meningkatkan perbelanjaan domestik.
Katanya, skala pengangguran tidak jelas dan “mungkin lebih tinggi” daripada yang dipercayai, ia juga mungkin meningkat sebaik saja moratorium pinjaman bank berakhir bulan depan.

No comments: