Setelah hampir tiga bulan kerajaan Perikatan Nasional mengemudi negara hasil daripada episod yang dikenali sebagai ‘Langkah Sheraton’, nampaknya mereka kini dalam ujian yang amat besar apabila perlu memastikan negara menang melawan wabak Covid-19 yang bukan sahaja mengganggu ekonomi negara tetapi juga dunia.
Setiap keputusan yang dibuat, ucapan yang disampaikan kini menjadi satu penanda aras yang akan dinilai oleh rakyat sama ada mereka betul-betul layak untuk mengemudi negara.
Mungkin sehingga hari ini, kerajaan PN boleh berbangga dengan kejayaan mereka untuk “flattern the curve”. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudahpun mengambil langkah pencegahan yang rapi dan kejayaan KKM menangani wabak ini juga telah menerima pujian di peringkat antarabangsa.
Malangnya, usaha cemerlang KKM ini seringkali gagal dijejaki oleh menteri Kabinet kerajaan PN sendiri. Ini dapat dilihat apabila ada menteri-menteri di Kabinet yang nampaknya secara tidak sengaja telah menconteng arang di muka Perdana Menteri dengan mengeluarkan kenyataan yang memberi impak negatif kepada mereka.
Antara kenyataan yang telah menjadi bahan jenaka oleh rakyat ialah kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba yang telah menyarankan rakyat Malaysia untuk minum air panas atau suam untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan Covid-19.
Seterusnya, tindakan Menteri Pengajian Tinggi yang memuat naik satu tweet di akaun twitternya dengan mempromosikan pertandingan Tik Tok yang dianjurkannya. Walaupun sempat memadam semula hantaran tersebut, tindakannya sempat dirakam oleh netizen dan menjadi bualan hangat dalam kalangan rakyat.
Rakyat mempersoalkan peranannya sebagai seorang Menteri Pengajian Tinggi dalam membantu pelajar yang terkesan dengan penularan wabak ini. Tidak kurang juga ada yang menyifatkan tindakan Dr Noraini itu langsung tidak sesuai dengan professionnya sebagai seorang menteri.
Bukan itu sahaja, kerajaan PN juga kini digelar sebagai kerajaan “u-turn” apabila mereka seringkali menarik balik kenyataan media yang telah dikeluarkan. Perkara-perkara sebegini mungkin nampak sebagai isu kecil, tetapi impaknya besar kepada masa hadapan kerajaan PN. Isu-isu ini bukan sahaja tular dalam negara, malah turut dijadikan bahan jenaka oleh media negara luar.
Antaranya ialah apabila kerajaan pada mulanya mengumumkan tiada bayaran faedah akan dikenakan terhadap kemudahan moratiorium yang disediakan, tiba-tiba pihak Bank Negara Malaysia umumkan pula ada cas yang akan dikenakan. Namun menurut kenyataan terbaru daripada Kementerian Kewangan menyatakan bahawa tiada apa-apa cas yang akan dikenakan.
Begitu juga dalam isu kebenaran membuka bazar Ramadan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa adalah antara menteri yang beria-ia mahu membenarkan e-Bazar dibenarkan beroperasi.
Kesungguhan Annuar akhirnya digagalkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob apabila beliau mengumumkan kerajaan memutuskan sebarang bentuk perniagaan berkaitan bazar atau gerai Ramadan termasuk dalam bentuk pandu lalu serta tempah dan ambil adalah tidak dibenarkan.
Dalam isu kedai gunting rambut, salon dan kedai cermin mata pun sama. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sebelum ini membenarkan beberapa sektor ekonomi termasuk kedai gunting rambut dan kedai cermin mata beroperasi tetapi arahan itu terpaksa U-Turn dan ditarik balik.
Persoalannya, apakah sesama menteri Kabinet tidak pernah berbincang sebelum membuat pengumuman secara rasmi? Komunikasi sesama menteri amat penting. Kita sudah semakin bosan apabila ada sahaja kenyataan dibuat hari ini, pada keesokan harinya ditarik balik. Ia tidak bagus untuk persepsi orang ramai dan perkara ini akan menimbulkan rasa panik dalam kalangan rakyat.