KUALA LUMPUR: Editor buku “Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia” yang gambar kulit bukunya didakwa menghina Jata Negara dikesan melarikan diri ke luar negara.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Huzir Mohamed berkata, lelaki yang merupakan warga tempatan itu didapati telah ke luar negara sejak 21 Jan lalu, hasil semakan terhadap dokumen perjalanannya.
“Dia (editor) telah keluar Malaysia, namun kami tidak dapat memastikan keberadaan suspek serta lokasinya. Pihak JSJ menyenaraikannya sebagai Orang yang Dikehendaki dan akan ditangkap selepas dikesan,” katanya hari ini.
Huzir berkata, pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Interpol dan akan mengeluarkan notis merah sekiranya suspek dikesan di mana-mana negara.
“JSJ juga akan meminta bantuan Cawangan Khas sekiranya artikel yang disumbangkan 28 penulis buku itu mempunyai unsur ancaman keselamatan dan sebagainya,” katanya sambil memaklumkan sebanyak 203 laporan polis diterima berhubung kes itu di seluruh negara.
Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 2016, Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 8(1) Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Buku “Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope In New Malaysia” yang disunting penulis Kean Wong itu mempamerkan sebuah logo mirip Jata Negara mendapat perhatian kerana menggunakan gambar yang dikatakan menghina Jata Negara.