Demokratik, Adil, Peduli (Bahagian 1)




Oleh Izmil Amri
Friedrich Ebert Stiftung, atau dalam bahasa Melayunya Yayasan Friedrich Ebert dinamakan sempena seorang ahli politik Jerman yang menjadi presiden Sozialdemokratische Partei Deutschlands (Parti Demokrasi Sosial Jerman), merangkap Presiden sulong negara itu yang menjawat antara tahun 1919 sehingga 1925.
Partinya, SPD (disebut Es-Peh-Dey) ditubuhkan pada tahun 1863 adalah parti paling tua dalam Bundestag (parlimen Jerman) dan memainkan peranan besar dalam penubuhan Republik Weimar pasca Revolusi November selepas Perang Dunia Pertama. Ya, cerita ini bolehlah dibaca di laman Wikipedia.
Yayasan si Friedrich ini sekarang membina rangkaian demokrasi sosial di seluruh dunia dengan mengembangkan falsafah yang terbina atas tiga prinsip asas kebebasan, kesetaraan dan semangat setiakawan. Dalam bahasa Inggeris, tiga perkara ini adalah ‘Freedom’, ‘Equality’ dan ‘Solidarity’ – FES, seperti akronim nama yayasan ini.
Prinsip-prinsip kebebasan, kesetaraan dan setiakawan ini adalah nilai-nilai tunjang yang membentuk program parti-parti yang beriman dengan ideologi demokrasi sosial.
Anda nampak kan bagaimana ayat di atas ini begitu penuh jargon dan membuatkan orang rasa loya nak muntah? Apa lah yang jenuh sungguh untuk menerangkan prinsip politik yang mahu memastikan masyarakat tidak dibelenggu rasa takut, dilayan tidak sekata, dan terbiar tak terbela.
Di Malaysia, Parti Tindakan Demokratik, DAP; adalah sebuah parti berideologi demokrasi sosial.
Kenapa perlu peduli ideologi?
Ideologi adalah suatu set nilai-nilai yang membentuk cara fikir sesebuah organisasi. Ia menjadi pandu arah kepada kaifiat sesebuah organisasi untuk berfungsi dan mengajukan program serta cadangannya.
Tanpa ideologi, sesebuah organisasi hanyalah himpunan segerombolan individu secara tidak tentu hala.
Parti politik misalnya, menggunakan ideologi sebagai asas aspirasinya dalam merangka dasar dan idea untuk dijaja kepada orang ramai sebagai program partinya yang ditanggapi dalam bentuk manifesto pilihanraya.
Jika ia sebuah parti nasionalis, maka janji-janji manifestonya adalah berbentuk demikian juga. Memberitahu orang ramai bagaimana partinya akan mempertahankan kedaulatan negara, memelihara maruah bangsa dan sebagainya.
Jika ia sebuah parti agamis, maka pula akan menjanjikan hal-hal yang berkait ketuhanan, hatta menjanjikan lesen masuk syurga bagi mereka yang menyokongnya, dan jalan pasti ke neraka sekiranya berani melawan aspirasi agamisnya itu.
DAP, sebagai sebuah parti dengan faham demokrasi sosial, menjanjikan benda-benda yang (dalam bahasa mudahnya) bersifat demokratik, adil dan peduli; sepertimana akronim parti itu juga.
Demokratik
Seringkali orang kita mempunyai salah faham tentang konsep demokrasi, dan mudah membuat tanggapan sendiri tentang kalimat ini.
Melampaui terjemahan literalnya yang bermaksud ‘kuasa rakyat’, demokrasi hari ini adalah persoalan amanah masyarakat kepada perwakilan yang membawa suara dan hasrat mereka ke badan-badan penggubal undang-undang dan pelaksanaan dasar kerajaan.
Demokrasi berparlimen adalah sistem di mana orang ramai mempunyai hak untuk melantik perwakilan mereka menganggotai badan legislatif dan juga pelaksana, dan berhak juga untuk menarik semula amanah dan kuasa tersebut melalui peti undi.
Dalam hal ini, orang ramai mempunyai kebebasan dan kuasa untuk memilih serta menentukan dasar apa yang mereka mahukan dan rasakan sesuai untuk masyarakat.
DAP meletakkan kuasa rakyat ini sebagai perkara nombor wahid yang mendasari kewujudannya untuk memperjuangkan hak dan keperluan rakyat sebagai majikan para wakil rakyat dan pemimpin negara.
Bersambung.