Usah tangguh Bayaran Sara Hidup peneroka Felda

Usah tangguh Bayaran Sara Hidup peneroka Felda


Pemuda AMANAH Nasional menggesa pengurusan Felda untuk tidak menangguhkan pembayaran wang sara hidup kepada peneroka Felda ekoran Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa.
Exconya, Khairol Najib Hashim, mengakui terkejut dan kecewa terhadap pengumuman tersebut yang menangguhkan segala urusan pembayaran kepada peneroka, pembekal, vendor dan kontraktor berikutan penutupan operasi di Menara Felda.
Menurutnya, bayaran sara hidup bulanan adalah pendapatan utama para peneroka Felda oleh kerana ada yang bergantung sepenuhnya kepada bayaran tersebut.
“Dengan wang inilah mereka gunakan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Segala perbelanjaan harian juga menggunakan wang tersebut.
“Tidak dapat digambarkan betapa sukarnya situasi yang akan menimpa mereka apabila bayaran sara hidup ini ditangguhkan sehingga mereka tidak mampu untuk membeli keperluaan makanan harian.
“Sehubungan itu, kami menggesa Felda membuat bayaran mengikut jadual yang ditetapkan seperti biasa,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada masa sama, Khairol yang juga Ketua Pemuda AMANAH Perak berkata, bukan sahaja Felda yang terkesan dengan perintah yang dikeluarkan, bahkan kebanyakan syarikat lain juga terpaksa menutup premis mereka.
Namun katanya, dalam soal pembayaran gaji sudah pasti ianya adalah perkara pokok yang harus diselesaikan dan tidak seharusnya Felda memberi alasan untuk tidak melaksanakannya dalam tempoh yang sepatutnya.
“Kemungkinan juga berlaku lanjutan tempoh PKP ini, adakah akan ditangguhkan lagi bayaran sara hidup ini?
Felda juga sebenarnya sudah lama menggunakan sistem pembayaran atas talian terus ke akaun peneroka seperti mana sebelum ini.

No comments: