Raikan Kehadiran Ezam, Satukan Kekuatan



1. Baru-baru ini, setelah saya menaikkan gambar saya bersama Dato Ezam Mohd Noor dan beberapa hari kemudian memaparkan poster program beliau di laman sosial facebook, saya telah menerima banyak respon dari teman-teman pelbagai latarbelakang. Ada yang respon di ruangan komen, ada yang menghantar mesej di messenger dan whatsapp, malah ada yang terus hubungi saya melalui panggilan telifon.

2. Respon itu hadir dalam bermacam bentuk dan rupa. Jika dari teman yang sealiran, kebanyakkan dari mereka bersetuju Ezam kembali masuk gelanggang perlawanan, dalam masa yang sama meminta pandangan saya akan baik buruknya gerakan ini. Saya beri pandangan saya dalam tulisan ini.

3. Ada juga yang respon meminta supaya kita berhati-hati dengan Ezam, kerana penerimaan segelintir rakan-rakan reformis terhadap beliau masih lagi samar-samar, masih 50-50. Saya kata inshaAllah jika kita mendengar sendiri apa yang cuba disampaikan oleh saudara Ezam, khususnya dalam persediaan untuk kembali ke gelanggang lawan diktator, pastinya perasaan samar itu sedikit demi sedikit akan hilang berganti keyakinan.

4. Tidak kurang juga yang memberi respon dengan kata-kata kesat, hinaan dan celaan di ruangan komen facebook. Mereka yang komen begini tidak lain dan tidak bukan, adalah terdiri daripada kartel dan juga walaun. Mereka melihat kehadiran saudara Ezam memberi impak tersendiri yang mampu menggegar tanahair, memberi tekanan kepada pemerintah supaya peralihan kuasa yang telah dijanjikan itu dikotakan dan seterusnya pelaksanaan Reformasi sebenar direalisasikan.

5. Ada yang marahkan Ezam kerana pernah bertembung dengan Anwar Ibrahim suatu masa dulu, banyak yang diperkatakan. Namun itu adalah di antara saudara Ezam dan Anwar Ibrahim.

6. Ya benar saudara Ezam pernah keluar dari landasan di atas alasan tertentu. Sekurangnya, beliau bertindak keluar atas prinsip, ketika ada sosok yang masih berada dalam kerangka parti walaupun menentang Presiden secara terangan, malah menjadi duri dalam daging apabila berkomplot dengan pihak musuh untuk menyekat Presiden.

7. Pada hemat saya, kembalinya saudara Ezam ke gelanggang adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu setelah melihat satu persatu tindak tanduk Tun Mahathir membelakangi agenda Reformasi. Tun Mahathir sudah mula menunjukkan taringnya dari beberapa keputusan yang dibuat, justeru kehadiran sosok seperti saudara Ezam adalah tepat pada masanya untuk kita raikan.

8. Saudara Ezam hadir dan bersuara ketika ramai pejuang lain diam seribu bahasa di sebalik pangkat dan jawatan. Malah ada diantara mereka yang hanyut dibuai kuasa hingga tergamak membentuk sebuah kartel yang mahu menyekat Anwar Ibrahim dari menjadi Perdana Menteri. 

9. Ada juga teman yang mempersoal tindakan saya meraikan saudara Ezam untuk berdepan mahazalim, sedangkan saya begitu lantang menentang kemasukkan Tun Mahathir dalam Pakatan Harapan untuk berdepan Najib Razak. Pada hemat mereka, situasi ini adalah sama sedangkan saya bertegas ianya berbeza sama sekali.

10. Saya tegaskan bahawa saya tidak pernah menolak kemasukkan Tun Mahathir untuk sama berjuang melawan kleptokrasi, malah saya rai satukan kekuatan. Apa yang saya lawan ketika itu ialah kemasukkan Tun Mahathir dengan dilantik sebagai calon Perdana Menteri. Saya sokong jika Tun Mahathir nak bersama, tetapi bukanlah masuk sebagai calon PM. Kerana apabila Tun Mahathir menjadi PM, kegusaran saya pada waktu itu, kini sedang berlaku.

11. Maka dengan adanya saudara Ezam, kekuatan yang lebih ampuh mampu dipersediakan. Kita jadikan saudara Ezam kereta kebal dalam perjuangan ini.   

12. Saudara Ezam memilih untuk terus bergerak di luar kerangka parti, dengan menghimpun segenap kekuatan dari kalangan reformis dan aktivis parti. Ayuh kita hadirkan diri dalam Siri Jelajah Reformasi - Sembang Santai Bersama Saudara Ezam Mohd Noor seperti yang dijadualkan pada tarikh dan lokasi di bawah;

7hb - Ipoh (malam)
8hb - Tapah (pagi)
8hb - Klang (malam)
9hb - Taman Medan (malam)
14hb - Shah Alam (malam)
15hb - Ulu Tiram (2ptg-5ptg)
15hb - Seremban (malam)
16hb - Sg Buloh (12tgh-5ptg)
16hb - Kuantan (malam)

13. Lokasi tepat dan masa akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. Saya juga difahamkan jadual saudara Ezam sudah penuh untuk sepanjang bulan Februari ini dan lokasi selanjutnya akan diumumkan kemudian. Saya cuma membantu untuk mempermudahkan gerakan ini, memudahkan maklumat diakses. Anda yang menerima maklumat ini, silalah proses dengan baik, menilai dan bertindak atas penilaian tersebut.

Sekian

Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger

No comments: