Agih secara adil bantuan tanam semula kelapa sawit



Skim Tanaman Semula Pekebun Kecil (TSSPK) yang diperuntukkan dalam Rancangan Malaysia (RMK) ke-10 telah ditukar daripada geran kepada bentuk pinjaman pada RMK ke-11.

Namun Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi (MPIC) ketika ini bercadang memperkenalkan semula bantuan berbentuk geran kepada pekebun kecil kelapa sawit di bawah RMK-12.
Bagi Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, terdapat beberapa persoalan yang akan timbul susulan pengumuman dasar baharu tersebut.

Katanya, isu yang sering timbul dalam konteks bantuan bersifat geran ialah kelebihan hanya diberikan kepada satu pihak dan tidak membabitkan pekebun kecil tersusun seperti di Felda dan Felcra.

"Dalam hal ini kerajaan harus memastikan bahawa tiada golongan pekebun kecil yang layak terlepas pandang daripada menerima bantuan tersebut

“Apakah sudah ada sesi libat urus bersama pihak yang terlibat bagi menjamin bantuan yang diperuntukkan dimanfaatkan oleh semua mereka yang berkelayakan selepas ianya diluluskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan ianya bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya ketika sesi soalan tambahan dalam pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sebelum ini, dalam RMK-11 yang bermula pada 2016, Skim Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil (TSSPK) yang disediakan dalam RMK-10 telah ditukar kepada pinjaman.

Penukaran tersebut sejajar dengan dasar kerajaan untuk program tanaman semula sawit yang diusahakan oleh agensi lain seperti Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA), Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak (LKTS), Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah 

(SLDB),Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Sarawak (SALCRA) dan juga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Bagaimanapun usaha untuk mengembalikan bantuan dalam bentuk geran ke atas Skim Pembiayaan Mudah Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) dan Skim Pembiayaan Mudah Input Pertanian Pekebun Kecil Sawit (IPPKS) untuk dikhususkan kepada kumpulan sasar tertentu seperti golongan B40 memerlukan kajian mendalam sebelum dilaksanakan.




No comments: