GPS tak minat lagi perjuangkan Sarawak First?
Penyertaan gabungan Parti Sarawak (GPS) ke dalam Perikatan Nasional memungkinkan cogankata sebelum ini, ‘Sarawak First’ tidak lagi menjadi nadi perjuangan gabungan itu
Menurut DAP Sarawak, Kerajaan Negeri kini seolah-olah ‘kecut’ sebaik sahaja bersama dengan Bersatu, Umno, Pas, MIC, MCA dan beberapa parti yang membentuk kerajaan pada Mac lalu.
Justeru, Pembantu Pengerusi DAP Sarawak Brolin Nicholsian mempersoalkan sama ada Kerajaan Negeri masih berminat memperjuangkan rakyat di negeri ini memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah sebahagian daripada pemerintahan Perikatan Nasional.
Beliau berkata, selepas hampir lima bulan GPS bersama PN, kini tidak lagi kedengaran bahawa kerajaan negeri lantang memperjuangkan autonomi dan hak Sarawak ke peringkat persekutuan.
“Adakah Kerajaan GPS takut untuk mempersoalkan Tanah Melayu mereka dan melupakan slogan Sarawak First?
“Dan adakah Kerajaan Sarawak masih berminat untuk memperjuangkan rakyat negeri ini kerana mereka adalah sebahagian daripada pemerintahan PN? Atau adakah GPS hanya anjing pelarian untuk Umno dan Pas,” soal Brolin dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, GPS sering melaungkan slogan ‘Sarawak First’ di setiap penjuru negeri ini yang bertujuan untuk rakyat Sarawak menolak parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung Malaysia.
Bahkan, sentimen ‘Ulun Malaya’ turut ditiupkan oleh pemimpin dan penyokong mereka setiap kali turun ke kawasan yang mana ketika itu Kerajaan Persekutuan adalah di bawah Pakatan Harapan (PH).
Tegasnya, GPS telah gagal melaksanakan dasar pertama iaitu pembinaan projek perintis ART dan lapangan terbang luar bandar seperti yang diuar-uarkan sebelum ini.
Malah, tambah beliau lagi, ramai rakyat yang masih menunggu Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) hingga ke hari ini.
“Selain itu, masih ramai lagi rakyat menunggu Kenyalang Gold Card (KGC) mereka apabila ada yang menjangkakan akan mendapatkannya sekitar Mac,” kata beliau yang juga merupakan Pemangku Ketua Cawangan DAP Serian.