Kegagalan Pakatan Harapan: Pertembungan naratif?


Diharapkan, untuk kali kedua nanti, pemimpin reformasi akan lebih menyedari ketegangan di antara naratif yang berlainan berkaitan dengan ciri masyarakat Malaysia dan bagaimana mahu mendepaninya, tulis Jeyakumar Devaraj.

Seseorang dinasihati supaya belajar dari kesilapan. Seperti itulah juga dengan gerakan politik – jika mereka mahu melakukan yang lebih baik di masa depan.
Begitupun, saya tidak melihat pandangan sebegitu dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan di dalam perbincangan yang saya ikuti bersama bersama sejak Langkah Sheraton, yang mencetuskan kejatuhan kerajaan PH itu.
Penyokong PH bukan Melayu sukar memahami mengapa sokongan Melayu terhadap PH jatuh secara signifikan. Ramai di kalangan mereka berasa jengkel – bagaimana mungkin orang Melayu boleh bertolak-ansur dengan para kleptokrat yang mencuri dari dana awam? Apakah orang Melayu terlalu mudah terperdaya dengan propaganda Umno-Pas? Adakah mereka tidak dapat lihat bagaimana elit Umno memperkayakan diri mereka sendiri? Dan banyak lagi..
Saya ingin mengutarakan satu analisis yang mungkin menjernihkan pandangan. Ianya berkait rapat dengan pertembungan naratif ciri Malaya/Malaysia sebagai sebuah nasion. Biar saya jelaskan: konsensus yang dicapai di dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 adalah berdasarkan naratif bahawa ini “Tanah Melayu”, sebahagian dari kepulauan Melayu ‘Melayu Nusantara’.
Naratif inilah yang menjadi asas kepada penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai ‘agama persekutuan’ (yang bolehlah dikatakan tidak jelas), dasar afirmatif bagi orang Melayu seperti yang termaktub dalam Artikel 153 serta penerusan sistem pra-kolonial melibatkan politik beraja, walaupun ianya sudahpun dikurangkan kuasa eksekutifnya.
Pada waktu sama, naratif ini juga mengenal pasti sumbangan bukan Melayu kepada pembangunan ekonomi Malaya. Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan juga memberikan bukan Melayu hak kewarganegaraan, hak untuk mengguna dan mengembangkan bahasa sendiri, mengamalkan agama sendiri serta menerima hak yang sama di bawah undang-undang negara.
Secara kebetulan, naratif Nusantara Melayu juga dicerminkan lewat beberapa fasal di dalam Perlembagaan Rakyat, yang dirumuskan oleh gabungan All-Malaya Council for Joint Action-Pusat Tenaga Ra’ayat (AMCJA-Putera) pada 1947.
Kemudiannya melalui People’s Action Party (PAP) pada 1963, melalui naratif alternatif “Malaysian Malaysia”. Bunyinya menarik – kita semua rakyat Malaysia, sekaligus kita bekerja bersama untuk membangunkan sebuah negara yang harmoni.
Namun subteks naratif oleh PAP juga termasuklah bahawa – kita semua imigran, termasuklah orang Melayu, kerana majoritinya datang dari Jawa, Sumatera, Sulawesi dan malah ada yang lebih jauh lagi (India dan Timur Tengah). Oleh itu, warga Malaysia sepatutnya samarata dalam segenap hal – bahasa Mandarin dan Tamil juga sepatutnya menjadi bahasa rasmi, sebaris dengan bahasa Melayu, dan setiap agama juga perlu diangkat sama. Perlu ada pembahagian kuasa antara negara dan agama, dan polisi afirmatif perlu diganti dengan sistem berasaskan meritokrasi supaya negara membangun pesat dan efisien.
Naratif PAP, yang berlainan sama sekali dengan naratif Melayu Nusantara, tidak boleh diterima pemimpin Melayu pada tahun 1963-1965 dan Singapura kemudiannya diminta untuk meninggalkan persekutuan (mungkin itulah yang dimahukan oleh Lee Kuan Yew juga!)
Namun, naratif PAP diteruskan dan dihidupkan dalam kalangan komuniti bukan Melayu oleh DAP semenjak dari itu. Ianya masih perkara yang paling dibenci oleh nasionalis Melayu hari ini, termasuklah ramai yang mempunyai pandangan progresif.
Ada apa dengan Muhyiddin?
Pada mulanya, sukar untuk saya menerangkan tindakan Muhyidin Yassin untuk membawa Bersatu keluar dari PH lewat Februari 2020 lalu. Di sini, seorang ahli politik yang dipecat dari jawatan timbalan perdana menteri oleh Najib Razak lima tahun yang lalu (tepatnya pada 28 Julai 2015), juga seorang yang berkempen cukup kuat untuk menjatuhkan Umno dan Najib.
Namun begitu, pada Februari 2020, beliau bersedia untuk memberikan semula kuasa kepada gabungan yang didominaso oleh kleptokrat Umno. Pengkritiknya mengatakan bahawa ianya semua kerana nafsu untuk berkuasa – terdapat kuasa yang berpusat di pejabat Perdana Menteri, dan keberahian untuk berada di tampuk kekuasaan sukar untuk dibendung apatah lagi bila tampuk itu semakin dekat.
Namun ada beberapa faktor yang lain juga. Masih ingat jawapan Muhyiddin 10 tahun lalu sewaktu dicabar Lim Kit Siang untuk mengatakan bahawa dirinya warga Malaysia – dengan kata lain, untuk memberi pendiriannya tentang identiti yang mencorakkannya.
Muhyiddin memberitahu pada wartawan: “Saya seorang Melayu namun ingin saya katakan menjadi Melayu tidaklah bermaksud kamu bukan seorang warga Malaysia”.
Pertelingkahan Muhyiddin dengan Umno sejak 2015 adalah berkenaan tahap rasuah oleh pemimpin Umno. Pertelingkahannya tidak berkaitan sama sekali dengan tidak bersetujunya beliau dengan naratif Melayu Nusantara.
Apakah Muhyiddin dan pemimpin Melayu lain di dalam PH semakin tidak selesa dengan ekspresi naratif Malaysian Malaysia di dalam PH?
Ramai pendukung PH tidak menyedari akan hal ini, namun pemerintahan PH membatalkan elaun bulanan RM300 kepada 70,000 nelayan tradisi pada Jun 2018. Skim subsidi harga getah juga dihentikan sewaktu harga getah sekerap jatuh kepada RM2.20 per kg pada Jun ke Disember 2018. Skim ini memberikan tunai langsung ke dalam akaun 180,000 pengusaha getah kecil dengan keluasan tanah di bawah lima ekar jika harga getah sekerap jatuh bawah RM2.20.
Alasan yang diberikan kepada pemberhentian kedua-dua program ini adalah kerana kerajaan tidak mempunyai cukup wang. Namun, pada waktu yang sama, kerajaan juga menyelesaikan cukai GST serta bayaran balik cukai pendapatan melibatkan hampir RM37bn dengan menguruskan pembayaran dividen khas RM30bn daripada Petronas.
Benar ianya sesuatu yang bagus untuk membayar semula, namun bagaimana pula dengan menghentikan program melibatkan 20% Melayu terbawah dihentikan? Apakah ianya sesuatu yang bijak? Apakah PH percaya bahawa penjawat awam tidak menyedari pemberhentian bantuan kepada kelompok Melayu yang ini?
Kemudiannya, ada video seorang pemimpin DAP (dirakam pada 2018) yang mengatakan bagaimana Rajendra Chola I dari Tamil Nadu yang membina kota di Kedah lebih kurang 1,000 tahun lalu. Ianya sebuah fakta, namun ianya dipetik bagi mendukung naratif Malaysian Malaysia di mana kita semuanya pendatang kecuali Orang Asli.
Ada juga ura-ura untuk menghentikan skim pencen kepada penjawat awam yang baru.
Bantuan tunai kepada individu bujang melibatkan 40% isi rumah terendah juga dicantas di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), yang dinamakan semula menjadi Bantuan Sara Hidup.
Mantan PM yang lepas juga mengatakan Melayu itu malas. Senarai kenyataan dan keputusan yang buruk berterusan.
Semua peristiwa dan polisi ini mengakibatkan suasana tidak selesa dalam kalangan cendekiawan Melayu, termasuklah mereka yang mendukung PH awalnya. Dukungan Melayu pada PH adalah di sekitar 25% ketika pilihan raya umum 2018. Ianya jatuh sekitar 17% menuju ke akhir tahun 2019.
Dakyah PH adalah orang Melayu biasa terpengaruh dengan propaganda Pas-Umno. Namun ianya analisis separuh masak.
Bagaimana pula PH dengan salah langkahnya yang menyediakan ‘peluru hidup’ pada pasukan propaganda Umno?
Begitu juga dengan kegagalan PH untuk melihat bagaimana naratif Malaysian Malaysia yang sukar dipertahankan akibat berkonflik dengan naratif Melayu Nusantara? Ramai (dan masih lagi) di antara mereka di dalam PH yang buta akan realiti dua naratif yang berbeza ini berkaitan dengan ciri sebuah negara Malaysia.
Apakah Anwar dapat melakukan yang lebih baik? Pada saya, ya.
