Pakatan tumbang kerana paling tadah, kata Khalid Samad



Oleh Ragananthini Vethasalam,
Chan Kok Leong


KEJATUHAN Pakatan Harapan adalah disebabkan ahli Parlimennya yang lompat parti dan bukan disebabkan Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan perdana menteri, kata Khalid Samad.

“Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai perdana menteri tidak menyebabkan PH tumbang kerana dia juga pernah meletak jawatan sebelum ini pada 2003 untuk menyerahkannya kepada Abdullah Ahmad Badawi,” kata ahli Parlimen Shah Alam itu di Dewan Rakyat, hari ini.

“Selepas itu, Abdullah juga meletak jawatan untuk Najib Razak menjadi perdana menteri pada 2009. Kerana itu, peletakan jawatan Dr Mahathir tidak menyebabkan kejatuhan PH.

“PH hanya tumbang selepas beberapa ahli Parlimen lompat parti, menyebabkannya hilang majoriti,” kata Khalid lagi.

Beliau berkata demikian ketika mencelah ucapan Hanipa Maidin (Sepang-PH) ketika pembentangan usul terima kasih titah diraja.

Sejak sidang Parlimen bermula Isnin lalu, wakil kerajaan dan pembangkang kerap bertikam lidah tentang sebab musabab kejatuhan pentadbiran terdahulu.

Wakil rakyat Perikatan Nasional mendakwa pengunduran Dr Mahathir pada Februari membolehkan Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri, wakil rakyat PH pula mendakwa ia berlaku kerana sebilangan ahli Parlimen berpaling tadah.

Sebelum tumbang, PH mempunyai sokongan 139 ahli Parlimen.

Tetapi, kerajaan 22 bulan itu jatuh pada 24 Februari selepas siri krisis kepimpinan tercetus apabila Dr Mahathir meletak jawatan.

Tidak sampai sejam selepas pengunduran itu, Muhyiddin membawa keluar Bersatu daripada PH. Ini kemudiannya diikuti oleh Mohamed Azmin Ali dan 10 wakil rakyat daripada PKR yang keluar parti.

Tindakan Muhyiddin dan Azmin menyebabkan PH hilang 36 kerusi, menjatuhkannya di Putrajaya.

Kedua-dua pemimpin itu kemudiannya bersatu dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil Sabah untuk membentuk kerajaan PN. – 16 Julai,

No comments: