PKR,PH DAN MALAYSIA SIRI 4



Keputusan Azmin untuk menolak pembentukan Pakatan Harapan hanyalah semata-mata kerana bimbang beliau akan dijatuhkan sebagai MB. Azmin tidak pernah pedulikan setiakawan. Yang penting ialah dirinya sendiri. Setiakawan hanyalah slogan untuk mengekalkan kedudukannya. Azmin tidak pernah pedulikan PH pada awalnya bahkan kumpulannya bertindak dengan cara meremehkannya. Apakah Tian Chua dan Sivarasa tidak melihat ini sebagai penolakan terhadap keputusan parti dan keputusan bersama kerjasama politik yang kita pegang?

Bila PPBM muncul dan menyertai PH, Azmin masih berusaha mendapatkan sokongan PAS. Tian Chua yang pada ketika ini mula menyertai kem Azmin pergi ke Kelantan mewakili kem Azmin untuk menunjukkan gesture hubungan baik. Semua tindakan ini hanyalah untuk mengukuhkan kedudukan peribadi, bukan kerana PAS memang mahukan Azmin menjadi MB. Keputusan Majlis Pimpinan PAS Pusat semasa krisis MB ialah menyokong Wan Azizah dan Azmin. Ini menjadikan Wan Azizah mendapat sokongan penuh PAS, DAP dan hampir semua ADUN PKR. Azmin?

Amanah dan Bersatu terbentuk lewat krisis dalam PAS dan UMNO. Azmin masih berusaha mendapatkan sokongan PAS yang tidak memberi respond positif. Mereka hanya mahu kekal menjadi EXCO di Selangor dan menikmati segala kemudahan, gaji, elaun dan pencen. Sambil terus kekal dalam kerajaan Selangor mereka menyerang kepimpinan PH.

Bila kerjasama PH semakin teratur, dengan pertemuan dan rundingan Tun M dan Anwar yang menggembirakan banyak pihak, struktur asas kerjasama dibentuk di mana Anwar yang masih di penjara dilantik menjadi Penasihat, Tun M menjadi Pengerusi dan Wan Azizah menjadi Presiden. Muhyiddin, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng dilantik sebagai Timbalan Presiden. Ketika ini Azmin mungkin sedar beliau terpaksa menerima PH. Azmin sekali lagi menunjukkan beliau hanya pentingkan kedudukan politik peribadi. Beliau melobi untuk diletak sebaris dengan pemimpin parti-parti komponen sebagai Timbalan Presiden PH. Apakah Azmin fikir orang akan lupa beliau ditempelak Mohamad Sabu “macam mana you nak jadi Timbalan Presiden mesyuarat PH Selangor pun you tak buat”.

Itulah Azmin. Kerana mahu menjaga hati PAS, beliau tidak mahu mengiktiraf Amanah. Sanggup tidak buat mesyuarat PH Selangor yang beliau diamanahkan sebagai Pengerusi atas kedudukan beliau sebagai MB Selangor demi menjaga reputasi peribadi dengan PAS. Apa yang Azmin lakukan selepas ditempelak Mohamad Sabu? Esoknya beliau terus mengadakan mesyuarat dan dimuat naik ke media sosial untuk menggambarkan beliau kini mengikut keputusan PH.

Tetapi itu bukan niat sebenar beliau. Beliau tahu kenyataan Mohamad Sabu boleh memberi implikasi kepada kedudukannya dalam PH. Beliau terpaksa berenang dalam banyak kolam demi menjaga kedudukannya di Selangor dan peluangnya pada masa akan datang.

Azmin dan kumpulannya jangan ingat rakyat lupa bahawa merekalah yang sekali lagi menolak keputusan menamakan Tun M sebagai PM. Mereka tahu lebih mudah menolak Anwar yang dinamakan pengganti kerana beliau masih di penjara. Belum ada keputusan jelas tentang kedudukan kes Anwar pada waktu itu. Beliau mungkin saja dibebaskan tetapi digantung daripada politik sebagaimana tahun 2004. Jadi Azmin dan kumpulannya mempertikai Tun M sebagai calon PM. Siapakah calon pengganti yang mereka mahukan? Azmin. Sekali lagi semuanya tentang diri beliau. Azmin tidak pernah pedulikan komitmen beliau kepada kerjasama politik dan setiakawan kecuali ia dapat melonjakkan dirinya sendiri ke kedudukan kuasa. Pasukan Azmin hanya mengendurkan cemuhan pilihan Tun M menjadi PM bila Tun M sendiri berkias “Azmin pun layak tapi dia tak dipilih”. Azmin tahu salah percaturan dia terpaksa berlawan dengan Tun M. Adalah lebih baik dia menawarkan diri berbaik dan mengukuhkan kedudukannya.

Azmin sekali lagi menggunakan jalan belakang dalam penamaan Kabinet. Maka tidak menghairankan jika Sivarasa beria menyokong beliau. Tian Chua pula sanggup dilantik menjadi pegawai tidak bergaji di KKR (apakah ini amalan governans terbaik tidak pula dihujahkan beliau). Apakah Sivarasa, Baru Bian, Saifuddin Abdullah, Zuraidah, Azmin pernah membangkitkan agar pelantikan Kabinet dibincang bersama? Tidak. Cuba jika mereka tidak dilantik. Pasti situasi sebaliknya berlaku. Begitu juga pelantikan Amirudin sebagai MB Selangor ketika sudah ada konsensus 4 parti memilih calon lain.

Inilah latar mengapa kumpulan Azmin cukup diragui dalam penamaan calon atau pelantikan ke jawatan Kabinet dan pimpinan lantikan parti. Mereka akan bercakap tentang keputusan bersama walhal ia hanyalah hujah bila keputusan bersama akan memihak mereka. Mereka akan bercakap tentang komitmen bila komitmen itu memihak mereka. Mereka akan bercakap tentang setiakawan dan ketaatan bila setiakawan dan ketaatan memihak mereka.

Kini kita sekali lagi berdepan dengan usaha melanggar konsensus PH untuk melantik Anwar sebagai PM ke-8. Sebenarnya ini bukanlah isu utama PH. Tetapi ia dianggap penting kerana sejarah pertembungan Tun M dan Anwar yang unik. Tanpa kebesaran jiwa kedua-dua mereka, pasti PH berbeza pada hari ini. Tanpa PH pada hari ini, peluang untuk menang PRU14 mungkin lebih kecil. Ada rasa ingin tahu yang besar dalam kalangan masyarakat dunia untuk melihat sama ada Tun M dan Anwar benar-benar telah menutup kisah pertembungan lalu yang ditandai dengan peralihan kuasa daripada Tun M kepada Anwar. Apatah lagi Wan Azizah telah menunjukkan kebesaran jiwa menolak pelantikan sebagai PM.

Namun lingkaran politik bukanlah terlalu sulit. Pada masa yang sama diketahui ada usaha untuk membentuk kerajaan pintu belakang yang menjadi buah mulut dalam UMNO dan PH. PAS, Warisan dan GPS juga tahu tentang ini tetapi mereka mengambil pendekatan lebih berhati-hati.

Nama-nama pemimpin di depan dan di belakang usaha ini juga bukanlah tidak diketahui. Malangnya ada dalam kalangan pemimpin dan penyokong PKR sendiri sedia mengambil jalan ini demi kuasa. Sehingga hari ini Tian Chua masih diam dan tidak menjelaskan dakwaan pemimpin Gerakan bahawa beliau cuba merundingi pengambilalihan parti itu oleh pasukan Azmin. Pada masa satu pilihan yang mungkin dilihat lebih berpotensi menarik sokongan UMNO dan PAS ialah membentuk kerajaan baru tanpa DAP, Amanah dan kumpulan yang tidak bersama Azmin dalam PKR.

Team Azmin cukup tahu antara langkah penting yang perlu mereka lakukan ialah menghidupkan pertembungan Tun M dan Anwar. Isu Anwar menjadi PM8 mesti dibingkai dalam kerangka “tidak sabar”. Maka Azmin dan kumpulannya tiba-tiba bersungguh mahu Tun M menghabiskan penggal penuh sedangkan mereka tidak mahu pun Tun M menjadi PM. Kumpulan Azmin terus bertindak dengan pelbagai cara untuk menunjukkan kepimpinan Anwar lemah. Anwar cuba dimalukan dengan pelbagai cara. Mereka lupa ketika Saidina Ali ditanya tentang kegawatan masyarakat di zamannya, Saidina Ali menegaskan pemimpin terdahulu mempunyai pengikut yang taat dan berdisiplin seperti beliau manakala pengikut di zaman beliau tidak mempunyai teladan tersebut.

Kuasa melantik yang diberikan kepada Presiden memang bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan beliau supaya dalam tempoh kepimpinannya mesyuarat dapat berjalan dan keputusan dapat diambil. Hanya orang bodoh akan melantik mereka yang sudah menang atau mereka yang akan menentang dirinya. Namun itu tidak beerti mesyuarat tidak perlu dibuat dan dihadiri.

Mereka yang mempersoal keputusan Anwar berasaskan Perlembagaan parti ini tidak pernah pun kedengaran mempersoal keputusan Azmin yang bertentangan dengan parti terutama sejak beliau menjadi MB Selangor. Mereka tidak boleh salahkan anggota parti jika ada yang percaya mereka telah dibeli dengan pelbagai kepentingan jawatan, gaji, elaun, kemudahan, bantuan politik dan sebagainya. Tidak susah untuk anggota parti melihat bagaimana cara hidup lingkaran Azmin yang jelas mewah serba-serbi.

Seluruh kronologi ini perlu difahami agar kita sedar kenapa Azmin dan pasukannya adalah duri dalam daging Pakatan Harapan. Jika mereka sebagai satu kumpulan dalam PKR boleh melanggar keputusan parti, konsensus PH berkali-kali, apakah ertinya? Apakah mereka lebih besar dan mengatasi segalanya?

Tindak tanduk Azmin dan kumpulannya tepat dengan pepatah Melayu Beraja Di Mata Bersultan Di Hati, iaitu hanya menurut nafsu sendiri.

No comments: