MENCALONKAN SHAFIE BUKTI MAHATHIR DALAM KECELARUAN MINDA YANG KRONIK



Sejak awal memang difahami, baik oleh manusia di bumi mahupun malaikat di langit, Tun Mahathir Mohamad adalah seorang yang begitu berdendam dan tidak mahu melihat Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Langkah terbarunya mencalonkan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri hanya mengesahkan lagi hakikat tersebut.

Setelah usahanya menonjolkan diri sendiri untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi selama enam bulan ditolak oleh Anwar Ibrahim serta PKR dan gagal mencapai kata sepakat dalam PH Plus, Tun Mahathir atas kapasiti peribadinya yang tidak berparti lantas memilih Shafie, Presiden Parti Warisan sebagai calon baru Perdana Menteri dalam cubaan berterusannya untuk menjatuhkan Muhyiddin Yassin.

Dalam pilihannya itu, Tun Mahathir turut meletakkan Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri 1 dan anaknya, Mukhriz Mahathir yang sama tidak berparti sepertinya sebagai Timbalan Perdana Menteri 2.

Keputusan Tun Mahathir memilih Shafie, selain menyerlahkan hakikat dendamnya yang tidak pernah padam untuk mengenepikan Anwar, juga terlihat amat janggal dan memperlihatkan kecelaruan mindanya yang sangat kronik.

Ini kerana Shafie selaku Presiden Warisan adalah pemimpin parti pelbagai kaum di mana sebelum ini Tun Mahathir mengatakan Anwar tidak boleh diterima sebagai calon Perdana Menteri kerana kedudukannya yang mengetuai PKR, sebuah parti pelbagai kaum.

Oleh itu, jelas Tun Mahathir, beliau perlu menjadi calon Perdana Menteri terlebih dahulu sebelum berjanji akan melakukan peralihan kuasa kepada Anwar selepas enam bulan kemudiannya.

Helahnya itu jelas menunjukkan beliau ingin “mengencing” Anwar sekali lagi kerana dalam tempoh enam bulan akan datang, Ahli Parlimen Port Dickson itu tentu saja masih lagi memimpin PKR.

Makna kata, selepas enam bulan memegang jawatan Perdana Menteri, Tun Mahathir sekali lagi tidak akan menunaikan janjinya, sama seperti janji dua tahun yang dimungkirinya kepada Anwar sebelum ini.

Soalnya, jika Anwar selaku Presiden PKR, sebuah parti pelbagai kaum dianggapnya tidak boleh diterima untuk menjadi Perdana Menteri, kenapa sekarang tiba-tiba Shafie boleh pula diterima dan dijadikan pilihan untuk menjadi Perdana Menteri?

Bukankah ini menunjukkan kroniknya kecelaruan fikiran yang dialami Tun Mahathir?

Lebih daripada itu, selain mewakili parti pelbagai kaum, Warisan juga dari segi keanggotaan hanya untuk kaum-kaum di Sabah saja.

Adakah kedudukan Shafie dan kaum yang diwakili Warisan lebih baik berbanding Anwar dan PKR yang tumbuh melata di seluruh negara?

Sekali lagi, kalau bukan mindanya sedang celaru yang kronik, apa lagi label atau gelaran yang sesuai untuk Tun Mahathir?

Bukankah dua hari lepas Tun Mahathir juga berkata tujuannya menjadi Perdana Menteri semula ialah untuk membantu Anwar mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri?

Kalau ingin membantu Anwar, mengapa nama Shafie yang dinaikkan?

Kecelaruan minda yang kronik ini tidak lain adalah disebabnya ratib di mulut dan di kepala Tun Mahathir sepanjang masa, siang dan malam tidak lain hanyalah untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Jika berniat ikhlas, setelah beliau tidak berhasrat lagi mencalonkan dirinya sebagai Perdana Menteri, Tun Mahathir sepatutnya kembali kepada opsyen 1 PH Plus iaitu mencalonkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Kalau beliau boleh berjanji untuk memberi penerangan dan berkempen untuk Shafie, malah mengatakan menyokong Shafie sama seperti menyokongnya, kenapa Tun Mahathir tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk Anwar?

Sudah tentu jawapannya mudah saja iaitu Tun Mahathir memang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri.

