SELAIN PENYOKONG, ADA PEMIMPIN BLOK PEMBANGKANG MULA MENYAMPAH DENGAN MAHATHIR



Tindakan Tun Mahathir Mohamad mengumumkan Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri bagi blok pembangkang nampaknya tidak mendapat reaksi yang baik seperti yang diharap-harapkannya.

Selain pengumuman beliau itu hanya menimbulkan sedikit keributan, sebaliknya ia lebih banyak membuatkan orangramai, terutama penyokong blok pembangkang mula jadi menyampah terhadapnya.

Yang sudah sedia menyampah pula, bertambah-tambah menyampahnya lagi mereka terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Ada dua aspek yang membuatkan mereka menyampah – pertama, tentang Shafie sebagai calon Perdana Menteri dan kedua, tindakannya meletakkan anaknya sendiri, Mukhriz Mahathir sebagai calon Timbalan Perdana Menteri.

Selain kerana pencalonan tersebut belum mendapat persetujuan sepenuhnya daripada blok pembangkang, Tun Mahathir dilihat telah melangkaui kedudukannya yang tiada jawatan dalam PH, PH Plus atau PH Minus melalui pengumumannya itu.

Rata-rata melihat pencalonan yang dibuat itu tiada kewajaran yang munasabah, melainkan untuk menyakitkan hati Anwar Ibrahim, menyerlahkan hati perutnya yang penuh dendam sehingga tergamak ingin memecah-belahkan PH.

Seolah-olah perasaan yang terpendam dalam hati Tun Mahathir, jika beliau gagal menjadi Perdana Menteri sekali lagi, biar PH juga berpecah dan Anwar akhirnya tidak berpeluang sama sekali menjadi Perdana Menteri.

Hanya sejumlah kecil, terutama pengampu Tun Mahathir saja yang menyokong tindakannya mencalonkan nama Shafie sebagai calon Perdana Menteri itu.

Ramai yang berpendapat, jika benar ingin mengembalikan semula mandat rakyat kepada PH, Anwarlah yang seharusnya ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri.

Tetapi, setelah namanya tidak dipersetujui, mengapa Shafie yang ditonjolkan oleh Tun Mahathir?

Kenapa tidak kembali kepada nama Anwar dan pernahkah sepanjang bekerjasama dengan PH sejak 2016, nama Shafie ditonjolkan sebagai pemimpin utama di peringkat Pusat?

Lagi pun Shafie hanyalah pemimpin sebuah parti untuk negeri Sabah saja, bolehkah beliau diterima untuk mentadbir seluruh Malaysia?

Kecaman beberapa pemimpin dari Sarawak berhubung pencalonan Shafie membuktikan tindakan Tun Mahathir itu tidak realistik dan tidak boleh diterima pakai.

Memang diakui jumlah sokongan yang mencukupi belum diperolehi oleh Anwar, tetapi jika namanya dimuktamadkan oleh blok pembangkang, beliau tentu saia boleh bergerak untuk mencukupkan angka bagi membentuk kerajaan.

Selagi namanya tidak dimuktamadkan, adalah susah untuk Anwar melakukan apa-apa yang wajar bagi mengembalikan mandat rakyat kepada PH.

Selain penyokong dan termasuk mereka yang bergelar pemimpin peringkat kebangsaan dalam parti-parti tertentu di blok pembangkang yang diketahui rapat dengan Tun Mahathir, tetapi tindakan beliau mencalonkan Shafie itu membuatkan mereka mula menyampah serta tidak dapat lagi menyembunyikan perasaan itu.

Terdapat juga antaranya yang sudah timbul perasaan bosan dan mahu berehat seketika daripada politik berikutan perangai Tun Mahathir kali ini.

Turut membuatkan mereka menyampah ialah tindakan Tun Mahathir sendiri mencalonkan anaknya, Mukhriz sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Akhirnya, kata mereka, Tun Mahathir telah menelan ludahnya sendiri dengan menyerlahkan keinginannya mahu menobatkan anaknya itu.

Sebelum ini, apabila nama Mukhriz cuba digandingkan dengan Anwar oleh PH dan Tun Mahathir menolaknya, ia dilihat seolah-olah beliau tidak mahu menonjolkan nama anaknya itu.

Sekarang dia sendiri menyebut nama anaknya sebagai calon Timbalan Perdana Menteri, tidakkah ini menunjukkan Tun Mahathir sebenarnya tidak dapat lari daripada kepungan gila kuasa yang ada dalam dirinya?

 (Shahbudindotcom 28/06/2020)