PILIHANRAYA MENGEJUT.MAMPUKAH MUHYIDDIN MENGELAKNYA.


Melihat ketidaktentuan dalam politik negara dan kedudukan Muhyiddin Yassin yang terus dipertikaikan, mengadakan pilihanraya semula adalah penyelesaian terbaik yang dipersetujui oleh hampir banyak pihak.
Hanya dengan mengadakan pilihanraya semula saja barulah kesahihan kerajaan dan kedudukan Perdana Menteri tidak lagi menjadi pertikaian.
Berbanding sekarang, cemuhan bahawa PN adalah kerajaan pintu belakang tidak dapat dielakkan kerana yang menang dan yang ditolak rakyat telah bercampur atas nama pengkhianatan di satu pihak dan mereka yang tidak tahan bergelar pembangkang di satu pihak yang lain.
Keadaan ini jelas meremehkan mandat rakyat yang memberi hak kepada PH sebagai pemenang PRU14 untuk mentadbir negara ini selama lima tahun sehingga 2023 akan datang.
Rakyat tidak pernah memberi hak kepada yang kalah untuk menjadi kerajaan dan jika keadaan ini dibenarkan terus berlaku, pilihanraya setiap lima tahun sudah tidak bermakna lagi.
Lebih buruk lagi, setelah hampir lima bulan membentuk kerajaan, usul menukar Speaker Parlimen yang dibawa sendiri oleh Muhyiddin hanya mampu mencapai kadar kemenangan 111-109 undi saja.
Ini jelas menunjukkan kerajaan PN yang dipimpin oleh Muhyiddin semakin lemah berbanding ketika beliau mengangkat sumpah pada 1 Mac dulu.
Sebab itu, perlantikan Speaker baru tidak dilakukan melalui undian selepas saja agenda membuang Speaker lama berjaya dilaksanakan.
Melalui kejayaan menukar Speaker itu, sudah tentu usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin akan terus tergantung di awang-awangan tanpa dibenar untuk dibentangkan.
Jika undi tidak percaya dibenar untuk dibentangkan, tidak mustahil Muhyiddin boleh dikalahkan kerana berbanding untuk membuang Speaker, sebenarnya lebih ramai Ahli Parlimen mahu menyingkirkan Perdana Menteri.
Dengan menyingkirkan Muhyiddin, bukan saja mungkin ada Perdana Menteri baru bakal dilantik, malah tidak mustahil pilihanraya semula terpaksa diadakan.
Terutama kepada mereka yang mahukan pilihanraya semula, mengundi menolak Muhyiddin adalah salah satu caranya.
Bermakna, kemeriahan menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri lebih membawa keseronokan berbanding mengundi membuang Mohamad Ariff sebagai Speaker.
Namun begitu, dengan usul membuang Speaker lama telah berjaya dan agenda melantik Speaker baru juga telah terlaksana, selagi usul tidak percaya terhadap Muhyiddin tidak dibentangkan, selagi itulah beliau akan menghadapi ketidaktentuan dan usaha menggugat kedudukannya akan berterusan.
Bila-bila masa komplot baru atau pengumpulan SD yang lain boleh muncul semula.
Seiring dengannya, keadaan itu akan menyebabkan negara terus tidak stabil, ekonomi tidak berkembang dan rakyat diletakkan di kedudukan kurang penting berbanding harga Ahli-Ahli Parlimen yang makin meningkat tinggi.
Akibatnya, lagi lama masa berlalu, kepercayaan rakyat kepada kerajaan tambah berkurangan.
Di waktu yang sama, pihak-pihak yang berkepentingan dalam kerajaan tidak berdaftar PN pula akan meningkatkan lagi tekanan mereka kepada Muhyiddin, terutama mereka yang ada kes mahkamah yang sedang dibicarakan.
Antara memenuhi kehendak mereka dengan tekanan pembangkang yang mahu keadilan ditegakkan, khusus dalam kes-kes yang jelas dan mudah, di mana Muhyiddin akhirnya?
Mampukah beliau menahan tekanan dan mengelak daripada mengadakan pilihanraya semula secara mengejut? (Shahbudindotcom 16/07/2020)

No comments: