‘Rakyat akan hukum Adun khianat’ – DAP Perak













Rakyat akan menghukum Adun yang mengkhianati mandat rakyat dan menggadaikan maruah mereka demi kepentingan politik, tegas DAP Perak dalam kenyataan, hari ini. 
Kenyataan itu mengulas tindakan Adun Buntong, A Sivasubramaniam dan Adun Tronoh, Paul Yong Choo Kiong yang bertindak menyokong pihak lawan sehingga menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang di Perak. 
A Sivasubramaniam dilaporkan menyertai Gerakan dalam satu sidang media hari ini, sementara Choo Kiong kekal bebas. 
“A Sivasubramaniam telahpun dipecat oleh Jawatankuasa Disiplin DAP pusat bersama-sama dengan Choo Kiong yang mengkhianati mandat rakyat pada Mac tahun ini. 
“Beliau merupakan satu beban (liabiliti) apabila beliau masih berada dalam DAP,” kata kenyataan itu.
Berikutan itu, Timbalan Pengerusi DAP Perak, V Sivakumar dilantik untuk menyelaras aktiviti DAP di DUN Buntong bagi meneruskan perkhidmatan parti kepada rakyat. 
“Usaha murni DAP untuk berkhidmat kepada penduduk Buntong tidak pernah terhenti dan sumbangan bantuan kepada rakyat yang memerlukan bantuan semasa perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dijalankan secara tersusun dan berjadual,” ujarnya. 
Mengulas lanjut, kenyataan itu turut menegaskan bahawa mana-mana ahli DAP yang menyertai sidang media A Sivasubramaniam hari ini akan dilucutkan keahliannya serta merta. 
“Organisasi akar umbi DAP di kawasan Buntong kekal kukuh dan teguh. Pimpinan cawangan yang ada tidak akan terjejas dengan pengumuman A. Sivasubramaniam tadi. 
“DAP akan terus berjuang demi membentuk Malaysia Baharu yang bersih, telus dan adil untuk semua kaum dan DAP akan terus bertanding di kawasan DUN Buntong pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) untuk mempertahankan mandat rakyat,” ujarnya. 

No comments: