SETELAH JADI KERAJAAN,TIDAK BOLEHKAH PAS TUNTUT BERAPI API RUU 355


Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, parti itu berapi-api memperjuangkan RUU355 sebelum ini kerana mereka adalah pembangkang ketika itu.
Tetapi setelah menjadi kerajaan sekarang, katanya, peranan Pas adalah mengemukakan cadangan dan bukan lagi membuat desakan.
“Dalam isu RUU355, menjadi pembangkang mudah. Dalam Parlimen mendesak usul gubal peraturan agar RUU355 dilaksanakan sebab kita pembangkang. 
“Pembangkang tak perlu fikir perkara-perkara kaedah, sistem, peraturan-peraturan itu bukan kerja kita, itu kerja kerajaan.
“Sekarang apabila kita jadi kerajaan, kita nak buat RUU355 kita kena buat mesyuarat dengan mufti-mufti, mesyuarat dengan Majlis Raja-Raja, kena bentang satu persatu kepada Raja-raja Melayu sebab urusan agama di bawah Raja-Raja.
“Kemudian kena pergi kepada majlis jawatankuasa agama Islam peringkat kebangsaan, (ada) prosedur-prosedur, kena jumpa peguam negara, kena bincang mekanisme perundangan, kena tengok perlembagaan, kena tengok undang-undang sedia ada, banyak kerjalah.
“Tapi kalau (sebagai) kerajaan kita berapi juga, berapi kepada siapa?
“Dulu kita bergaduh dengan pak cik itu sebab pak cik itu tak jadi bapa mertua kita. Tiba-tiba jadi pak mertua, lainlah caranya,” kata Tun Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air.
Aduhhh…tok menteri, logik apa ini?
Memang betul dulu Pas adalah pembangkang dan kini sudah jadi kerajaan, tetapi logik ini boleh dikira tidak kena sama sekali.
Kalau ia pun Pas tidak boleh lagi mendesak berapi-api kerana sudah berada dalam kerajaan, tetapi tidak bolehkah Pas kekal berapi-api dalam menuntut perlaksanaan sesuatu perkara yang diperjuangkannya sebelum ini secara dalaman?
Adakah itu telah Pas lakukan dalam kerajaan sekarang?
Sudahkah Pas bermesyuarat dengan mufti-mufti, berbincang dengan jawatankuasa agama peringkat kebangsaan, bertemu Peguam Negara dan mengadap Raja-Raja?
Sudahkah juga Pas meneliti Perlembagaan Negara dan undang-undang berkaitaan mahkamah syariah sedia ada?
Pernahkah Pas membincangkan mengenai RUU355 ini dengan Perdana Menteri dan cadangan perlaksanaannya?
Kalau ada, kenapa tiada khabar berita mengenainya?
Kalau tidak ada pula, kenapa setelah hampir lima bulan dalam kerajaan, Pas masih tidak menjadikan perjuangan RUU355 itu sebagai keutamaan?
Apa yang Pas sibuk sangat sampai nampaknya tiada apa-apa perkembangan langsung mengenai RUU355 sejak berada dalam kerajaan sekarang ini?
Bukankah sebelum ini sanggup berhimpun bagai seolah-olah RUU355 merupakan hidup dan mati perjuangan Pas?
Apakah Pas, setelah berada dalam kerajaan dan masing-masing beroleh nikmat jawatan serta habuan dunia, semakin lupa kepada perjuangan sebenar atas nama Islam sebelum ini?
Itu belum lagi hal-hal lain yang turut berapi-api diperjuangkan Pas sebelum ini seperti hudud, penutupan kilang arak, pemakaian tudung untuk pramugari, UEC, membela arwah Adib dan pelbagai lagi yang juga nampaknya tidak lagi keluar bunyinya daripada mulut pemimpin-pemimpin Pas.
Atau Pas ini hanya parti ceramah saja? (Shahbudindotcom 27/07/2020)