KENYATAAN MEDIA
11 JULAI 2020
MENGENAI KEMISKINAN DI MALAYSIA
Tugas asasi sebuah kerajaan adalah menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat. Segala yang dilakukan oleh kerajaan – membina jalan, taman sekolah, hospital, memastikan keselamatan orang ramai terjaga, mengambil langkah drastik untuk menghentikan penularan penyakit – adalah untuk menghindarkan rakyat dari kemudaratan.
Isu paling kritikal yang sedang negara kita hadapi adalah kegagalan untuk menangani jutaan rakyat kita yang berada di paras kemiskinan. Wabak Covid-19 sebenarnya telah menghadapkan kita dengan realiti tersebut. Apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), rata-rata rakyat hampir tidak bersedia dengan simpanan.
Golongan B40 bergantung pada upah harian atau mingguan, sementara golongan M40 turut mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan tanpa pekerjaan.
Pada Ogos 2019, pelapor khas Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemiskinan dan hak asasi manusia, Philip Alston, telah menyampaikan dapatan beliau ke Malaysia di mana beliau mempersoalkan dakwaan kerajaan bahawa paras kemiskinan di Malaysia adalah kurang daripada 1% rakyat.
Angka sedemikian tidak masuk akal menurutnya – sesiapa sahaja yang berjalan di sekitar Kuala Lumpur pasti akan menemukan ribuan keluarga yang menghadapi kesusahan.
Ini tidak termasuk sebahagian besar yang dipinggirkan di seluruh negara termasuk warga di Sabah dan Sarawak.
Justeru, tidak mungkin Malaysia berhasil membasmi kemiskinan sedemikian rupa, terutama saat kita meneliti kajian oleh Profesor Fatimah Kari dari Universiti Malaya.
Kajiannya pada tahun 2018 telah mendedahkan bahawa 84% daripada pesara-pesara KWSP didapati tergolong dalam kalangan miskin tegar, yakni miskin sekurangnya dalam salah satu dimensi kemiskinan dalam takrifan menyeluruh beliau terkait kemiskinan.
Dapatan Profesor Fatimah itu turut menyerlahkan bahawa kaum wanita adalah secara pelbagai dimensinya lebih miskin daripada kaum lelaki, seperti dari dimensi pengangkutan, pendapatan, pemilikan rumah dan pendidikan.
Beliau turut mendapati bahawa pesara kaum India ternyata yang paling melarat, diikuti oleh kaum Melayu.
Sebelum ini, setiap kali angka rasmi kemiskinan dicabar – kerajaan akan mengumumkan indeks baharu – seperti “indeks kemiskinan nisbi,” atau “indeks kemiskinan pelbagai dimensi.”
Kaedah baru ini ada muslihatnya – secara zahirnya dikatakan meningkatkan kefahaman kita terhadap kemiskinan – namun akhirnya yang berlaku adalah peremehan masalah besar yang sedang dihadapi.
Natijahnya, rakyat yang miskin dihadapkan dengan kegagalan berterusan oleh kerajaan dalam menangani punca sebenar kemiskinan.
Dalam masa yang singkat, Pakatan Harapan (PH) telah menggerakkan beberapa usaha untuk mengkaji semula kaedah penilaian kemiskinan agar pemahaman yang sahih terhadap tahap kemiskinan di negara ini dapat difahami.
Menerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen sebelumnya, saya telah mengetengahkan isu ini sebagai peranan semak dan imbang.
Kita telah mengundang pakar ekonomi Profesor Jomo Kwame Sundaram, Profesor Rajah Rasiah dan Profesor Edmund Terrence Gomez untuk menyampaikan pandangan mereka kepada Ahli Parlimen tentang bagaimana caranya kerajaan boleh menumpukan usaha kepada pembasmian kemiskinan.
Menerusi usaha bipartisan ini, kami telah mendesak kerajaan tatkala itu untuk
(1) melakukan kajian dan semakan semula kepada takrifan kemiskinan yang lebih kontemporari serta kaedah penetapan kadar kemiskinan di negara ini;
(2) melaksanakan reformasi di dalam menangani isu kemiskinan dengan memberi penekanan terhadap pendekatan pelbagai dimensi seperti elemen jangka hayat, kesihatan, pendidikan dan tidak terhad kepada pendefinisian kemiskinan mutlak yang melihat semata-mata dimensi kewangan dan pendapatan;
(3) memastikan pelaksanaan dasar-dasar dan program pembangunan yang berkesan, mengelak ketirisan dan salah guna kuasa;
(4) merangka dasar ekonomi yang menggalakkan pertumbuhan ekonomi secara seimbang dan menggalakkan agihan kekayaan yang adil dan inklusif yang menjurus kepada kumpulan sasar.
Kaedah yang digunakan oleh kerajaan untuk menilai masalah kemiskinan amat penting. Sekiranya kerajaan benar-benar percaya terdapat kurang daripada 25,000 orang miskin di negara ini, maka kemiskinan tidak akan menjadi keutamaan mereka, dan natijahnya kerajaan akan mengalihkan perbelanjaan yang selayaknya kepada sektor lain.
Sebaliknya, jika kita sebagai rakyat Malaysia menerima hakikat bahawa mungkin terdapat kira-kira 6-8 juta rakyat di negara kita yang hidup dalam paras kemiskinan atau hampir dengannya, termasuk kaum Melayu, dan bumiputra Sabah dan Sarawak, maka keputusan kerajaan tentang cara untuk memperuntukkan dana dan sumber negara untuk jaring keselamatan sosial, penjagaan kesihatan, pendidikan dan infrastruktur akan jauh berbeza.
Untuk sebuah negara berpendapatan sederhana yang kaya dengan hasil mahsul semulajadi, saya berpendapat ia sangat tidak masuk akal bahawa tahap kemiskinan kita begitu tinggi.
Kita mesti mempersoalkan mengapa setelah 60 tahun merdeka, dan empat dasawarsa polisi pengagihan pendapatan, kita masih mencatatkan kadar kemiskinan sedemikian rupa.
Mencapai status negara berpendapatan tinggi sambil mengabaikan nasib jutaan orang akan tidak bermakna apa-apa – sebuah kemenangan sendu buat negara.
Apakah yang telah dilakukan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak bulan Mac yang lalu dalam membela nasib orang Melayu? Mereka telah mendirikan sebuah kabinet menteri yang besar yang menelan belanja tambahan RM 7.6. juta setahun.
Mereka telah melantik ahli-ahli Parlimen yang sudah pun punyai elaun yang besar sebagai pengarah di syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Dengan pelantikan tersebut, mereka telah menafikan golongan profesional yang berkelayakan daripada mengetuai GLC, termasuklah golongan korporat Melayu yang berintegriti, dan pada masa yang sama menebalkan kocek ahli-ahli Parlimen dan membeli kesetiaan.
Saat membahaskan mengenai tatakelola yang baik – PN menanam tebu di bibir, kononnya bertekad tegas memerangi rasuah.
Namun, persekongkolan mereka dengan pemuka-pemuka parti pemerintah sebelum ini tatkala jutaan saham Bumiputra dilesapkan, berhektar tanah Bumiputra dijual dan dijarah, dan ketika berlonggok skandal mega berlaku, saya kini mempersoalkan apakah kepentingan orang Melayu akan benar-benar terpelihara di bawah pentadbiran ini.
Pemulihan Malaysia daripada krisis Covid-19 tidak wajar diukur daripada segi pertumbuhan KDNK sahaja. Apabila kerajaan melakukan sedemikian, ia hanya akan mengulangi kesilapan lampau.
Kadar pemulihan mestilah diukur secara menyeluruh agar Malaysia muncul lebih kuat, lebih berdaya tahan dan lebih adil.
Adakah jurang pendapatan antara kaya dan miskin semakin melebar atau tidak? Apakah kadar pekerjaan belia Malaysia? Sejauh manakah kejayaan sektor PKS kita? Ini adalah persoalan asas yang mesti ditangani.
Tuntasnya, ini bukan sekadar persoalan yang perlu dipertimbangkan oleh ahli ekonomi semata-mata. Yang melaksanakan dasar di negara kita pada akhirnya adalah ahli politik jua.
Maka untuk itu ahli politik perlu saling melengkapi. Mereka mesti hadir ke Parlimen dengan segala persediaan rapi untuk membahaskan undang-undang yang akan mencorak masa depan negara untuk tahun-tahun mendatang.
Dalam sebuah negara demokrasi, kita bertanggungjawab untuk menjalankan amanah dengan telus serta berani menerima kritikan rakyat.
Namun malangnya, apa yang kita saksikan pada hari ini adalah watak-watak politik yang terus mengabaikan tanggungjawab mereka pada Parlimen, mengatur helah dan muslihat di balik pintu, memperkosa media dan membawa negara ke lembah kebinasaan.
Tidak syak lagi pada hari ini kita memerlukan sebuah kepimpinan baharu yang akan menyatukan negara ini, dan yang akan melonjakkan negara ke satu tahap yang lebih sejahtera dan sentosa untuk semua.
ANWAR IBRAHIM
(Foto: NST)