KENANGAN LAMA SEORANG SAHABAT

‪Hari ini aku mengingati seorang sahabat dan ulama yang telah meninggal dunia pada 26 tahun yang lalu. Beliau ialah Tuan Guru Ustaz Mawardi Ahmad Tok Kenali. ‬

‪Tuan Guru Ustaz Mawardi Ahmad ialah cucu Tok Kenali, seorang ulama tersohor di Nusantara. Dia ADUN PAS Kelantan bagi kawasan Lundang 1986-1994.‬

‪Tuan Guru Ustaz Mawardi adalah di antara hanya beberapa kerat ADUN Kelantan yang kuat menyokong usaha untuk melakukan perubahan membenteras penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam Kerajaan Negeri Kelantan selepas kemenangan PAS menumbangkan BN dalam PRU 1990.‬

‪Pengalaman yang tak aku lupakan dengan Tuan Guru Ustaz Mawardi ialah semasa Muktamar Tahunan PAS Ke-38 yang diadakan pada 14-16 Ogos 1992 di Balai Islam Lundang, Kota Bharu, Kelantan.‬

‪Ketika muktamar tersebut, aku membentangkan usul ‘Kod Etika Pengurusan dan Pentadbiran bagi Penambahbaikan Kerajaan Negeri Kelantan'. Kerajaan Negeri Kelantan waktu itu ialah Kerajaan Angkatan Perpaduan Ummah (APU) yang merupakan gabungan PAS dan Parti Melayu Semangat 46 dengan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebagai Menteri Besar.‬

‪Aku bentangkan usul itu dengan latar belakang terdapat kalangan pemimpin parti dalam PAS Kelantan disyaki terlibat dalam penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah kayu balak, di luar pengetahuan Menteri Besar. Aku diberikan maklumat, seorang Exco kanan Kerajaan Negeri Kelantan disyaki telah menerima habuan besar daripada tauke balak. Aku mendapat maklumat, terdapat ramai wakil-wakil rakyat Kelantan dianugerahkan kawasan balak.‬

‪Aku kemukakan usul Kod Etika itu setelah merujuk dan mendapat panduan daripada kalangan pimpinan tertinggi PAS Pusat supaya isu-isu berbangkit dibawa dan dibahaskan dalam muktamar.‬

‪Seperkara yang kekal dalam ingatan aku ialah pendirian Tuan Guru Ustaz Mawardi. Sebagai ADUN Kelantan yang bersih, beliau beristiqamah menyokong usul Kod Etika yang aku kemukakan.‬

‪Setelah dibahaskan, usul itu menjalani proses pengundian sebanyak dua kali dalam muktamar. Kali pertamanya usul itu dipersetujui oleh muktamar dengan undi majoriti perwakilan. Namun, pengundian kedua terpaksa diadakan kerana pengerusi muktamar mendakwa proses pengundian pertama dikatakan salah teknik. Dalam pengundian kedua, usul itu ditolak.‬

‪Tuan Guru Ustaz Mawardi tetap menyokong usul yang aku bentangkan dalam pengundian pertama dan juga kedua.‬

‪Selepas selesai pengundian kedua yang menolak usul Kod Etika itu, kekecohan berlaku sebaik sahaja muktamar ditangguhkan. ‬

‪Aku menjadi saksi dengan mata aku sendiri dan melihat seorang Exco Kerajaan Negeri Kelantan yang disyaki terlibat dengan isu konsesi kayu balak segera meluru, menerpa ke tempat duduk Tuan Guru Ustaz Mawardi di dalam muktamar.‬

‪Aku saksikan Exco berkenaan dengan berang menempeleng Tuan Guru Ustaz Mawardi sehingga serbannya tertanggal dan tercampak ke lantai.‬

‪Selepas muktamar, Tuan Guru Ustaz Mawardi jatuh sakit. Aku menziarahinya di rumah dengan seorang sahabat yang kini menjadi Menteri Kerajaan Persekutuan. Ustaz Mawardi kelihatan terlalu uzur. Dia memberitahu kami, perbuatan Exco Kelantan yang memukulnya semasa muktamar tempuhari amat memakan dalam jiwa dirinya. Dia merasakan masanya untuk pergi kian hampir. ‬

‪Selama lebih setahun Tuan Guru Ustaz Mawardi beruzuran dan  kemudiannya meninggal dunia, dan pilihanraya kecil DUN Lundang diadakan pada 24 Mac 1994 berikutan kematiannya.‬

‪Aku mengingati Tuan Guru Ustaz Mawardi Ahmad Tok Kenali sebagai seorang ulama yang sangat beristiqamah melawan penyelewengan, salah guna kuasa dan rasuah dalam Kerajaan Negeri Kelantan sehingga akhir hayatnya.‬

- Abd Malek Hussin

No comments: