Sidang Parlimen tanpa perbahasan: Alasan Muhyiddin pincang, tiada majoriti sokongan

Sidang Parlimen tanpa perbahasan: Alasan Muhyiddin pincang, tiada majoriti sokongan

Keputusan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang membuka Dewan Rakyat dengan hanya
urusan Titah Diraja tanpa sebarang perbahasan dilakukan, diselar sebagai tindakan yang secara jelas menyalahgunakan kuasa dan memperlekeh proses Parlimen.
Menurut P Gunasegaram, tindakan Muhyiddin ketika ini menimbulkan persepsi bahawa beliau sebenarnya tidak memiliki majoriti sokongan terutama apabila melihatkan ahli-ahli Parlimen yang dengan mudah terpengaruh dengan janji kuasa, perlindungan dan wang.
Editor portal Focus Malaysia itu mengulas, apa yang dilakukan Muhyiddin adalah sebahagian dari rancangan besar Presiden Bersatu itu.
Dakwanya, Muhyiddin sengaja menunda sidang Parlimen untuk mengukuhkan kedudukannya dengan menawarkan segala bentuk jawatan, kuasa dan wang kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional untuk memperoleh sokongan mereka.
“Apa yang Muhyiddin sedang lakukan? Kebetulan alasan beliau agak pincang untuk menyekat Parlimen dengan hanya titah Diraja bakal dilakukan.
“Seperti yang saya jelaskan dalam satu artikel yang lain, ini ialah sebahagian dari perancangan Muhyiddin yang lebih besar.
“Jawatan-jawatan yang beliau berikan datang dengan wang dan kelebihan yang signifikan, sekaligus menghubungkan nasib beliau dengan penerima, lalu memastikan sokongan mereka terhadap beliau,” katanya.
Namun menurut Gunasegaram, dengan penundaan sidang Parlimen yang sepatutnya dilakukan pada Mac dan kemudian dibatalkan pula pada Mei ini, menggambarkan Muhyiddin sebenarnya tidak yakin dengan perancangannya sendiri.
Katanya, semakin banyak masa yang dapat dilengahkan, semakin banyak juga masa yang membolehkan Muhyiddin mendapatkan sokongan untuk terus kukuhkan kedudukan beliau.
Ujarnya lagi, sekiranya benar Parlimen akan bersidang hanya dengan titah Diraja seperti yang diputuskan, ini akan menimbulkan keraguan dan menjadikan yang pertama di dunia dalam demokrasi berparlimen.
“Sehingga beliau membenarkan Parlimen bersidang dengan betul, pemerintahan ini sama sekali tidak sah di mata rakyat dan mungkin juga undang-undang.
“Sekiranya hampir semua sektor ekonomi dibenarkan beroperasi, mengapa Dewan Rakyat dan Dewan Negara tidak dapat beroperasi semula dengan langkah jarak sosial yang selamat?,” ulasnya.