KENAPA DAP, AMANAH TIDAK BISING SEPERTI AZMIN YANG DIRESTUI MAHATHIR


Tindakan DAP dan Amanah menolak sebarang bentuk kerjasama dengan tiga pemimpin yang disifatkan dalang dalam Langkah Sheraton, pada asasnya adalah sesuatu yang wajar dan munasabah.
Dalam kenyataan bersama yang diwakili oleh Salahuddin Ayub dan S Kulasegaran, Amanah dan DAP berkata, tiga pemimpin itu ialah Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainuddin dan Menteri Perdangan Atarabangsa dan Industri, Azmin Ali.
Kata mereka lagi, ketiga-tiga pemimpin tersebut adalah dalang jahat yang bukan saja merencana Langkah Sheraton, bahkan merekalah punca sebenar tumbangnya PH sebagai kerajaan.
Tegas mereka, sebarang usaha untuk merebut kembali Putrajaya tidak harus melibatkan ketiga-tiga pemimpin itu, sebaliknya mesti merangkumi anggota parti asal gabungan PH, termasuk kem Tun Mahathir Mohamad dan Warisan yang dipimpin oleh Shafie Apdal.
Walaupun tidak menyebut nama, adalah jelas kenyataan bersama itu ditujukan kepada Pengerusi PH, Anwar Ibrahim yang telah memaklumkan secara terbuka pertemuannya dengan Muhyiddin dan Hamzah, baru-baru ini.
Tetapi, baik pertemuannya dengan Muhyiddin atau Hamzah, Anwar memberitahu, perkara itu telah pun dimaklumkannya kepada mesyuarat Majlis Presiden PH.
Dalam pertemuan dengan Muhyiddin, Anwar berkata, ia adalah untuk membincangkan isu-isu semasa, termasuk menangani Covid-19, manakala dengan Hamzah pula berkaitan hal-hal semasa dan tentang kementeriannya.
Semalam, Hamzah sendiri mengesahkan pertemuan dengan Anwar itu yang antara lain, menurut beliau, sebagai pertemuan sesama kawan lama yang tidak berjumpa dan lebih bersifat peribadi.
Dengan itu, apa masalahnya kepada Salahuddin dan Kulasegaran, melainkan jika terbukti sahih pertemuan Anwar dengan Muhyiddin dan Hamzah itu sebagai sebahagian daripada usaha PH untuk merebut kembali Putrajaya?
Apakah Salahuddin dan Kulasegeran tidak pernah berjumpa dengan sesiapa daripada parti lain dalam kerajaan?
Lagi pun, logikkah Anwar berjumpa kedua-dua mereka untuk merebut Putrajaya, sedangkan kedua-duanya sudah pun mendakap Putrajaya dengan Muhyiddin kini adalah Perdana Menteri dan Hamzah pula Menteri Dalam Negeri?
Yang hairan juga, kenapa sampai Amanah dan DAP mengeluarkan kenyataan media dalam hal ini kerana bukankah kedua-dua parti itu boleh bertanya sendiri kepada Anwar dalam mesyuarat Majlis Presiden PH?
Adakah dalam mesyuarat Majlis Presiden PH sebelum ini di mana ketika Anwar memaklumkan tentang perjumpaannya dengan Muhyiddin dan Hamzah itu, DAP dan Amanah ada bertanya lebih lanjut tujuan pertemuan tersebut?
Bagaimanapun, tiada jelas kenapa nama Azmin disebut sama dalam kenyataan media Amanah dan DAP kerana dalam kedaaan sekarang, adalah mustahil Anwar ada mengadakan perjumpaan dengan bekas Timbalan Presiden PKR itu.
Tak tahulah pula kalau Tun Mahathir ada berjumpa dengan Azmin secara diam-diam?
Seperkara lagi yang harus disedari, kecuali Muhyiddin, tingkah laku Azmin dan Hamzah dalam merosakkan perpaduan dalam PH sebenarnya sudah pun bermula sejak hari pertama PH berkuasa di mana Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Azmin dengan perangainya yang tak habis-habis menentang peralihan kuasa kepada Anwar, manakala Hamzah melompat daripada UMNO kepada Bersatu, juga dengan tujuan serta maksud yang sama.
Malah, melalui peranan Hamzah jugalah Kongres Maruah Melayu diadakan yang meletakkan Tun Mahathir duduk sepentas dengan pemimpin UMNO dan Pas.
Kepada Salahuddin khususnya, kenapa pada waktu itu beliau tidak bersuara apa-apa melihat perangai Azmin dan Hamzah yang terang-terang janggal di depan mata PH serta seolah-olah direstui Tun Mahathir?
Bukankah kerana Tun Mahathir terlalu memberi muka kepada Azmin dan Hamzah sejak dulu lagi adalah merupakan sebab terpenting berlakunya Langkah Sheraton yang menyebabkan tumbangnya kerajaan PH? (Shahbudindotcom 29/06/2020)


No comments: