Politik Malaysia untuk isi perut, bukan mantapkan minda?







Setelah 60 tahun Malaysia merdeka, persoalan yang membelenggu rakyat masih lagi seputar ketidak puasan hati antara kaum.

Bagi Profesor Dr Razali Nawawi (gambar kanan), ada sesuatu yang tidak kena dalam gerakan politik di negara ini apabila setelah 6 dekad berlalu namun masalah utama hubungan antara kaum tidak selesai.

Katanya, rakyat memerlukan gerakan membetulkan minda, bukannya membakar emosi secara berterusan sebagaimana yang diamalkan parti-parti politik pemerintah.

"Sudah 60 tahun kita merdeka, semua tahap, semua kumpulan, tidak kira di bandar mahu pun luar bandar masih lagi membincangkan rasa tidak puas hati

"Orang Melayu tak puas hati, Cina tak puas hati, India tak puas hati. Akhirnya masing-masing bertanya kenapa kita jadi macam ini? Mengapa tak puas hati?

"Sebelum ini, kita buat gerakan menuntut kemerdekaan, selepas merdeka kita ada gerakan mengisi kemerdekaan. Tetapi ia hanya menggerakkan perasaan, bukan minda. Maka tidak ada perubahan minda rakyat.

"Analisa saya, dari dulu kita hanya menyemarakkan emosi. Kita bakar emosi. Tak selamat Melayu, kita bakar emosi Melayu. Tak selamat Islam, kita bakar emosi orang Melayu terhadap Islam. (Itu sahaja yang dicapai)," katanya dalam forum bertajuk 'Gagasan Reformasi Dalam Al Quran dan Sunah' yang dianjurkan oleh Gabungan Reformasi Malaysia (GRM) baru-baru ini.

Menurut Dr Razali, gerakan membakar emosi tidak akan kekal lama jika tanpa pengisian. Katanya, Allah dan Rasullullah mengajarkan orang Islam membetulkan minda dan hati budi. Namun parti-parti politik Melayu-Islam di Malaysia tidak bergerak ke arah itu, sebaliknya mengelirukan penyokong dalam retorik perjuangan mereka.

"Sekarang ada atau tidak gerakan membetulkan minda, mentazkiyahkan hati nurani rakyat Malaysia? Gerakan betulkan minda yang kucar kacir. Menetapkan ke mana arah tuju Malaysia?

"Dulu gerakan tuntut merdeka, selepas itu isi kemerdekaan. Sekarang apa? Kita lihat gerakan yang ada ialah 'mengisi perut'. Berapa lama lagi pun kita akan jadi macam ini jika kita tidak memikirkan perubahan struktur," ujarnya lagi.

Oleh itu, Dr Razali tidak bersetuju terhadap ahli-ahli politik yang membakar emosi rakyat menggunakan isu-isu sensitif untuk suvival mereka. Sedangkan menurut beliau, kesannya terhadap masa hadapan negara amat negatif.

"Ada parti politik hidup atas kemiskinan penyokong. Saya tak tau parti mana, tetapi ada parti yang hidup seperti itu. Dekat nak pilihan raya maka hantar beberapa keping atap zink untuk membaiki rumah bocor," sinisnya lagi.

Sehubungan itu, Dr Razali menganjurkan diamalkan politik yang lebih matang dan mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding keuntungan sementara atau kelangsungan sesebuah pemerintahan.

Untuk rekod, Prof Dr Razali Nawawi merupakan penyokong kuat gerakan Reformasi yang dilancarkan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak 1998.

Beliau merupakan Presiden pertama ABIM pada pemilihan kepimpinan tahun 1972, yang mana ketika itu Anwar dilantik sebagai Setiausaha Agung.

Forum anjuran GRM dengan moderator Mustaffa Kamil Ayub (gambar kiri) diadakan pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam dan disiarkan secara langsung di Facebook Gabungan Reformis Malaysia.