Oleh Fakhrurrazi Rashid
(Koordinator Program Research for Social Advancement (REFSA))
(Koordinator Program Research for Social Advancement (REFSA))
MALAYSIA telah memperbaiki kedudukan dalam Indeks Persepsi Rasuah 2019 di tangga ke-53 berbanding 61 pada 2018. Ini pencapaian membanggakan dalam tempoh 20 tahun.
Kejayaan ini hasil daripada komitmen pembaharuan institusi yang dalam melawan rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sedekad lalu.
Kerjasama erat rakyat dan kerajaan yang bersatu dalam menolak jenayah rasuah dan ketirisan dana negara merupakan kunci kejayaan integriti negara dapat dipulihkan. Menariknya, kejayaan ini dicapai tidak sampai dua tahun pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan
.
Malangnya, ada pihak melihat 20 bulan yang lalu ialah waktu keretakan perpaduan nasional. Situasi ini berpunca daripada sikap yang taksub menjadi juara sesuatu kaum yang membuktikan kumpulan ini gagal menyesuaikan pemikiran mereka dengan sistem urus tadbir berteraskan demokrasi, telus dan bertanggungjawab.
Golongan yang enggan berubah
Seluruh dunia sekarang menerima tentangan hebat daripada mereka yang berfahaman kanan yang sukar menerima perubahan. Penglibatan kumpulan ini dalam gerakan rakyat telah meningkat berbanding mereka yang mahukan perubahan secara demokratik.
Apakah simptom-simptom kumpulan ini? Kumpulan ini mempertahankan pemikiran lama, menghangatkan isu kaum, identiti nasional dan menolak perubahan negara ke arah lebih demokratik.
Di Brazil, Eropah, Thailand dan India memperlihatkan pengaruh golongan konservatif menjadi punca dasar negara mereka ke arah perkauman dan menyokong pemimpin yang autokratik. Bagaimana dengan Malaysia?
Gerakan masyarakat berhaluan konservatif tumbuh bagai cendawan di Malaysia selepas 9 Mei 2018. Bermula dengan perhimpunan bantah ICERD, insiden pergaduhan kuil Maha Mariamman, Buy Muslim First (BMF), anti-tulisan jawi, anti-sekolah vernakular dan Kongres Maruah Melayu.
Ini merupakan simptom yang telah meletakkan nilai pemikiran kesederhanaan kian tenggelam. Adakah kita masih lagi ingin menafikan hakikat ini?
Ahmad El-Muhammady, ahli akademik dan pakar anti-keganasan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia menyatakan redikalisasi politik kian meruncing di Malaysia, yakni rasa sukar menerima antara satu dan yang lain dengan rasa hormat.
Golongan enggan berubah ini sebaliknya menggunakan perbezaan kaum dan pandangan untuk memecah-belahkan masyarakat. Pecah belah ini mudah berlaku dengan memalsukan maklumat dan berita yang akhirnya mencipta rasa takut rakyat akan sesuatu perubahan.
Ironinya rasa takut ini kian meningkat tatkala urus tadbir negara dan integriti negara sedang ditambah baik. Rasa takut ini menyebabkan rakyat tidak dapat membezakan perbuatan yang salah dengan amalan yang baik, pemimpin yang ketagih rasuah berbanding pemimpin berintegriti.
Ubah ‘kanta’ perpaduan nasional.
Untuk berubah, kita harus sedar konsep perpaduan Malaysia hari ini tidak mampu menampung cabaran masa hadapan sehingga melahirkan golongan yang ‘anti’ dan ‘fobia‘ dengan kaum, agama, budaya dan bahasa.
Perpaduan nasional perlukan ‘kanta’ baharu, menggantikan kanta lama yang kian mengaburi minda dan jiwa rakyat tentang arah perpaduan nasional.
Kanta baru ini mengidamkan sebuah masyarakat yang mengangkat nilai demokrasi, telus, integriti dan bertanggungjawab. Kefahaman ini perlu disokong dengan satu pemikiran yang celik fakta dan seimbang dari segi emosi agar perpaduan nasional tidak dapat digugat dengan dakyah palsu dan sentimen negatif.
Demokrasi bukan terletak pada peti undi dan pilihan raya, bukan kiraan majoriti sahaja. Pentingnya demokrasi untuk mewujudkan toleransi, perbincangan, konsolidasi dan dialog rakyat dan pemimpin untuk membincangkan pandangan masing-masing.
Masyarakat perlu keluar daripada ketakutan untuk memberi kritikan. Kita perlu berani bersuara dan bertanggungjawab dalam mengkritik pemimpin yang tidak berintegriti, memainkan sentimen kaum untuk memecahkan perpaduan negara.
Rakyat perlu meletakkan institusi awam di tempat yang tinggi berbanding kepentingan parti politik dan kumpulan tertentu.
Memperbaiki perpaduan nasional juga berkait dengan usaha mewujudkan ekonomi rakyat yang stabil. Apabila bercakap tentang ekonomi rakyat, ia bukan tiket para majikan dan pemimpin menyalahkan pekerja tidak produktif, tetapi sejauh manakah mereka yang mempunyai duit dan kuasa ini berkongsi kemakmuran dengan rakyat?
Apakah nilai sebuah ekonomi yang maju tetapi kehidupan anak muda, pekerja, wanita dan keluarga setiap etnik tidak mendapat gaji dan pekerjaan setimpal dan hidup tidak tenteram?
Persoalan ini cuba diuruskan dalam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Gagasan ini juga harus dipandang sebagai usaha mengubah corak perpaduan nasional ke tahap yang lebih inklusif, iaitu merapatkan jurang etnik, wilayah dan kemahiran berlandaskan fakta dan rasional.
Tetapi, sejauh manakah kita mempunyai kesanggupan dan kesedaran untuk melihat perpaduan dengan kanta baharu ini?
*Tulisan ini kali pertama disiarkan di The Malaysian Insight