Bahkan, tindakannya mencalonkan Shafie lebih bertujuan membalas dendam berikutan Anwar telah menolaknya sebagai calon Perdana Menteri PH Plus sebelum ini.

Sebelum ini, pada 1998, apabila melihat kemaraan Anwar yang berpotensi menyingkirkannya, Tun Mahathir telah memecat Anwar daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan sebagai ahli UMNO yang menyebabkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO terlucut dengan sendirinya.

Tindakan itu jelas semata-mata untuk menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri dan tidak mampu berlawan secara sihat melalui proses demokrasi parti.

Pada 2016, setelah keluar UMNO kerana gagal menyingkirkan Najib dan melihat PH berpeluang cerah untuk menjadi kerajaan, seterusnya memungkinkan laluan terbuka semula untuk Anwar menjadi Perdana Menteri, Tun Mahathir telah mengambil langkah mengejutkan berbaik semula dengan musuh politiknya itu.

Hasil kunjungan pertamanya terhadap Anwar di mahkamah, diikuti pertemuan Tun Daim Zainuddin sebanyak enam kali dengan Anwar di Penjara Sungai Buloh, Tun Mahathir akhirnya diterima baik oleh PH dan dijadikan calon Perdana Menteri menjelang PRU pada 2018.

Jika diimbas balik, berikutan isu 1MDB dan penolakan rakyat yang serius terhadap Najib Razak, kerajaan pimpinannya serta karenah Rosmah Mansor di mana ruang untuk PH mengalahkan BN adalah cerah, tindakan Tun Mahathir berbaik semula dengan Anwar dan kemudian berjaya meletakkan dirinya sebagai Perdana Menteri, ia adalah semata-mata untuk menyekat kemaraan Anwar daripada mendapat laluan mudah menjadi Perdana Menteri.

Hal itu terbukti apabila Tun Mahathir telah melengah-lengahkan janji peralihan kuasa yang sepatutnya dua tahun dengan pelbagai helah, alasan serta mengkucar-kacirkan PKR melalui tindakan memperalatkan Azmin, menjalin hubungan dengan Pas dan membawa masuk pemimpin UMNO yang diketahui anti Anwar ke dalam Bersatu.

Sehinggalah PH tumbang pada 24 Februari 2020, kejayaan utama Tun Mahathir selama 22 bulan menjadi Perdana Menteri di bawah PH ialah berjaya memungkiri janjinya terhadap Anwar.

Selepas meletakkan jawatan dan dilantik sebagai Perdana Menteri interim, Tun Mahathir berusaha untuk kembali sebagai Perdana Menteri dengan idea membentuk kerajaan perpaduan tanpa parti.

Agenda tersirat di sebalik kerajaan perpaduan tanpa parti itu ialah Tun Mahathir selepas itu tidak terikat lagi untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Anwar.

Kemudian apabila PN menjadi kerajaan dan Muhyiddin selaku Perdana Menteri berdepan ketidaktentuan dan melalui PH, Anwar tetap ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri, dendam dan niatnya menghalang kemaraan Presiden PKR itu kembali membara.

Walaupun tidak lagi mempunyai parti dan diperlekehkan oleh Muhyiddin dalam Bersatu, Tun Mahathir kembali membuat kacau dengan cuba menonjolkan dirinya sekali lagi sebagai calon Perdana Menteri dalam gabungan tidak rasmi, PH Plus.

Tujuannya yang tidak henti-henti mahu menjadi Perdana Menteri dan terbaru mencalonkan Shafie, itu pun setelah dirinya ditolak oleh Anwar, hakikatnya cuma satu – selagi bernyawa di mana ketika semua orang yang seusia dengannya lebih memikirkan amal ibadat dan mencari syurga, Tun Mahathir sebaliknya terus dengan dendam kesumat mencari jalan menghalang Anwar.

Dengan itu, tidak menghairankan jika kecelaruan mindanya tambah kronik lagi di hari dan minggu-minggu mendatang nanti, terutama jika selepas ini DAP dan Amanah yang didakwanya bersetuju dengan pencalonan Shafie, bertindak menolak mentah-mentah perkara itu. (Shahbudindotcom 27/06/2020)