ANWAR SELALU DIKHIANATI?






Ketika Mahathir Mohamad mengunjungi Anwar Ibrahim di mahkamah pada 2016 yang menandakan berdamainya kedua-dua pemimpin itu sejak bermusuhan pada 1998, tidak ada yang meragui atau mempertikaikan keperluan beliau dikunjungi.

Ketika hubungan Mahathir bertambah mesra dengan keluarga Anwar, khususnya dengan Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah, sementara Anwar sunyi sendiri di penjara, rata-rata yang gembira dan mengucap syukur bukan kepalang jumlahnya.

Ketika nama Anwar dinamakan secara konsensus oleh PH sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 selepas Mahathir yang kemudian secara terbuka menyebut beliau hanya perlu dua tahun memegang jawatan itu, tidak kedengaran sesiapa bersuara membantahnya.

Ketika Anwar dibebaskan dan keampunan penuh daripada Yang Dipertuan Agong dipohon buatnya, juga tidak ada yang melihatnya sebagai tidak wajar atau tindakan tergesa-gesa oleh sebuah kerajaan yang baru berkuasa.

Tetapi, sebaik saja beliau memutuskan bertanding di Port Dickson untuk kembali menjadi Ahli Parlimen dan menjelang setahun Mahathir memegang kuasa sebagai Perdana Menteri sebelum sepatutnya melakukan peralihan kuasa pada Mei 2020, entah kenapa, tiba-tiba saja macam-macam suara kedengaran tanpa disangka.

Anwar bukan saja dipertikaikan kerana dilihat gopoh mahu mengambil alih jawatan Perdana Menteri, malah kedengaran pula suara yang mahu Mahathir berkhidmat sampai tamat penggal PRU14 iaitu sehingga tahun 2023.

Kemudian, suara yang bercampur-campur itu berkembang lagi dengan dakwaan menuduhnya tidak layak menjadi Perdana Menteri atas pelbagai cerita yang direka-reka serta kononnya gagal mendamaikan parti sendiri.

Semakin dekat detik Anwar mahu diberikan janji mengambil alih jawatan Perdana Menteri sebagaimana yang sudah dimetrai, terlihat semakin ramai juga yang mahu menolak dan mengasaknya ke tepi.

Pendek kata, selain musuh yang nyata yang ingin menolaknya, satu demi satu rakan dan mereka yang pernah bekerja dengannya turut sama mahu mengkhianatinya.

Kenapa semua ini berlaku?

Apa yang mereka tidak suka bila Anwar jadi Perdana Menteri?

Dan apa yang mereka tiba-tiba jadi suka kepada Perdana Menteri sedia ada?

Seiiring dengan itu, mengimbas detik-detik lalu, ini bukanlah kali pertama sebenarnya Anwar dikhianati sebaik makin dekat kakinya menggapai kerusi Perdana Menteri.

Ketika dalam Umno, walaupun sudah berjawatan Timbalan Presiden parti dan Timbalan Perdana Menteri ketika itu serta hanya selangkah lagi untuk menjadi pengganti, beliau tiba-tiba dikhianati oleh mereka yang sebahagiannya adalah rakan-rakannya sendiri dengan pelbagai fitnah yang mengaibkan sehingga dipecat, dipukul setengah mati dan akhirnya dipenjara.

Dalam era reformasi kemudiannya di mana ramai yang berjanji, tidak kurang sebahagian besarnya telah mungkir janji dan lari meninggalkannya seorang diri.

Yang lari dan mungkir janji itu rata-ratanya adalah mereka yang pernah ditolong dan dijadikannya kaya raya, bukan yang miskin atau daripada kalangan kais pagi makan pagi.

Namun, dengan sokongan mereka yang setia dan percaya kepada perjuangan reformasi, walaupun pada suatu ketika KEADILAN hanya tinggal satu kerusi iaitu Permatang Pauh yang dimenangi oleh isterinya, Anwar tidak pernah patah hati dengan semua yang menimpanya.

Sehinggalah beliau kemudian dibebaskan pada 2004 oleh Mahkamah Persekutuan atas kesalahan liwat pertama, bersama kelemahan pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi, gerakan kempennya pada PRU 2008 nyata membuahkan hasil apabila BN hilang majoriti dua pertiga serta lima negeri jatuh ke tangan Pakatan Rakyat atau ringkasnya PR.

Berbekalkan arus perubahan itu, PRU 2013 adalah medan yang sangat terbuka untuk Anwar memimpin PR menumbangkan BN dan seterusnya menjadi Perdana Menteri.

Malangnya, menjelang hari-hari terakhir sebelum hari mengundi, beliau tiba-tiba dikhianati oleh Pas yang menolaknya sebagai calon Perdana Menteri.

Pas sebaliknya mahu mengangkat Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin Umno yang bertanding atas tiket BN sebagai calon Perdana Menteri pilihan mereka.

Anwar tidak pernah patah semangat dengan pengkhianatan itu dan meneruskan perjuangan menghadapi PRU 2013 sehingga akhirnya, walaupun BN gagal ditumbangkan, jumlah kerusi PR bertambah tujuh kerusi berbanding PRU 2008 serta menang dari segi undi popular.

Hanya ketika di dalam penjara barangkali beliau agak kurang dikhianati, meskipun di waktu itu ramai juga yang keluar meninggalkan KEADILAN kerana banyak ditawarkan sesuatu yang menarik hati.

Kini, setelah setahun PH berkuasa dan sepatutnya laluan beliau menjadi pengganti Mahathir semakin mudah serta tiada masalah kerana asas pemilihannya sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 adalah konsensus PH, sekali lagi bertimpa-timpa muncul mereka yang cuba mengkhianatinya.

Daripada rakan parti, kawan dalam gabungan, mereka yang pernah bekerja serta makan semeja dengannya dan pelbagai kelompok lainnya, tak termasuk musuh lamanya, ternampak tidak henti-henti percubaan mahu menyekat daripada menjadi Perdana Menteri.

Apa lagi mereka ini mahu agaknya?

Tidak bolehkah semua orang menerima Anwar seadanya, bukan saja kerana sudah ada konsensus memilihnya yang telah dipersetujui sebelum PRU14 lagi, tetapi juga mengambil kira pengorbanan, derita dan jasanya mewujudkan gabungan parti-parti untuk melawan BN sejak 20 tahun lalu?

Lagi pun, selain Anwar, siapakah lagi yang lebih layak dan diterima oleh semua parti dalam PH sebagal bakal Perdana Menteri ke-8?

Dan kalau bukan Anwar, mereka mahu siapa sebenarnya untuk jadi pengganti Mahathir?