Semenjak pemecatannya pada 1998, Anwar mengelak dari menggunakan unsur perkauman untuk menyerang Umno bagi menyatakan bagaimana mereka tidak melakukan secukupnya untuk membela orang Melayu.
Sebaliknya, Anwar fokus kepada urus tadbir yang baik, menghentikan rasuah dilakukan elit Barisan Nasional, supaya kerajaan dapat membantu warga miskin yang memerlukan.
Beliau juga mengulang keperluan untuk memperluaskan dasar afirmatif termasuklah bagi bukan Melayu yang miskin serta dikaitkan dengan prinsip Islam yang mengangkat keadilan dan kesetaraan. Beliau juga berhasrat untuk menghentikan penjarahan kekayaan negara yang dilakukan oleh elit Umno.
Orang bukan Melayu suka dengan pendekatannya yang inklusif. Golongan pekerja Melayu juga memberikan respon saat mereka sendiri bergelut dengan pendapatan rendah serta kos sara hidup yang tinggi, di mana mereka sendiri dapat lihat elit Umno hidup bermewah-mewahan.
Pendekatan oleh Anwar ini dapat memperbetulkan kesilapan Dasar Ekonomi Baru – mengenepikan warga miskin bukan Melayu serta penyalahgunaan subsidi oleh elit Umno – tanpa mencabar naratif Melayu Nusantara
Ianya sesuatu yang lebih mapan secara politikal kerana ianya tidak mengenepikan majoriti Melayu. Barangkali ianya dapat menggerakkan negara ke arah yang lebih baik.
Sesalnya, boleh jadi peluang itu sudah berkubur. Bukan saja dukungan Melayu jatuh secara mendadak, dukungan bukan Melayu juga jatuh. Ramai dalam kalangan pendukung PH yang meletakkan jangkaan berdasarkan naratif Malaysian Malaysia sukar untuk memahami apa yang dijanjikan oleh DAP itu sukar untuk dilaksanakan cepat.
Jangkaan mereka itu tinggi melangit akibat daripoliticking DAP sejak 50 tahun yang lepas. Selagi DAP menjadi pembangkang, mereka akan membuat tuntutan yang tidak realistik berdasarkan naratif PAP itu. Namun sewaktu menjadi kerajaan, realitinya ada naratif yang berlawanan serta perlu dipandu yang kemudiannya memberikan kesan kepada keputusan mereka. Pendukung mereka melihat ianya sebagai acuh tidak acuh dan menjadi marah.
Selamat tinggal Reformasi?
Pendulum berayun jauh dari PH. Besar kemungkinan, PH akan hilang hampir satu pertiga kerusi yang dimilikinya jika pilihanraya diadakan bila-bila masa dalam tahun ini.
Namun bagi kita yang mendukung ideal Reformasi perlu jelas akan arus sosial serta ekonomi yang mengakibatkan migrasi urban, jurang kelas di dalam masyarakat Melayu yang menjadikan mereka terpisah kepada tenaga kerja yang menerima gaji kecil, serta segelintir elit yang sangat kaya serta mempunyai jaringan politik.
Arus ini berterusan, dan jika elit Perikatan Nasional tidak menguruskan kemiskinan bandar yang semakin membesar serta rasuah dan bermewah-mewahan Melayu kelas atas ini, golongan inilah yang akan membentuk asas kepada Reformas II.
Diharapkan, untuk kali yang kedua ini, pemimpin gerakan Reformasi lebih tajam politiknya. Mereka harus menyedari ketegangan hasil dari naratif yang berbeza berkaitan dengan ciri negara Malaysia dan bagaimana kemudian untuk menguruskannya (barangkali dengan mengambil pendekatan Anwar dan meninggalkan naratif PAP).
Para pemimpin Reformasi II juga harus mengambil masa bagi membentuk pandangan mereka berkenaan isu kedaulatan makanan (food security), buruh migran, perubahan iklim, pendanaan politik, perjanjian perdagangan antarabangsa, pengurusan sisia serta banyak lagi isu penting dihadapi oleh negara. Mereka boleh melakukannya melalui kelompok perbincangan rentas kaum bagi mencapai konsensus nasional di dalam pelbagai isu.
Pada 2018, para ‘reformis’ tidak bersedia untuk mengambil-alih negara. Setiap menteri ditinggalkan terkapai-kapai untuk menambah-baik tanpa mempunyai ruang berdebat serta merangka pelan yang padu bagi negara.
Kita perlu melakukan yang lebih baik kali ini! Dan peluang ini boleh jadi datang lebih cepat dari apa yang kita bayangkan. Kita perlu bersedia.

No comments: