Shahbudin Husin
23 March 2020
Tengahari tadi Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran untuk pencarum KWSP berusia bawah 55 tahun mengeluarkan wang simpanan daripada Akaun 2 mereka sebanyak RM500 sebulan selama setahun.
Katanya, keputusan kerajaan memberi kebenaran itu adalah untuk meringankan beban rakyat yang terkesan akibatPerintah Kawalan Pergerakan atau PKR untuk mencegah wabak Covid-19 sejak 18 Mac lalu.
“Permohonan pengeluaran boleh dibuat bermula 1 April 2020.
“Inisiatif ini dijangka akan memanfaatkan sehingga 12 juta ahli KWSP dengan jumlah pengeluaran yang dianggarkan bernilai RM40 billion,” kata beliau.
Tambah Perdana Menteri lagi, inisiatif itu adalah sebahagian daripada Pakej Rangsangan Ekonomi dan Bantuan Rakyat yang lebih komprehensif yang akan diumumkan dalam tempoh terdekat.
Dalam erti kata lain, melalui pengeluaran RM40 bilion itu juga mampu merangsang pertumbuhan ekonomi yang lebih stabil ketika ini.
Bagaimanapun, keputusan yang diumumkan Muhyiddin hasil mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi itu mengundang kecaman rakyat dan mereka rata-ratanya menolak keputusan tersebut.
Pelbagai pihak atau persatuan berkaitan pekerja, pemimpin politik dan orang awam, terutamanya melalui media sosial jelas tanpa berselindung telah menzahirkan penolakan mereka.
Mereka berpendapat, langkah yang diumumkan Muhyiddin itu bukan berupa bantuan untuk meringankan beban rakyat kerana wang yang dikeluarkan itu adalah kepunyaan mereka sendiri.
Bantuan apa namanya kalau wang sendiri yang dikeluarkan akhirnya untuk membantu diri sendiri, tanya mereka.
Mereka turut mempertikaikan bagaimana dengan nasib pekerja harian yang tiada simpanan dalam KWSP atau mereka yang sudah melebihi usia 55 tahun yang tiada lagi tabungan.
Apa usaha kerajaan untuk membantu mereka?
Selain itu, rata-rata berpendapat, tabungan KWSP adalah untuk simpanan hari tua pekerja dan jika sebahagiannya dikeluarkan sekarang, apa lagi yang tinggal untuk hari depan?
Yang paling dipersoalkan, dalam kerajaan kononnya prihatin dan mengatakan mahu meringankan beban rakyat, apa sebenarnya bantuan langsung daripada dana kerajaan yang disalurkan pada ketika susah ini dan rakyat tidak dapat keluar bekerja ini?
Langkah Muhyiddin ini tidak lebih dianggap retorik politik kononnya kerajaan pintu belakang pimpinannya prihatin kepada nasib rakyat, walhal sumbangan sebenar dalam meringankan beban kehidupan mereka adalah kosong.
Kalau namanya bantuan dan untuk tujuan meringankan beban rakyat, Muhyiddin seharusnya mengumumkan sejumlah dana daripada kerajaan bagi tujuan itu.
(ShahbudinHusin 23/03/2020)