Mungkinkah Muhyiddin PM paling singkat?
Kemelut politik Malaysia mungkin berakhir dengan mencipta sejarah baharu, Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri (PM) paling singkat dalam sejarah.
Hal ini kerana blok gabungan Muhyiddin tidak mempunyai majoriti. Blok beliau mungkin mendapat sekitar 90 – 92 kerusi parlimen berdasarkan Pakatan Harapan (PH) pada malam tadi mengakui telah mendapat 114.
Penafian ahli parlimen
Meskipun terdapat penafian dua ahli parlimen daripada Umno menandatangani Akuan Bersumpah, namun jumlah terkini yang dimiliki PH adalah 112. Tepat dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan, kerajaan hendaklah dilantik daripada blok yang mendapat majoriti. Tafsiran mudah majoriti adalah 112 daripada 222 jumlah keseluruhan ahli parlimen.
Oleh itu tidak mungkin kerajaan Muhyiddin mampu ditubuhkan. Sekiranya Yang di-Pertuan Agong membenarkan juga Muhyiddin mengangkat sumpah maka mengikut Perlembagaan pihak yang mempunyai majoriti boleh ke Istana dan menunjukkan bukti mereka lebih layak membentuk kerajaan.
Malah boleh berlaku ketika Muhyiddin mengangkat sumpah Tun Mahathir berada di luar dewan dan masuk selepas rombongan Muhyiddin keluar. Sekiranya Agong perkenan Tun boleh mengangkat sumpah selepas Muhyiddin.
Krisis Perak
Pembuktian mendapat sokongan mungkin menjadi pertikaian. Bagaimanakah cara membuktikan sokongan cukup diperolehi sekiranya berlaku lompat parti atau ahli parlimen Bebas menyokong sesuatu blok.
Krisis kerajaan Perak pada 2009 sebelum ini adalah duluan (precedent). Mahkamah telah memutuskan cara membuktikan sokongan boleh diperakui melalui Akuan Berkanun atau ahli-ahli Dewan dibawa menghadap Sultan. Oleh itu, sekiranya Tun tidak dibenarkan menghadap Agong sebelum upacara angkat sumpah Muhyiddin maka beliau boleh menghadap selepas acara itu bersama-sama 112 ahli parlimen yang menyokongnya.
Mahathir boleh dilantik sebagai PM oleh Agong menurut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan dan mengangkat sumpah jawatan selaras Jadual Keenam Perlembagaan.?
Berlaku ketegangan
Andainya PM baharu Muhyiddin enggan meletak jawatan maka risiko tunjuk perasaan rakyat adalah besar. Rakyat tidak boleh dipersalahkan apabila Perlembagaan Persekutuan dikesampingkan, yakni pihak yang memperolehi majoriti dinafikan menjadi kerajaan.
Dalam hal majoriti, pendapat lain hanya terpakai ketika tiada pihak memperolehi majoriti. Menemubual ahli parlimen, menemubual ketua-ketua parti politik adalah sah. Sebaliknya, sebaik sahaja majoriti 122 diperolehi maka Perlembagaan menetapkan blok yang memperolehinya adalah kerajaan semasa.
Sekiranya, berlaku sebaliknya. Pembelotan ahli parlimen atau kalah undi tidak percaya di parlimen maka Agong bolehlah menimbangkan untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya umum baharu.
Ironinya jika Perlembagaan tidak dituruti, mungkin berlaku pihak yang tidak mempunyai majoriti menggunakan akta drakonian memaksa sokongan kepadanya selepas membentuk kerajaan. Atau menggunakan aparat keselamatan yang berlawanan daripada demokrasi.
Tidak ada rakyat Malaysia yang mahukan kekacauan. Semua rakyat mahu krisis politik diselesaikan secara aman. Dan cara yang terbaik adalah mematuhi Perlembagaan Persekutuan yang memelihara di dalamnya Raja Berpelembagaan, eksekutif yang mentadbir serta rakyat jelata.