PKR,PH DAN MALAYSIA SIRI 2



Ini fakta yang perlu kita telan. Kezaliman terhadap banyak pihak termasuk kepada Tian Chua, Ezam, Hishamuddin Rais, Raja Petra, Saari Sungib dan ramai lagi dulu mendapat sambutan kerana mereka berani tampil membela ketidakadilan terhadap Anwar. Bukan kerana sosok mereka memang sangat berpengaruh sehingga boleh mencetuskan arus reformasi yang terus dirasakan sampai hari ini. Masing-masing mungkin ada pengikut mereka. Tapi jumlah pengikut ini rata-rata muncul dan membesar selepas peristiwa 1998 bukan kerana mereka memang tokoh hebat yang punya ribuan pengikut tersedia.

Isu orang lama orang baru rentetan apa yang berlaku di Kongres seperti perkelahian antara budak sekolah yang lebih senior dan lebih junior. Nampak lekeh. Macamlah tidak ada orang lama yang berkhianat. Macamlah tidak ada orang baru yang berani. Macamlah orang lama betul semua. Macamlah orang baru tak tahu apa dan tak ada sumbangan. Macamlah orang lama tak ada sumbangan besar. Macamlah orang baru lebih tahu segalanya. Macamlah orang lama sudah tidak diperlukan. Macamlah orang baru segala-galanya.

Dakwaan siapa lebih bagus yang lama atau yang baru ini sebenarnya memalukan. Orang lama harus sedar mereka tidak menang di zaman awal tetapi mendapat sokongan generasi baru untuk berada dalam prestasi sekarang. Orang baru juga harus sedar  kita berada di sini hasil perjuangan yang dicetuskan dan dimulakan oleh orang lama. Ada beza antara pencetus dan pemula. Jika Anwar tak bangkit melawan membela maruahnya, tak ada pemula yang boleh menggarap seluruh kekuatan pelbagai kaum sehebat beliau. Yang sembang hebat memang ramai boleh buat.

Inilah kekuatan PKR. PKR adalah parti paling beraneka. Segala macam latar belakang demografik ada dalam parti ini. Tapi nampaknya naratif Malaysia Baru yang mahu membela rakyat dengan formula baru - bukan berasaskan kaum - tenggelam. Kongres tempoh hari gagal mengangkat persoalan ini lebih daripada pertembungan antara dua pemimpin tertingginya.

Azmin yang dulunya dikecam kerana berleluasa dalam parti dan dilindungi Anwar kini menjadi seteru utama Anwar. Kedua-dua mereka mungkin tidak mahu mengaku tetapi sekurang-kurangnya tanggapan itu ada dalam kalangan orang-orang lama dan baru yang cakna dengan perkembangan parti. Tian Chua dan Sivarasa yang kini menjadi orang kuat Azmin lebih tahu tentang leluasanya Azmin dalam parti kerana kekuatan kewangan dan penggunaan maksimum tanggapan bahawa beliau orang kepercayaan Anwar.

Sivarasa konon membangkitkan masalah bermula sejak sebelum PRU14 dalam soal pemilihan calon pilihan raya dan nama-nama yang diangkat ke Kabinet. Ini membayangkan fokus beliau adalah kepada kuasa. Beliau patut akui bahawa masalah PKR hari ini sebenarnya bermula sejak 2008. Ini kerana parti telah mengangkat Khalid Ibrahim menjadi MB Selangor. Siapa yang tidak berpuas hati ketika itu? Azmin Ali.

Tian Chua dan Sivarasa pasti ingat antara hujah-hujah menghentam Khalid Ibrahim ialah kerana beliau culas datang ke mesyuarat parti. Tian dan Sivarasa pasti ingat bagaimana MPP yang dikuasai oleh Azmin cuba memaksa Khalid Ibrahim letak jawatan dan mengusul penggulingan Presiden kerana tidak mengangkat Azmin sebagai MB.

No comments: