Hanya kira-kira dua bulan lebih sikit memegang jawatan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin telah tiga kali mengubah peraturan Sidang Parlimen semata-mata kerana takut hilang jawatannya.
Pertama, sebaik mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu, beliau telah menangguhkan tarikh asal Sidang Parlimen yang telah ditetapkan pada 9 Mac kepada 18 Mei.
Ketika itu, jika Sidang Parlimen tidak diubah tarikhnya, Muhyiddin lebih mungkin hanya merasa duduk sebagai Perdana Menteri untuk tempoh 9 hari saja.
Lantaran takut hilang jawatan dan tidak mahu tercatat sebagai Perdana Menteri 9 hari, Muhyiddin lalu menangguhkan tarikh Sidang Parlimen kepada 18 Mei.
Kedua, beliau menetapkan Sidang Parlimen pada 18 Mei itu hanya untuk sehari saja iaitu bagi upacara pembukaan dan perasmian oleh Yang Dipertuan Agong serta pembentangan usul-usul kerajaan seperti perlantikan Ketua Pembangkang, perlantikan Pengerusi PAC atau Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara dan lain-lainnya.
Membahaskan ucapan Yang Dipertuan Agong turut ditanggungkan kepada Sidang Parlimen Julai akan datang.
Tidak pernah dalam sejarah Sidang Parlimen diadakan hanya sehari, lebih-lebih lagi selepas upacara perasmian oleh Yang Dipertuan Agong.
Tetapi, Sidang Parlimen yang dijadual sehari pada 18 Mei ini mungkin berubah jumlah harinya berikutan Speaker Parlimen membuat keputusan menerima usul Ahli Parlimen Batu Sapi, Liew Vui Keong yang memohon sidang dilanjutkan sehingga lapan hari.
Speaker turut menerima usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dibawa oleh Tun Mahathir Mohamad untuk dibahaskan.
Ketiga, apabila ternampak kedudukannya kian tergugat berikutan kedua-dua usul itu diterima, Muhyiddin sekali lagi mengubah peraturan Parlimen dengan menetapkan sidang pada Isnin depan hanya untuk acara pembukaan semata-mata.
Tiada usul kerajaan akan dibentangkan dan selepas saja acara pembukaan, semua Ahli Parlimen kena balik ke rumah atau negeri masing-masing.
Dengan yang demikian, untuk tempoh sekurang-kurangnya sehingga Julai akan datang, negara kita tidak mempunyai Ketua Pembangkang dan Pengerusi PAC berikutan usul perlantikan kedua-duanya yang sepatutnya pada 18 Mei ini turut ditangguhkan.
Perubahan yang ketiga itu diumumkan Speaker semalam setelah beliau menerima surat yang ditandatangani oleh Muhyiddin selaku Ketua Majlis Dewan Rakyat yang mengarahkan ketetapan sedemikian.
Dengan itu, adalah jelas semua perubahan yang dilakukan oleh Muhyiddin adalah semata-mata untuk mengelak usul undi tidak percaya terhadapnya.
Lebih-lebih lagi, perubahannya yang diarahkannya semalam setelah mengetahui usul tidak percaya terhadapnya diterima Speaker, Muhyiddin boleh dianggap telah menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan peribadinya.
Sudahlah menjadi Perdana Menteri melalui tebuk atap dan berbohong berkenaan keputusan mesyuarat MPT Bersatu dalam isu membawa keluar parti itu daripada PH, lebih buruk dan tidak bermoral kerana Muhyiddin juga sengaja mengubah-ngubah tarikh dan peraturan Sidang Parlimen semata-mata untuk mengelak kehilangan jawatannya.
Dalam sejarah Malaysia, tidak pernah kita ada Perdana Menteri yang sebegini penakut dalam berhadapan dengan realiti dan cabaran dalam politik.
Najib Razak pun hanya lari daripada program “NothongToHide” saja, tetapi tidaklah pernah sampai memendekkan Sidang Parlimen sepertimana yang dilakukan oleh Muhyiddin ini.
Dengan tindakannya sampai tiga kali mengubah peraturan Sidang Parlimen hanya dalam tempoh dua bulan bagi mengelak usul undi tidak percaya terhadapnya, ternyata Muhyiddin kini sudah hilang wibawanya sebagai seorang Perdana Menteri.
Selepas ini, tidak ada jaminan Sidang Parlimen bulan Julai depan akan diteruskan selama 15 hari seperti yang dijadualkan.
Mungkin ketika itu, jika rasa-rasa tidak lepas juga dalam usul undi tidak percaya terhadapnya, lain pula helahnya untuk mengelak daripada usul tersebut.
Orang penakut akan selamanya menjadi penakut dan adalah malang bagi negara jika mempunyai pemimpin seperti ini untuk tempoh yang lebih lama lagi.
(ShahbudinHusin 14/05/2020)